Khamis, 20 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jadikan pasar tani produk pelancongan

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

TELOK KEMANG 19 Jun - Pasar tani boleh dijadikan sebagai produk pelancongan menarik lebih ramai pengunjung sekiranya pengisian dalamannya dapat dilakukan dengan lebih tersusun lagi menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Kepenggunaan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar berkata, di samping pengguna mendapatkan bekalan untuk keperluan harian, pasar tani boleh menjadi lokasi memperkenalkan produk asas tani yang baharu dan lain-lain.

''Dengan harga yang ditawarkan lebih rendah, produknya dipelbagaikan serta bermutu, saya percaya ia akan menjadi satu tarikan, bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi mereka yang datang bercuti di Port Dickson dan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Bapa anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Springhill dekat sini hari ini.

Tun Hairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang berkata, untuk menjadikan pasar tani lebih relevan kepada pengguna, harga yang ditawarkan hendaklah sentiasa di tahap kemampuan beli pengguna.

''Dengan tanda harga yang lebih terang, cara persembahan kepada pengguna, ini juga akan menambah nilai kepada produk jualan," katanya.

Pada masa sama katanya, kemampuan pasar tani juga perlu diperluaskan seiring dengan keperluan pengguna yang pelbagai dari semasa ke semasa.

''Skop pasar tani ini perlu diperluaskan, bukan sahaja terhad kepada pengeluaran makanan, tetapi hendaklah mengambil kira kepelbagaian seperti produk pakaian, kraf, bunga, ukiran dan banyak lagi. Perlu ada kelainan dalam memperkukuhkan pasar tani dan tidak hanya tertumpu kepada produk basah seperti ayam, ikan dan sayuran," katanya.

Selain itu katanya, imej pasar tani ini juga perlu dijaga dengan penampilan peniaga melalui imej bersih, sopan dan mesra.

Dalam pada itu, Pengarah FAMA negeri, A. Rahaman Suleiman memberitahu, pihaknya merancang untuk mengindahkan lagi konsep pasar tani agar menjadi lebih menarik dan mendorong orang ramai untuk membeli-belah.

''Kita harap masyarakat akan menjadikan pasar tani sebagai destinasi yang perlu dilawati setiap minggu bagi membeli barang keperluan. Dengan amalan ini mampu melonjak dan memperkembangkan imej pasar tani," jelasnya.

PBTM cari formula tolong ahli bermasalah

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

AHLI Persatuan Bekas Tentera Malaysia bergambar selepas mesyuarat Agong PBTM cawangan Palong di Wisma Pahlawan Felda Palong 4,5,6 dekat Jempol, kelmarin.

JEMPOL 19 Jun - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan memikirkan cara terbaik untuk membantu ahli yang pernah diberhentikan akibat masalah tatatertib untuk mendapat pembelaan sewajarnya daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran.

Timbalan Yang Dipertua PBTM negeri, Sarjan Mejar Adnan Ahmad menjelaskan, akibat terikat dengan peraturan lama, kebanyakan bekas tentera yang dikenakan tindakan tersebut tidak mendapat sebarang bantuan.

''Akibat kesalahan lampau, mereka terpaksa menanggung kesannya sehingga hari ini. Malah turut mengakibatkan ahli keluarga mereka sukar untuk menerima bantuan daripada PBTM.

''Oleh itu kita akan adakan satu seminar di Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai masalah ini.

''Rasanya cukuplah mereka menerima hukuman dan kita berharap mereka diberikan peluang untuk mendapatkan bantuan sama seperti ahli lain,'' jelasnya pada Mesyuarat Agung PBTM cawangan Palong di Wisma Pahlawan Felda Palong 4, 5, 6 dekat sini, semalam.

Katanya, antara yang sering dipohon oleh ahli adalah bantuan pendidikan, perubatan dan sara hidup.

''Biasanya ahli yang tidak melakukan kesalahan tatatertib boleh memohon bantuan pendidikan jika anak mereka menyambung pelajaran di institusi pendidikan awam dalam negara ini.

''Anak mereka layak mendapatkan bantuan pendidikan lebih daripada RM1,000 bergantung kepada syarat yang ditetapkan.

''Jika sakit pula, mereka boleh memohon bantuan alat perubatan seperti kerusi roda dan tilam serta bantuan lain," katanya.

Adnan memberitahu, sehingga kini terdapat 15,000 ahli berdaftar bersama PBTM negeri ini dan 5 peratus daripadanya pernah dikenakan tindakan tatatertib.

''Biasanya anggota yang dikenakan tindakan tatatertib ini da yang diarah berhenti dan diberhentikan serta merta bergantung kepada kesalahan," tegasnya.

Muzium Hang Tuah bakal dibuka Julai ini

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Muzium Hang Tuah di Duyong Melaka bakal dirasmi Julai ini.

MELAKA 19 Jun - Lambakan muzium dan galeri di negeri ini bukan halangan buat Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri permuziuman berpendidikan.

Pengurus Besarnya, Datuk Khamis Abas berkata, sehingga kini, Melaka telah mempunyai sebanyak 35 buah muzium dan galeri yang boleh menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Buktinya, sepanjang tempoh dua minggu cuti persekolahan baru-baru ini, muzium-muzium di negeri ini mencatat kunjungan berbayar sebanyak 65,000.

Katanya, biarpun Melaka lebih dikenali dengan produk-produk pelancongan termasuk bangunan-bangunan bersejarah, namun muzium-muzium yang diwujudkan tidak dipandang sepi oleh pengunjung.

"Nampaknya hasrat dan cita-cita kerajaan negeri untuk menjadikan muzium sebagai antara tempat tarikan pengunjung ternyata tidak mendukacitakan kerana mereka yang mengunjungi muzium adalah dalam kalangan yang begitu meminati asas sejarah sama ada negeri ataupun negara.

"Saya melihat usaha mempromosikan muzium- muzium boleh menggalakkan lebih banyak percambahan pengetahuan kepada pengunjung terutamanya golongan pelajar.

"Pernah suatu ketika ada cadangan untuk mewujudkan kira-kira 100 buah muzium di negeri ini, namun peredaran masa dan perubahan pucuk pimpinan banyak mempengaruhi usaha ini dan apa yang ada kini adalah muzium-muzium yang dirasakan penting oleh kerajaan negeri untuk diwujudkan," katanya.

Menurutnya, kebanyakan galeri di negeri ini boleh mencapai taraf muzium sekiranya ditempatkan di kawasan atau bangunan lebih besar dan bersesuaian untuk kunjungan ramai.

Ditanya tentang usaha Perzim bagi mewujudkan lebih banyak muzium di negeri ini, kata Khamis, Perzim dengan kerjasama kerajaan negeri kini sedang dalam peringkat akhir persiapan bagi membuka Muzium Hang Tuah dan rumah lima sahabat di Perkampungan Hang Tuah, Duyong.

"Perzim akan cuba untuk membuka Muzium Hang Tuah dan rumah lima sahabat ini sebelum bulan puasa atau selewat-lewatnya pertengahan Julai ini.

"Buat permulaan, kita akan benarkan orang ramai masuk ke muzium dan rumah lima sahabat itu secara percuma bagi melihat sambutan. Apabila sambutan semakin menggalakkan, kita akan fikirkan untuk mengenakan bayaran," katanya.

Menariknya, selain memaparkan kisah-kisah perjuangan serta ketokohan Hang Tuah sebagai pahlawan terbilang, turut dipaparkan ialah pengkisahan berkaitan jasa-jasa yang ditaburkan Hang Tuah kepada negeri dan juga negara.

Katanya, pelbagai aktiviti sampingan menarik juga disusun termasuk pameran senjata serta busana tradisonal di rumah lima sahabat bagi menarik kunjungan ramai.

0 ulasan:

Catat Ulasan