Sabtu, 22 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Kulasegaran hipokrit - Asoghan

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

BUTTERWORTH 22 Jun - Tindakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran memfailkan permohonan semakan semula kehakiman terhadap pelantikan lima orang senator selaku menteri dan timbalan menteri, disifatkan sebagai hipokrit.

Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, beliau hairan dengan tindakan Naib Presiden DAP itu yang mempertikaikan pelantikan tersebut sedangkan selama ini beliau berdiam diri dan langsung tidak mempersoalkan isu pelantikan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang diadakan Disember lalu.

"Bukankah Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah membatalkan pemilihan CEC yang diadakan 15 Disember lalu, jadi mengapa tidak mengambil tindakan terhadap kesahihan pelantikan jawatankuasa itu?

"Sepatutnya sebelum mempertikaikan pelantikan lima senator berkenaan, beliau menyelesaikan dahulu isu dalam 'kantung' sendiri. Tindakan memfailkan semakan kehakiman ini jelas menunjukkan sikap hipokrit dan tidak bermaruah beliau dalam politik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khamis lalu, Kulasegaran mengemukakan permohonan semakan semula kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah pembatalan pelantikan lima senator yang didakwanya bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Lima senator berkenaan ialah dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan serta tiga Timbalan Menteri iaitu P. Waythamoorty, Datuk Dr. J. Loga Balan Mohan dan Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Asoghan menambah, pelantikan senator berkenaan sepatutnya diterima dengan rasa syukur memandangkan ada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India menganggotai barisan Kabinet.

---

"Ini satu sejarah di mana wakil NGO dilantik menyertai Kabinet. Kulasegaran sepatutnya gembira kerana ada wakil masyarakat India dilantik, tetapi beliau seolah-olah cemburu dengan pelantikan berkenaan dengan membawa isu ini ke mahkamah.

"Sebagai ahli Parlimen, beliau harus tahu tanggungjawab dan kalau benar, beliau sepatutnya membangkitkan isu ini dalam Dewan Rakyat dan bukannya dibawa ke mahkamah," tegasnya.

Beliau seterusnya menggesa Kulasegaran agar segera menjelaskan dan menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam DAP yang masih tertangguh.

Tegasnya, terlalu banyak isu dalaman khususnya yang berkaitan dengan masyarakat India perlu diberi perhatian segera berbanding mempertikaikan pelantikan senator-senator terbabit.

"Tidak perlu untuk bangkit kononnya sebagai hero rakyat. Isu di Ipoh Barat pun banyak lagi yang belum diselesaikan terutama berkaitan masyarakat India.

"Kalau tidak pun, mari ke Pulau Pinang bantu Timbalan Ketua Menteri 2, P. Ramasamy selesaikan masalah kehilangan aset Lembaga Wakaf Hindu. Bersihkan dahulu rumah sendiri sebelum mahu bersihkan rumah orang lain," ujarnya.

Selain itu, beliau juga mendesak Kulasegaran supaya menjelaskan berkenaan 753 perwakilan sah DAP yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat India yang tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri Konvensyen DAP di Pulau Pinang pada hujung tahun lalu.

"Mengapa hak ahli ini untuk menjalankan kewajipan terhadap parti seolah-olah dinafikan? Kita mahu beliau jawab isu ini. Saya juga nasihatkan beliau supaya mengubah sikap hipokrit dan jalankan tanggungjawab yang diberikan rakyat terutama pengundi di Ipoh Barat terhadapnya," katanya.

-habis

Perhimpunan gagal capai sasaran

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

TIMBALAN Presiden Pas, Mohamad Sabu bersama-sama peserta perhimpunan haram tajaan Anwar Ibrahim di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 22 Jun - Perhimpunan haram anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebagai kebangkitan rakyat bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR-13) ternyata gagal apabila dihadiri hanya kira-kira 20,000 orang.

Jumlah kehadiran peserta yang berhimpun di tujuh lokasi sebelum berarak ke Padang Merbok ternyata jauh daripada sasaran pemimpin pembangkang iaitu 500,000 orang.

Berikutan keadaan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memberi alasan bahawa ia berlaku kerana masalah jerebu yang melanda ibu negara.

Bagaimanapun alasan Anwar itu ternyata sekadar untuk menutupi kegagalan pakatan pembangkang semata-mata kerana sebahagian besar peserta mula meninggalkan lokasi utama di Padang Merbok seawal pukul 4 petang iaitu sebelum beliau berucap.

Kegagalan untuk menarik lebih ramai peserta menyertai perhimpunan itu dikatakan berlaku berikutan perasaan kecewa penyokong-penyokong pembangkang yang berasa dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin mereka membuat keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah anggota Parlimen.

Tindakan itu dilihat bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa PRU-13 dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.

Kekecewaan itu diluahkan oleh sesetengah peserta yang berkhemah di padang berkenaan apabila mereka memaparkan tulis mengkritik sikap hipokrit pemimpin-pemimpin pembangkang.

Berikutan itu juga ia memungkinkan jumlah kehadiran peserta di tujuh lokasi yang ditetapkan oleh penganjur mengecewakan mereka.

Sebagai contoh, tinjauan Mingguan Malaysia di pekarangan Universiti Malaya (UM) yang tersenarai sebagai salah satu lokasi berhimpun peserta hanya disertai kurang daripada 300 penyokong mahasiswa dan golongan muda.

Keadaan itu jelas menunjukkan mahasiswa tidak termakan pujuk rayu dan provokasi pembangkang diketuai Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin supaya mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Di enam lagi lokasi, situasi juga sama biar pun ia dimulai dengan ucapan oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Selain itu, kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan dengan menempatkan jumlah minimum anggotanya memungkinkan hasrat sesetengah peserta untuk melakukan provokasi dengan tujuan mencetuskan huru-hara terbantut.

Bagaimanapun perhimpunan itu tetap menyaksikan sikap biadab sesetengah peserta apabila mereka bukan sahaja membawa sepanduk memaki hamun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga pemimpin negara dan media arus perdana.

0 ulasan:

Catat Ulasan