Selasa, 18 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Lori simen konkrit bermaharajalela

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu lori simen menyebabkan mereka bebas melalui jalan utama di ibu negara untuk ke tapak pembinaan berhampiran.

KUALA LUMPUR 17 Jun - Masalah permukaan jalan raya tidak rata disebabkan tumpahan konkrit dan batu kerikil di sekitar ibu negara semakin merimaskan.

Perkara itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu disebabkan lori-lori simen yang bebas keluar masuk melalui jalan-jalan utama ke tapak pembinaan berhampiran.

Masalah itu dilihat banyak berlaku di kawasan simpang kerana lori yang berhenti di situ akan menumpahkan bahan itu.

Tumpahan itu semakin menebal dan berbonggol-bonggol menyebabkan kenderaan ringan seperti penunggang motosikal sering terdedah kepada bahaya.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota antaranya Jalan Foss di Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Kerinchi, berhampiran Vista Angkasa , Lembah Pantai baru-baru ini mendapati laluan terlibat turut terjejas teruk akibat tumpahan sisa konkrit.

Keadaan itu juga menyebabkan kesesakan dan kemalangan jalan raya kerana para pengguna dilihat cuba mengelak daripada melanggar tumpahan konkrit

Walaupun isu tersebut telah beberapa kali disiarkan di beberapa akhbar tempatan, termasuk Utusan Malaysia, sehingga kini tiada jalan penyelesaian ditemui.

Masalah ini boleh diibaratkan sebagai 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.

Ini kerana pihak kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit menyediakan infrastruktur dan jalan raya bagi keselesaan orang ramai.

Namun disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu masalah itu terus berlarutan.

Sebelum ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui kenyataan balas kepada Utusan Malaysia dalam beberapa siri laporan berkaitan memaklumkan sedang mengkaji kaedah terbaik dan berkesan bagi mengatasi masalah berkaitan.

Ini termasuklah merancang melaksanakan tindakan pemantauan tindakan penguatkuasaan di tapak pengeluaran konkrit.

Peniaga bimbang, terganggu

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Kerja-kerja pembinaan bangunan sembilan tingkat di lorong Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur menimbulkan kebimbangan dan mengganggu peniaga berhampiran yang didakwa menyebabkan gangguan - UTUSAN/ fahmi muhazir

KUALA LUMPUR 17 Jun - Para peniaga tudung di lorong Jalan Tunku Abdul Rahman di sini melahirkan kebimbangan terhadap kerja-kerja pembinaan melibatkan sebuah bangunan sembilan tingkat berhampiran kawasan perniagaan mereka.

Mereka mendakwa walaupun notis sita telah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kerja-kerja pembinaan tetap diteruskan sehingga mengakibatkan pelbagai gangguan kepada mereka.

Wakil peniaga berkenaan, Faizal Abdul Rahman 46 berkata, aduan terpaksa dikemukakan kepada pihak DBKL sebelum ini apabila pemilik premis berkenaan gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, ini termasuk tidak meletakkan sebarang papan tanda bagi kerja-kerja pembangunan mahupun langkah keselamatan.

"Apa yang memeranjatkan kami pemilik premis masih meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian dalam keadaan curi-curi terutama pada waktu malam.

"Apa yang mengecewakan setiap kali hujan, air yang mengalir ke bumbung kedai kami mengandungi bahan binaan, termasuk keladak simen dan pasir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Faizal berkata, pembinaan premis berkenaan juga seolah-olah cuba menganggu usaha mereka selama ini untuk mendapat perhatian DBKL bagi menaikkan taraf 12 buah kedai tudung di lorong berkenaan.

"Bayangkan apabila mereka telah memasang kotak-kotak pendingin hawa berbanding pendingin hawa secara berpusat, ke mana air dari pendingin hawa itu nanti akan disalur keluar selepas alat itu dibersihkan?

"Tentunya akan mengalir, membasahi dan akhirnya menyerap ke dinding gerai-gerai kami yang diperbuat daripada kayu ini. Akhirnya apabila kami tidak lagi mampu bertahan, tentunya kami terpaksa keluar dari sini.

"Semua ini seolah-olah cuba membunuh para peniaga Melayu yang ada di sini,"katanya.

Tambah Faizal, apa yang diharapkan DBKL dapat memberikan perhatian terhadap isu yang menjadi masalah terutama kepada kebanyakan peniaga Melayu di situ.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati premis yang dahulunya merupakan sebuah gedung kain terkenal giat melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian bagi menukar kepada ruang kedai berkonsep 'arked'.

Tinjauan mendapati para peniaga asing dilihat memonopoli arked-arked berkenaan sekaligus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai dan peniaga tempatan.

NGO Sungai Besar protes jelajah pembangkang

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

SHAH ALAM 17 Jun - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Sungai Besar mengingatkan pakatan pembangkang supaya tidak 'menjaja' agenda menanam kebencian rakyat di kawasan itu pada 18 Jun ini.

Antara NGO terbabit ialah Majlis Belia Selangor (MBS) Daerah Sabak Bernam; MAYC Sungai Besar; Kelab Belia Bagan; Kelab Bell Belia Tamil termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan di kawasan Parlimen berkenaan.

Wakil NGO berkenaan, Budiman Mohd. Zohdi (gambar) berkata, tindakan pembangkang yang mahu mengadakan perhimpunan haram di kawasan Parlimen itu esok untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah tidak bertanggungjawab kerana bukan hanya menyalahi undang-undang tetapi juga menafikan keputusan majoriti rakyat yang telah memilih Barisan Nasional (BN).

"Mereka sebenarnya tidak dapat menerima kekalahan walaupun menang tiga negeri termasuk kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat.

"Malah, mereka juga gagal membuktikan dakwaan kononnya ada warga asing mengundi termasuklah bukti lampu padam ketika pengiraan undi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, rakyat di kawasan Parlimen Sungai Besar telah membuat keputusan pada PRU13 dan mereka telah memilih BN serta menolak pembangkang.

Tegasnya, tindakan mengadakan jelajah dan perhimpunan membantah keputusan PRU13 sama seperti menafikan hak serta keputusan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Berdasarkan portal berita pembangkang www.keadilandaily.com, penyokong pakatan pembangkang akan mengadakan siri jelajah sempena kemuncak perhimpunan bantahan keputusan PRU13 atau 'Black 505' pada 22 Jun ini di Kuala Lumpur.

Jelajah tersebut dijangka diadakan di beberapa kawasan termasuk di Parlimen Sungai Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan