Selasa, 11 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Cegah pisang diserang 'Mako'

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Noraidah Musa (kiri), bersama Pengerusi JKKK Sungai Buloh, Rosdi Jaafar (tiga kiri), Penghulu Mukim Mentakab 1, Alias Nong (empat kanan) dan kakitangan Pejabat Pertanian Temerloh ketika melawat ladang mangga dan tebu di Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 11 Jun - Pengusaha tanaman pisang di daerah ini diminta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan tanaman mereka diserang sejenis bakteria yang dikenali sebagai 'Mako'.

Pegawai Pertanian Daerah, Noraidah Musa berkata, bakteria tersebut mula dikesan menyerang tanaman pokok pisang di Johor tidak lama dahulu selepas negeri itu pulih daripada banjir besar.

Katanya, walaupun di daerah ini serangan bakteria itu belum dikesan secara serius tetapi para petani yang terlibat perlu sentiasa berwaspada bagi mengelakkan hasil pertanian mereka terjejas.

"'Mako' menyerang dengan lebih pantas apabila pokok pisang mula mengeluarkan jantung dan berbuah.

"Sehubungan itu, saya berharap pengusaha tanaman pisang melaporkan kepada Pejabat Pertanian Daerah jika pokok pisang mereka kelihatan layu yang dipercayai terkena jangkitan 'Mako'," kata Noraidah.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada program hari Ladang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Buloh di sini semalam.

Menurut beliau, antara simptom yang boleh dilihat apabila diserang bakteria ini ialah pokok pisang akan bertukar menjadi kuning bermula daripada bahagian pelepah pokok.

Tambahnya, bahagian yang bertukar warna tersebut akan mulai mengering dan pokok akan mati manakala buah akan bertukar menjadi kehitaman dan rapuh.

Noraidah memberitahu, serangan bakteria 'Mako' ke atas pokok pisang juga menyebabkan hampir keseluruhan pokok dan buahnya menjadi rosak dan seolah-olah melecur.

Katanya, serangan penyakit itu telah menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada petani malah turut melibatkan pihak pengusaha yang menjalankan perniagaan berasaskan pisang secara komersial.

"Selepas Johor, bakteria yang menjadi punca penyakit tersebut kini dilaporkan mula menular dengan pantas ke negeri-negeri lain.

"Saya menggesa petani dan pekebun kecil yang melihat simptom tersebut berlaku pada tanaman pisang mereka supaya melaporkan segera kepada pejabat pertanian supaya dapat dikawal dan tidak merebak ke kawasan kebun lain," katanya.

Mara perlu bertindak jual lot niaga kepada golongan usahawan

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (tiga kanan) menyatakan sesuatu kepada kakitangan Mara ketika sesi Taklimat Program Pembangunan Usahawan Mara di Kuantan, semalam. Turut kelihatan, Salemi Yusof (dua kanan).

KUANTAN 11 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak boleh sekadar menyediakan premis untuk disewa, sebaliknya harus bertindak menjual lot perniagaan kepada usahawan yang mampu dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera di kawasan bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, untuk itu, sudah masanya Mara membina lebih banyak bangunan komersial dan kemudiannya menjual kepada para peniaga bumiputera agar wujud keseimbangan pemilikan premis perniagaan.

"Dasar Mara sebelum ini yang hanya menyediakan premis untuk disewa perlu dikaji semula dan dibuat penambahbaikan sejajar dengan keperluan semasa seperti menjual terus kepada penyewa berkenaan.

"Pada masa sama, Mara perlu memikirkan untuk membangunkan lebih banyak premis komersial agar wujud persaingan secara sihat supaya satu-satu perniagaan itu tidak dimonopoli oleh satu kaum sahaja," katanya.

Shahiruddin berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat program pembangunan usahawan Mara sempena lawatan kerja beliau ke agensi itu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Mara negeri, Salemi Yusof.

Menurut Shahiruddin, pengurusan tertinggi Mara juga perlu melakukan pemantauan dengan lebih kerap untuk melihat sendiri prestasi golongan sasaran di bawah mereka.

"Sekiranya lebih kerap pemantauan dilakukan setiap kelemahan pasti dapat diatasi serta diselesaikan segera.

"Saya juga akan berusaha untuk mengadakan pertemuan sebulan sekali dengan semua agensi kerajaan yang terlibat dengan pembangunan usahawan agar pelaksanaan gerak kerja lebih berfokus," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati usahawan bumiputera agar tidak gentar untuk bersaing dengan kaum lain sebaliknya bijak mencari peluang dan belajar daripada kejayaan mereka.

"Seharusnya kita belajar daripada budaya berniaga kaum lain terutama Cina dan kalau bersesuaian kita akan panggil mereka yang berjaya untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman agar sama-sama dapat bersaing secara sihat.

"Apa yang penting, usahawan bumiputera jangan lakukan amalan 'ali-baba' yang hanya menggagalkan apa yang kerajaan usahakan," jelasnya.

Lawatan media Eropah galak pelancong ke Taman Negara

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Nathan Vaithi (kanan) bersama pelawat dan penggiat media dari Eropah dan Asia Oceania semasa menyertai perkelahan di Sungai Tembeling, Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 11 Jun - Lawatan kerja 25 pengusaha pelancongan dan pengamal media dari Eropah dan Oceania ke Taman Negara Kuala Tahan di sini baru-baru ini bakal merintis kepada usaha membawa lebih ramai pelawat dari dua rantau berkenaan ke destinasi pelancongan terkemuka ini.

Lawatan dua hari dianjurkan Tourism Malaysia dengan Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) sebagai tuan rumah kepada tetamu berkenaan yang sebelum ini menyertai program Citrawarna 1Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pengurus MTNR, Nathan Vaithi berkata, usaha meningkatkan jumlah pelawat dari dua benua tersebut akan dilakukan menerusi perjanjian bersama dengan pihak Tourism Malaysia.

"Pengusaha pelancongan dan media dari Eropah dan Australia akan membantu memasarkan Taman Negara Pahang sebagai produk pelancongan yang menarik untuk dilawati rakyat negara rantau berkenaan," katanya di Kuala Tahan dekat sini kelmarin.

Menurut beliau, menerusi lawatan singkat itu, pengusaha pelancongan dari Eropah dan Oceania bersetuju memasukkan Taman Negara di sini sebagai satu destinasi lawatan bagi kumpulan pelancong dari negara berkenaan.

Sementara itu, wakil media dari Belgium, Dany Van Cauwenbergh, 48, berkata, mereka sangat teruja dengan sambutan kakitangan MTNR dan banyak pengalaman menarik dapat ditulis serta dipromosikan di media negara berkenaan.

"Kunjungan ini merintis jalan bagi pengusaha pelancongan di Belgium supaya membawa lebih ramai pelawat ke Taman Negara Kuala Tahan sepanjang tahun, khususnya menyemarakkan program Tahun Melawat Malaysia 2014," ujarnya.

Katanya, selain menikmati keindahan alam sekitar hutan tropika di situ, mereka juga menyertai acara 'perkelahan' di Sungai Tembeling sambil menikmati makanan tradisional orang Melayu Pahang.

Tambahnya, majlis ramah mesra dan sekalung budi anjuran MTNR di sebuah banglo di Kuala Tahan mengeratkan lagi hubungan antara pengunjung dan kakitangan resort berkenaan, sekali gus memperoleh banyak input tentang destinasi pelancongan bertaraf dunia itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan