Ahad, 16 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Bukti komitmen kerajaan

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

PEMBUKAAN jalan pintasan yang menghubungkan Jalan Taman Intan Baiduri ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) memberi kelegaan kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, Kuala Lumpur yang selama ini berhadapan masalah kesesakan dan kemalangan.

KUALA LUMPUR 16 Jun -Pembukaan jalan pintasan yang menghubungkan Jalan Taman Intan Baiduri, Kepong ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) hari ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 pengguna dan penduduk di kawasan berhampiran.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembinaan jalan pintas yang menelan kos RM2.15 juta itu dibuat setelah mendapat aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri yang mendakwa berhadapan dengan masalah kesesakan teruk di kawasan perumahan mereka.

Menurutnya, ini berikutan pengguna kenderaan sering menjadikan laluan antara Blok A PPR Intan Baiduri dengan Dewan Komuniti sebagai jalan utama untuk ke MRR2.

"Keadaan tersebut telah menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi ketika waktu puncak.

"Melalui pembinaan jalan baharu itu, pengguna luar tidak perlu lagi melalui jalan dalam PPR Intan Baiduri untuk ke MRR2," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan jalan pintasan tersebut di Kepong, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, pembinaan jalan yang mengambil masa 18 minggu itu merupakan lagi bukti kerajaan sentiasa komited membantu rakyat bagi mendapatkan kehidupan yang lebih selesa.

"Biarpun kawasan ini tidak berada di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN), namun kita tetap berusaha membantu rakyat yang memerlukan.

"Projek pembinaan jalan ini juga sejajar dengan matlamat BN untuk menjadikan Kuala Lumpur antara bandar raya terbaik dari segi jaringan lalu lintasnya," ujarnya.

Dalam majlis perasmian tersebut, sesi dialog bersama penduduk Taman Intan Baiduri turut diadakan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Mohd. Halim Ibrahim berkata, sebelum pembinaan jalan pintas tersebut, berlaku banyak kemalangan yang membabitkan kanak-kanak berikutan terdapat dua sekolah tadika bersebelahan dengan blok A.

"Saya bersyukur dengan pembinaan jalan ini, penduduk di sini dapat tinggal dengan aman dan selesa.

"Dengan adanya jalan pintas ini dua masalah utama dapat diatasi iaitu kesesakan jalan dan kemalangan," katanya.

IRIMM tawar Mohammad Asraf Abdullah, isteri serta 4 anak diami rumah sewa

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Amir Amsaa Alla Pitchay (dua dari kanan) menyerahkan cek kepada Mohammad Asraf Abdullah di Batu Caves, Selayang, semalam.

SELAYANG 16 Jun - "Saya sekeluarga mengambil keputusan untuk tidur di dalam hutan kerana tidak mampu mendiami rumah sewa disebabkan caj deposit yang tinggi."

Demikian luahan seorang lelaki, Mohammad Asraf Abdullah, 28 yang baharu memeluk agama Islam sejak dua tahun lalu kini merasai keperitan hidup setelah dihalau dari rumah sewa pada Ogos tahun lalu.

Menurut Mohammad Asraf, hutan yang dimaksudkan adalah di sebuah surau terbiar di Taman Rimba Templer, Rawang dekat sini selain tidur di masjid berdekatan.

Dia yang mendirikan rumah tangga sejak setahun lalu bersama-sama isteri, Syuhada Atika Mohsen, 23, dikurniakan seorang cahaya mata berusia dua bulan selain tiga orang anak tirinya yang berusia dalam lingkungan tiga hingga enam tahun.

"Saya tidak mampu untuk membayar caj rumah sewa di Kampung Batu, Jalan Ipoh yang dinaikkan daripada RM300 hingga RM500. Saya dihalau disebabkan oleh beberapa masalah dan sehingga kini kami merempat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia yang bekerja sebagai penjual kereta di Selayang dengan menerima gaji sebanyak RM900 sebulan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keperluan harian mereka.

"Saya mempunyai masalah dengan keluarga disebabkan fahaman agama menyebabkan saya keluar mencari jalan hidup sendiri. Keluarga mertua saya pula amat besar jadi saya tidak mahu menyusahkan mereka," jelasnya.

Dia berkata, ketika sedang menunaikan solat di sebuah madrasah di Selayang, dia berjumpa dengan seorang ustaz dan menceritakan masalahnya.

"Saya ceritakan masalah saya kepada ustaz dan dia menawarkan pertolongan untuk saya. Alhamdulillah, pada Rabu lalu pihak IRIMM (Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia) menawarkan bantuan untuk mendiami rumah sewa kepada saya," katanya.

Mereka sekeluarga turut melahirkan perasaan bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkenaan yang sudi membantu mereka.

Sementara itu, Presiden IRIMM, Datuk Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pihaknya menanggung wang deposit sebanyak RM1,200 kepada pemilik rumah sewa terbabit.

"Bayaran sewa sebanyak RM380 sebulan akan ditanggung oleh Asraf. Kita akan melihat apa-apa keperluan yang perlu dibantu lagi kepada mereka," katanya.

Selain itu mereka sekeluarga turut menerima bantuan sebanyak RM500 sebulan sejak dua bulan lalu menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS).

KBPKT jangka tinjau kerosakan - MTBI

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Keratan akhbar Utusan Malaysia 28 Mei 2013 lalu.

SHAH ALAM 16 Jun - Majlis Tindakan Bencana Indahria (MTBI) hari ini menyambut baik komitmen Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah tanah mendap sehingga merosakkan beberapa struktur binaan bangunan kediaman itu di Seksyen 22, di sini sejak tiga tahun lalu.

Pengerusinya, Aimanundin Kamaruddin, 38, berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam menerusi twitter yang menyatakan akan menghantar pegawai daripada kementerian itu untuk meninjau masalah sebenar yang dihadapi kira-kira 1,000 penduduk kawasan tersebut.

"Semalam saya menerima tweet daripada beliau (Abdul Rahman) yang juga Ahli Parlimen Kota Belud menyatakan dalam waktu terdekat ini akan mengarahkan pegawai beliau untuk turun padang melihat sendiri masalah di Pangsapuri Indahria ini.

"Kami terharu dengan keprihatinan menteri terbabit dalam menyelesaikan masalah rakyat, sedangkan pihak kerajaan negeri setakat ini bersikap memandang ringan masalah kami di sini,"katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Aimanundin, sebelum ini pihaknya telah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab di Selangor.

Ini katanya, termasuklah kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad namun sehingga kini tiada tindak balas yang diterima.

Tegasnya, masalah tanah mendap yang dihadapi oleh 240 pemilik unit rumah di pangsapuri tersebut dipandang mudah oleh pihak berkuasa di negeri ini dengan masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza.

"Saya merayu, sama ada kepada Exco, Menteri Besar, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga supaya mempercepatkan kerja-kerja pemulihan kerosakan dan tidak terus berpolitik dengan masing-masing berdolak-dalik dalam isu ini.

"Tanah mendap semakin lama semakin dalam, tiang konkrit yang menyangga kawasan tempat letak kereta ada yang patah dan retak, ini semua menunjukkan aktiviti mendapan dan hakisan wujud selain dipercayai antara punca kepada masalah ini,"jelasnya lagi.

Pada masa sama, Aimanundin turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor segera mengambil tindakan susulan mengenai isu hakisan tebing sungai yang dikatakan berlaku di bahagian belakang pangsapuri tersebut ekoran daripada penebat banjir runtuh.

Pada 29 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan keluhan penduduk pangsapuri Indahria yang mahu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mendesak Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) agar segera menyiapkan laporan tanah mendap di kawasan meletak kereta mereka di sini, sebelum malapetaka lebih besar seperti bangunan runtuh berlaku.

Namun penduduk hampa kerana pihak MBSA menyatakan laporan dari IKRAM tersebut masih belum siap, dan ini menyebabkan kerja-kerja pemulihan tempat letak kereta yang mendap tersebut tidak dapat dijalankan.

Susulan daripada masalah tersebut, para penduduk pangsapuri itu telah menubuhkan badan bertindak yang dinamakan MTBI bagi menangani isu tersebut secara pro-aktif hingga ke peringkat nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan