Rabu, 12 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Awas! Jangan gadai nyawa

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

ABD. Rahman Din (kanan) menyampaikan cenderamata kepada M.S Mahadevan (kiri) sambil diperhatikan Abu Bakar Abdul selepas perasmian Kempen Keselamatan dan Kesedaran Awam di Stesen Keretapi Pulau Sebang, ALor Gajah, Melaka semalam.

ALOR GAJAH 11 Jun - Orang ramai diingatkan tidak sesekali bertindak menceroboh landasan kereta api terutamanya di sepanjang laluan projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa akibat rempuhan kereta api atau kejutan elektrik.

Pengurus Besar Pengurusan Projek, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mejar Abd. Rahman Din berkata, di sepanjang landasan kereta api berkenaan mempunyai talian atas berkuasa elektrik 25,000 voltan yang boleh membawa maut sekiranya tersentuh.

Menurutnya, kereta api yang bakal menggunakan landasan itu yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini juga berkeupayaan bergerak dengan kelajuan sehingga 140 kilometer sejam (km/j) dan lebih senyap berbanding di landasan biasa yang cuma 90 km/j.

"KTMB telah memagar sepanjang landasan ini sejauh 98.2 km bagi menghalang orang ramai atau haiwan ternakan menceroboh supaya tiada perkara tidak diingini berlaku.

"Bagaimanapun ada cubaan pihak tidak bertanggungjawab memotong pagar keselamatan ini tanpa memikirkan soal keselamatan diri dan orang lain yang mungkin menggunakan laluan berkenaan sebagai jalan pintas," katanya ketika berucap dalam Kempen Keselamatan dan Kesedaran Awam di Stesen KTM Pulau Sebang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk M.S Mahadevan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Abu Bakar Abdul.

Abd. Rahman berkata, projek pembinaan landasan itu kini berada di fasa akhir yang melibatkan pembinaan lima stesen baharu dan sebuah hentian yang terletak di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Antara lima stesen itu ialah Stesen Sungai Gadut, Stesen Rembau, Stesen Pulau Sebang, Stesen Batang Melaka dan Stesen Gemas manakala sebuah hentian turut dibina iaitu Hentian Senawang yang bakal menjadi pusat sehenti pelbagai bagi kemudahan para penumpang," katanya.

Katanya, tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melintas, menceroboh dan merosakkan pagar di landasan kereta api yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara.

Beliau berkata, walaupun terdapat undang-undang bagi mengawal tindakan pencerobohan itu, kesedaran daripada anggota masyarakat tentang soal keselamatan ini adalah sangat penting kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa serta keselamatan pengguna perkhidmatan berkenaan.

Negeri Sembilan Food Trail promosi keunikan masakan 'nogori'

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

CHEF Ahmad Mahamod (dua dari kiri) dan Chef Mohd. Adib Hassan menerangkan cara memasak masak lemak cili api daging salai kepada Zaidi Kassim (dua dari kanan) semasa demonstrasi memasak di Hotel Royale Bintang, Seremban semalam.

SEREMBAN 11 Jun - Inisiatif mempromosikan keunikan makanan di negeri ini terus diperhebatkan menerusi penganjuran program jejak masakan tradisional Negeri Sembilan Food Trail 2013 di sini hari ini.

Program tiga hari itu merupakan anjuran Pejabat Tourism Malaysia Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan dan kerajaan negeri.

Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kassim berkata, program tersebut bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan khususnya premis makanan terpilih kepada umum untuk menikmati keunikan masakan tradisional negeri ini.

"Kita telah memilih 33 buah premis makanan yang terbaik, Kesemua kedai dan restoran ini terpilih kerana kualiti makanan dan servis yang disediakan.

"Malah lokasi ini memenuhi kriteria untuk dijadikan tumpuan bagi pelancong dalam dan luar negara untuk merasai kelazatan masakan negeri ini," katanya semasa taklimat Negeri Sembilan Food Trail 2013 di Hotel Royale Bintang di sini hari ini.

Jelasnya, program jelajah yang meliputi kawasan Seremban, Kuala Pilah dan Rembau itu disertai oleh beberapa agensi pelancongan dari seluruh negara serta pengamal media.

"Kita turut akan membawa peserta bersinggah ke 11 destinasi pelancongan di negeri ini.

"Setiap premis makanan akan menghidangkan pelbagai hidangan terbaik mereka yang enak dan unik untuk dipromosikan kepada pelancong," ujarnya.

Tambah Zaidi, program itu turut diadakan sempena Kempen 'Fabulous Food 1Malaysia' yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di peringkat kebangsaan dengan matlamat untuk mempromosikan kepelbagaian masakan dan makanan di seluruh negara.

Antara lokasi menarik yang bakal dilawati peserta menerusi program tersebut termasuk Jelita Ostrich Farm, Starfresh Agropark, Muzium Diraja Istana Seri Menanti, Homestay Kg Lonek, Teratak Za'aba dan Rembau Kristal.

Di samping itu, peserta turut berpeluang merasai pelbagai hidangan menarik seperti cendol madu, sate tulang, popia Kuala Kangsar dan Lomang Apak yang popular di negeri ini.

Kerajaan negeri akan jadikan lima pulau sebagai produk pelancongan

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

MELAKA 11 Jun - Kerajaan negeri akan menjadikan beberapa pulau di sekitar perairan Selat Melaka di negeri ini sebagai satu lagi produk pelancongan terbaharu yang mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Pembangunan Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, lima daripada 12 gugusan pulau besar serta kecil yang terdapat di perairan di sini berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan baharu.

Menurutnya, pulau yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan ialah Pulau Upeh, Pulau Undan, Pulau Besar, Pulau Nangka dan Pulau Dodol.

Beliau berkata, beberapa gugusan pulau lain pula dilihat tidak berpotensi untuk dimajukan kerana menghadapi kesukaran untuk membina jeti selain ketiadaan tanah serta pantai.

"Lima pulau tersebut cukup berpotensi untuk dimajukan kerana lokasi yang menarik selain ada kawasan tanah dan pantai untuk dibangunkan infrastruktur seperti jeti serta surau, rumah berteduh dan sebagainya.

"Buat masa ini tiga pulau akan diberikan tumpuan terlebih dahulu iaitu Pulau Upeh, Pulau Undan dan Pulau Besar kerana mempunyai jeti untuk bot berlabuh serta beberapa infrastruktur yang telah dibina sebelum ini.

"Kita akan lihat potensi untuk pulau-pulau ini dibangunkan sebagai produk pelancongan berdasarkan kawasan pulau tersebut, kemudahan yang boleh dibina dan sebagainya," katanya selepas membuat tinjauan di beberapa buah pulau berdekatan Klebang dan Serkam di sini semalam.

Ia turut disertai Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Negeri Melaka, Tourism Malaysia Melaka, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Mengulas lanjut Ghazale berkata, ketiga-tiga pulau tersebut mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan untuk menjadi tarikan pelancong.

"Rugi apabila ada 12 gugusan pulau tetapi ia tidak dimanfaatkan untuk menjadi produk pelancongan yang lebih menarik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan