Selasa, 11 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Tiga pemimpin tertinggi DAP patut letak jawatan

Posted: 11 Jun 2013 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 11 Jun - Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan menuntut tiga pemimpin tertinggi DAP meletak jawatan kerana gagal memberi penjelasan mengenai isu penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) cawangan parti itu yang didakwa diadakan tanpa notis sah.

Menurut beliau, keengganan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Penasihat parti, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke memberi penjelasan berhubung isu itu membuktikan dakwaan tersebut adalah benar.

"Adakah mereka tidak mahu mengakui kesilapan yang telah berlaku? Jika mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi penjelasan, mereka patut meletakkan jawatan kerana terbukti kenyataan saya sebelum ini adalah benar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 6 Jun lalu, Ramanan mencabar tiga pemimpin tertinggi DAP itu meletak jawatan serta-merta sekiranya benar parti itu mengadakan AGM tanpa mengeluarkan notis kepada beberapa cawangannya.

Cabaran itu dikemukakan ekoran pendedahan Utusan Malaysia mengenai kemelut dalaman DAP kerana keputusan 'tergesa-gesa' kepemimpinan tertinggi parti itu untuk mengadakan AGM di setiap cawangan sejak dua minggu lalu.

Difahamkan, beberapa cawangan tidak dimaklumkan mengenai AGM itu bagi membolehkan kepimpinan tertinggi DAP 'mencantas' cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember tahun lalu.

Menurut Ramanan, beliau tidak akan bersuara sekiranya tidak mempunyai bukti kukuh mengenai perkara tersebut.

"Pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini boleh mengadakan banyak sidang akhbar sehingga mengenai isu cuaca pun mahu dimaklumkan kepada media, jadi mengapa dalam isu ini mereka tidak mahu menyahut cabaran saya, adakah mereka takut?" katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan memberitahu, beliau memperoleh maklumat sebanyak 11 ahli DAP yang dipecat baru-baru ini kerana tidak tunduk kepada Dinasti Lim yang dinaungi Kit Siang dan Guan Eng.

"Maklumat yang saya peroleh mereka dipecat kerana menyokong Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau.

"Kenapa jika tidak sokong sahaja terus dipecat, itu tidak adil, DAP mendabik dada sebagai demokratik tetapi saya rasa mereka patut buang sahaja demokratik daripada nama parti itu," katanya.

Semalam, Ketua Wanita DAP Pandan, Dorothy Chong Chye Wah mendedahkan, pemecatan beliau serta sebanyak 10 ahli parti DAP lain baru-baru ini dibuat tanpa mengikut lunas-lunas Perlembagaan parti itu.

Pakatan pembangkang lebih rasis - Shafie Apdal

Posted: 11 Jun 2013 10:48 AM PDT

Mohd. Shafie Apdal bersalaman dengan warga pendidik pada sambutan Hari Pendidik Mara di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 11 Jun - Penubuhan UMNO sebagai sebuah parti yang memayungi orang Melayu bukan bermaksud parti itu bersikap rasis sehingga menafikan hak kaum-kaum lain.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap keterbukaan UMNO dalam menerima kaum-kaum lain ditunjukkan menerusi kesediaan berada di bawah nama dan logo sama iaitu Barisan Nasional (BN) bersama-sama MCA, MIC dan parti komponen lain.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, pembangkang lebih bersikap rasis selepas sehingga kini tidak mendaftarkan pakatan mereka di bawah nama dan lambang sama.

"Malah, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga bertanding atas tiket masing-masing dalam pilihan raya umum lalu meskipun mengakui kononnya berada di bawah pakatan sama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Pendidik Majlis Amanah Rakyat (Mara) 2013 di sini hari ini.

Mohd. Shafie mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini yang menyebut keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti tersebut berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar sikap sesetengah pihak yang menuduh penubuhan Mara bersifat perkauman kerana kononnya diwujudkan hanya untuk membantu kaum Melayu.

Jelas beliau, agensi itu ditubuhkan bertujuan membantu masyarakat luar bandar dengan menyediakan segala bentuk kemudahan demi meningkatkan taraf hidup mereka.

Sementara itu, mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghadiri majlis taklimat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini, beliau menempelak Ahli Parlimen tersebut kerana merasa diri mereka 'lebih pintar' dengan segala peraturan dan tatatertib Dewan Rakyat.

"Kita tidak boleh paksa kerana taklimat ini untuk penerangan dan tatacara peraturan Dewan Rakyat, tetapi jangan pula ketika mula bersidang nanti mereka melakukan sebebas-bebasnya tanpa mengikut peraturan.

"Mereka belum lagi dapat memerintah negara tetapi sudah menunjukkan perangai buruk," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan