Ahad, 23 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


JPP catat hasil 25,350 tan

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Adnan Hussain (enam dari kanan) bersama kakitangan Jabatan Perikanan Pahang dan penduduk melepaskan benih anak ikan temalian serta lampam sungai di Jerantut Feri, Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 23 Jun - Jabatan Perikanan Pahang (JPP) berjaya mencatat perolehan hasil perikanan seberat 25,350 tan ikan air tawar bernilai RM345,757 daripada penternak di perairan sungai dan sangkar di negeri ini pada tahun lalu.

Pengarahnya, Adnan Hussain berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 3,819 tan merupakan hasil ternakan ikan air payau bernilai RM67,333.

Menurutnya, bagi pengeluaran ikan air tawar pula sebanyak 8,856 tan dihasilkan bernilai RM105,545, manakala ternakan akuakultur iaitu 12,675 tan memperoleh sebanyak RM172,878.

"Walaupun permintaan ikan air tawar di negeri ini sangat tinggi, sektor pengeluaran berkenaan masih kurang mampu memenuhi permintaan di pasaran yang semakin meningkat.

"Pahang berpotensi besar menjadi pengeluar ikan air tawar di negara ini, tetapi jumlah ikan dipasarkan masih tidak mencukupi berpunca daripada kaedah penangkapan haram oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di Jerantut Feri di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, beliau melepaskan sebanyak 38,000 benih anak ikan temalian dan 2,000 benih anak ikan lampam sungai dalam program pelepasan benih ikan di bawah program Touch Point jabatan berkenaan di Sungai Pahang di sini.

Menurut Adnan, punca kekurangan bekalan itu berkemungkinan menyebabkan spesies ikan air tawar akan pupus di Sungai Pahang dan perairan sungai lain akibat kegiatan penangkapan menerusi kaedah dilarang seperti mengebom, menggunakan kuasa elektrik dan menuba.

Katanya, banyak spesies ikan termasuk benih anak ikan mati akibat penangkapan secara haram manakala pengeluaran projek ternakan ikan sangkar berkurangan akibat penternak menghadapi kemelut benih dan makanan ternakan itu yang terlalu mahal.

Tambahnya, kualiti dan spesies ikan patin dan tilapia termasuk harga di negeri ini turut mempengaruhi peniaga di negeri lain untuk menjual dengan harga sama.

Adnan memberitahu, setiap bulan pihaknya mencatatkan jualan ikan patin ternakan sangkar seberat 80 tan di Temerloh diikuti Jerantut (50 tan) dan Pekan (90 tan) yang dipasarkan terus kepada pemborong di bawah penyelarasan Jabatan Perikanan di Lembah Klang dan negeri lain.

Sultan Ahmad Shah rasmi SASICC, hotel dan Menara Zenith

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Sultan Ahmad Shah diiringi Adnan Yaakob dan Tew Kim Thin (kanan) menurunkan tandatangan sebagai tanda merasmikan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), hotel dan Menara Zenith Putra Square di Kuantan, semalam.

KUANTAN 23 Jun - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan merasmikan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Hotel dan Menara Zenith, Putra Square Kuantan, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Eksekutif Jasa Imani Sdn. Bhd., Datuk Seri Tew Kim Thin.

Kim Thin berkata, pelan pembangunan Putra Square telah dirancang sejak awal 2005 dengan aspirasi untuk mentransformasikan bandar Kuantan.

Beliau berkata, Putra Square merupakan kombinasi antara kawasan bandar budaya seperti pusat beli-belah East Coast Mall (ECM), Hub Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), SASICC, menara dan Hotel Zenith.

Menurutnya, kejayaan projek berkenaan adalah hasil inspirasi Sultan Ahmad Shah sendiri yang mahu melihat bandar Kuantan terus berkembang maju serta mendapat perhatian daripada pelabur dari dalam dan luar negara.

"Ketika majlis pembukaan pasar raya ECM pada April 2008, baginda (Sultan Ahmad Shah) menitahkan satu pelan pembangunan tersusun dilakukan secara berterusan di kawasan ini (Kuantan).

"Bersandarkan saranan itu, kini kawasan ini sudah memiliki pelbagai prasarana, dilengkapi kemudahan hotel bertaraf lima bintang dan dewan konvensyen dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi.

"Pelan pembangunan kawasan ini memang direka bagi mentransformasikan bandar Kuantan sebagai yang termaju di Pantai Timur," katanya.

Pada majlis tersebut, Sultan Ahmad Shah turut berkenan mengurniakan Sijil Hijau (Green Certificate) kepada Hotel Zenith di atas pencapaiannya dalam memenuhi piawaian Teknologi Hijau.

Di atas penganugerahan Sijil Hijau berkenaan, Hotel Zenith merupakan hotel pertama negeri itu dan di Pantai Timur yang menerima sijil tersebut dan yang ke-19 di seluruh negara.

Baginda turut berkenan menyampaikan bantuan persekolahan kepada 700 pelajar tingkatan lima dari 20 buah sekolah di Kuantan dan Pekan.

Terminal Sentral Kuantan dipastikan selamat

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

PEKAN 23 Jun - Kerajaan negeri akan memastikan Terminal Sentral Kuantan di Bandar Indera Mahkota di sini berada dalam keadaan selamat sebelum projek yang bernilai RM438 juta itu dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau baru-baru ini mengadakan perjumpaan dengan pihak bertanggungjawab kerana dimaklumkan terdapat sedikit masalah mengenai projek tersebut.

"Saya memang berasa sedikit sedih dan dukacita tetapi saya difahamkan bukan kerosakan struktur yang berlaku, tetapi hanya cat bangunan terkopak bukan disebabkan oleh retak atau tanah mendap.

"Saya difahamkan masalah ini tidak membahayakan dan akan diselesaikan oleh pihak kontraktor dengan kadar segera," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2013 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Projek itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan terminal baharu yang serba moden dan canggih bagi menggantikan Terminal Makmur yang kini sudah dinaik taraf sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Terminal itu menyediakan 400 petak letak kereta, 170 motosikal dan 40 untuk teksi, selain ruang tempat menunggu bas berhawa dingin untuk orang ramai.

Adnan berkata, desas-desus bahawa projek Terminal Sentral Kuantan berkeluasan 2,070 kaki persegi berkenaan mengalami masalah keretakan pada struktur binaannya adalah tidak benar.

"Dakwaan struktur bangunan retak adalah rekaan segelintir pihak tidak bertanggungjawab. Ini tidak betul, saya harap rakyat tidak mempercayainya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan