Ahad, 23 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Lonjakkan prestasi pendidikan

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

AZLAN Man bersalaman dengan Azemi Salim (kanan) ketika menyampaikan anugerah Tokoh Guru 2013 di Dewan 2020, Kangar semalam. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KANGAR 22 Jun - Menteri Besar, Azlan Man mahu prestasi pendidikan di Perlis kembali dilonjakkan ke tahap lebih membanggakan setanding dengan negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, kata Azlan, kerangka pembangunan pendidikan negeri yang lebih kemas, berfokus, jelas, komprehensif dan pragmatik diperlukan bagi mencapai hasrat itu.

"Harapan saya semoga Perlis berada di puncak seperti negeri-negeri lain yang saban tahun dinobatkan sebagai negeri terbaik dalam rekod peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2013 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa.

Azlan berkata, usaha itu perlu berikutan kerajaan negeri mahu menjadikan Perlis sebagai hab ilmu sekali gus peranan guru juga menjadi lebih kritikal bagi melaksanakan hasrat itu.

Berikutan itu katanya, ruang untuk meningkatkan keterampilan guru perlu difikirkan, keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran perlu dititikberatkan dan kewibawaan kepimpinan sekolah mesti diperkasakan.

Azlan berkata, guru juga perlu sentiasa menambah ilmu, membudayakan inovasi dan meningkatkan kreativiti supaya dapat menangani cabaran pendidikan alaf baru.

Dalam pada itu, Azemi Salim, 61, diumumkan sebagai Tokoh Guru Perlis 2013 sempena majlis tersebut dan menerima selempang, pingat, plak, sijil dan wang tunai RM4,000 sumbangan Bank Rakyat.

Juga turut diumumkan Anugerah Khas Ikon Guru yang disandang oleh Datin Noridah Yang Man dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Guru Cemerlang Kelainan Upaya pula oleh Basaruddin Ahmad dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan dan Guru Cemerlang Pendidikan Khas (Aznan Mat Isa dari SMK Syed Alwi).

Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) pula dimenangi oleh Roslan Yatim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sena.

Bagi Guru Inovatif peringkat Individu Pra Sekolah dimenangi oleh Zuraida Zerai dari SK Tambun Tulang dengan projek 'Dart Bunga', peringkat Individu Sekolah Rendah pula oleh Sakri Mat Noor dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Steela Maris dengan projek 'Jisim-Jom'.

Bagi kategori Individu Sekolah Menengah pula oleh Ahmad Nizom Adnan dari Kolej Vokasional Arau dengan projek 'Kereta Solar' dan Berkumpulan oleh Mohd. Jamil Rosli dan Ayu Suhana Wan Jan dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah dengan projek 'Kaedah Muqatun Dalam Sejarah'.

JAS meterai MoU dengan tiga syarikat minta promosi alam sekitar

Posted: 22 Jun 2013 09:45 AM PDT

MUHAMMAD Amin Zakaria (dua dari kanan) melihat dokumen perjanjian bersama antara Shamsul Ahmad (kiri) dengan Ahmad Syukri Mohd. Ghazman (dua dari kiri) serta Marcelo Figueiredo di Taiping kelmarin.

TAIPING 22 Jun - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak semalam menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan TNB Janamanjung Sdn. Bhd., Vale Malaysia Mineral Sdn. Bhd dan Hume Cement Sdn. Bhd. bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, ketiga-tiga syarikat itu merupakan kumpulan pertama yang menjadi peneraju kerjasama pintar yang dilaksana JAS dengan pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pertubuhan lain di negeri ini.

Menurut Muhammmad Amin, melalui kerjasama tersebut, pihak-pihak terlibat akan memfokuskan kepada usaha melaksana dan mempromosi aktiviti kesedaran alam sekitar serta melaksana, menggalak dan meningkatkan penyertaan keahlian dalam program Rakan Alam Sekitar (RAS).

"MoU ini merupakan permulaan untuk kita menangani dan melihat isu alam sekitar secara bersama iaitu antara kerajaan negeri dan pihak lain termasuk swasta. Kerajaan negeri melalui JAS amat berharap usaha ini dapat dikembangkan termasuk penglibatan IPT dan sekolah dalam RAS.

"Ini kerana bila kita ada rangkaian yang besar dalam RAS, kita akan memperoleh maklumat lebih cepat serta mampu bertindak segera apabila sesuatu masalah tersebut diketahui," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di Zoo Taiping di sini.

Dalam majlis itu, JAS diwakili Pengarahnya, Abdul Razak Abdul Manap manakala TNB Janamanjung diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Shamsul Ahmad.

Pengarah Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd., Marcelo Figueiredo pula mewakili syarikat Vale, manakala Hume Cement diwakili Penasihat Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitarnya, Ahmad Syukri Mohd. Ghazman.

Muhammmad Amin berkata, penglibatan ahli RAS dalam kalangan masyarakat juga berperanan sebagai mata dan telinga membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab membanteras kegiatan-kegiatan yang merosak dan mencemarkan alam sekitar.

"Saya juga amat berharap usaha ini dapat mencetuskan minat dan komitmen lebih ramai pihak-pihak di luar sana untuk sama-sama menyahut seruan kerajaan supaya bekerjasama menyemai rasa tanggungjawab dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan