Rabu, 19 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Pasang CCTV di luar stesen minyak

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 19 Jun - Pengusaha stesen minyak di negeri ini disaran supaya turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik di luar premis mereka bagi memudahkan siasatan polis jika berlaku jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati pengusaha cenderung memasang CCTV hanya di bahagian dalam premis.

"Jika ada CCTV di luar, kita boleh kesan nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki penjenayah terbabit dan mungkin boleh rakam wajah suspek.

"Ini akan memudahkan pihak polis untuk mengesan suspek yang terlibat dengan melihat nombor pendaftaran atau kenderaan yang mereka naiki," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Hari Keselamatan Shell di sini hari ini.

Kata beliau, kualiti CCTV dipasang pengusaha stesen minyak juga perlu diambil kira bagi memastikan hasil rakaman itu dapat dimainkan semula bagi melengkapkan siasatan.

"Sikap sesetengah pemilik premis yang mementingkan keuntungan dengan memasang CCTV kurang berkualiti bukan saja menyukarkan polis menjalankan siasatan, bahkan merugikan mereka jika premis itu dipecah masuk.

"Ada kes yang berlaku sebelum ini misalnya, kes pecah masuk membabitkan sebuah pasar raya baru-baru ini. Pemilik memang ada pasang CCTV, tapi CCTV itu hanya untuk pemantauan saja dan tidak boleh merekodkan serta menyimpan setiap rakaman," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha stesen minyak mendapatkan nasihat daripada ketua polis daerah masing-masing mengenai lokasi yang strategik bagi tujuan tersebut.

"Sekiranya kerjasama seperti ini dapat dipupuk oleh semua pihak, saya yakin kadar jenayah di negeri ini dapat dikurangkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengikut statistik bermula Januari hingga bulan lalu, terdapat sebanyak 14 kes jenayah telah berlaku di stesen minyak di seluruh negeri.

"Antaranya melibatkan tujuh kes kecurian motosikal dan masing-masing satu kes curi van, kereta, pecah masuk malam dan ugutan jenayah," ujarnya.

Menurut beliau, untuk tempoh yang sama tahun lalu pula, sebanyak 11 kes jenayah berlaku di stesen minyak.

235 usahawan muda diberi modal melalui Putek

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek RM300,000 kepada Sallehhoddin Abu Bakar (kiri) dalam majlis Penyerahan Bantuan Modal Mula Program Inkubator GiatMara Pahang 2013 di Kuantan, semalam.

KUANTAN 19 Jun - Kira-kira 235 usahawan muda di negeri ini diberi suntikan modal melalui Kursus Pembudayaan Keusahawanan Teknikal (Putek) dari awal tahun lalu sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, jumlah itu melibatkan peruntukan lebih RM1.1 juta yang diberi oleh GiatMara Pahang.

"Setiap pelatih akan menerima RM5,000 bantuan yang disalurkan dengan bantuan modal mula RM1,000 manakala selebihnya RM4,000 bantuan peralatan.

"Melalui peruntukan modal berkenaan akan dapat membantu usahawan muda ini untuk memulakan perniagaan mereka dengan ilmu yang diperolehi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Modal Mula Program Inkubator GiatMara Pahang 2013 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Salemi Yusof dan Pengarah GiatMara negeri, Sallehhoddin Abu Bakar.

Shahiruddin berkata, kewujudan institusi seperti GiatMara merupakan contoh terbaik yang mana kerajaan membantu rakyat terutama golongan muda menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, usahawan baharu terutama di kalangan orang Melayu perlu merebut peluang ini kerana selain Malaysia tidak ada kerajaan di dunia ini yang membela anak muda untuk terlibat dalam perniagaan.

Menurutnya, bagi menjana masa depan yang lebih baik, seseorang usahawan baharu itu perlu berani mencuba dan jangan takut pada kegagalan.

"Jangan mudah mengalah jika gagal, tingkatkan usaha dan berhubung dengan Mara untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pelbagai bantuan yang disediakan.

"Jika ada anak-anak muda yang hendak belajar, meningkat ilmu, tidak ada sebab Mara tidak boleh bantu," katanya.

11,000 tong sampah percuma diagih kepada penduduk

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

JERANTUT 19 Jun - Alam Flora Sendirian Berhad mengagihkan secara percuma sebanyak 11,000 tong sampah mudah alih model baharu kepada penduduk taman perumahan dan premis perniagaan di sekitar bandar ini kelmarin.

Antara kawasan agihan tong berkenaan ialah di Taman Inderapura Fasa Satu, Dua dan Tiga, Taman Angsana, Taman Angsana Height, Taman Woodland dan Taman Woodland Height.

Penyelia Operasi Alam Flora Jerantut, Muhammad Ammarasyras Azmi berkata, agihan tong sampah berkenaan untuk kegunaan selama tujuh tahun dan dapat diselaraskan dengan lori pengangkut sampah yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Beliau berkata, penukaran tong sisa pepejal mudah alih baharu itu bertujuan diselaraskan dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang bermula 1 September 2011 dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSSPPA).

"Tong ini boleh diselaraskan dengan lori pengangkut dan memberi keselesaan kepada pekerja Alam Flora yang tidak perlu lagi memegang sampah dalam plastik kerana boleh terus dipunggah dan dituang ke dalam lori.

"Alam Flora meminta penghuni kediaman atau pemilik premis perniagaan meletakkan semua sisa pepejal atau sampah basah dan lembut ke dalam pembalut plastik dan diikat kemas agar tidak terkeluar daripada beg plastik berkenaan bagi memudahkan pemunggahan," katanya.

Menurut beliau, penduduk perlu mengasingkan cecair daripada makanan sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik sampah untuk mengelakkan mudah pecah apabila terlampau berat dan sarat.

Katanya, Alam Flora juga meminta penduduk tidak membuang bahan berbahaya seperti alat picagari, bateri, cat, tin semburan serangga ke dalam tong tersebut kerana syarikat itu sudah menyediakan jadual pengambilan sampah pukal pada hari yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, jadual pungutan sampah akan dilakukan dua kali seminggu di semua kawasan perumahan dan sekali bagi memunggah bahan sisa pukal menerusi jadual operasi yang akan diedarkan untuk makluman penduduk bandar ini dalam masa terdekat.

"Kita juga menasihatkan penduduk jangan membuang bahan sisa bara api, sampah kebun dan bahan pepejal lain ke dalam tong baharu yang berkemungkinan mudah terbakar," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan