Isnin, 24 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Siti Hanisah ikon belia NS

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh FARABI SHIEKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Siti Hanisah Sharuddin (tiga dari kanan) menerima Anugerah Khas Daya Juang Belia daripada Mohamad Hasan sempena Sambutan Hari Belia Negara dan Karnival Kecergasan Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Rembau, Negeri Sembilan, malam semalam.

REMBAU 23 Jun - Kejayaan Siti Hanisah Sharuddin, 23, dari Felda Jelai 1, Gemas untuk menawan puncak Gunung Everest baru-baru ini diberi pengiktirafan kerajaan negeri apabila dia terpilih menerima Anugerah Khas Daya Juang Belia di sini malam tadi.

Anugerah tertinggi itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam majlis gilang-gemilang bersempena Sambutan Hari Belia Negara dan Karnival Kecergasan Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Rembau dekat sini malam tadi.

Penerimaan anugerah berkenaan membolehkan wanita Islam termuda dunia menawan puncak berkenaan menerima plak dan sijil, selain wang RM3,000 yang disampaikan oleh Mohamad.

Hanisah yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, penganugerahan ini bukan sahaja cukup bermakna bagi dirinya sebagai anak Felda tetapi merupakan manifestasi kecekalan wanita Malaysia dalam mengharungi apa sahaja cabaran.

''Bagi saya, anugerah ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas oleh saya, bukan untuk bermegah tetapi menjadikannya cabaran untuk saya terus berusaha mencapai sesuatu yang luar biasa.

''Malah, ini merupakan satu inspirasi untuk wanita mencapai kejayaan yang bukan sahaja bermanfaat kepada dirinya tetapi negara dan dunia," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaluddin Said; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris.

Dalam pada itu, Mohamad ketika mengulas pemilihan Siti Hanisah sebagai penerima anugerah berkenaan memberitahu, kerajaan negeri melihat pencapaiannya cukup luar biasa dalam melonjakkan semangat generasi muda untuk terus mencipta kejayaan mengharumkan nama negara.

Tambah beliau, lebih istimewa Siti Hanisah merupakan wakil belia wanita pertama Islam yang perlu dijadikan contoh bagi semua belia di negeri ini supaya terus mempamerkan semangat juang dalam mengharumkan nama negara di pentas dunia.

''Kita juga mempunyai perancangan akan membawa Siti Hanisah menjelajah ke setiap pelosok daerah ini untuk memberikan ceramah motivasi kepada anak-anak negeri ini supaya membakar semangat belia kita untuk mencapai kejayaan.

''Kejayaan dia seharusnya menjadi contoh. Jika kita mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi untuk mencapai sesuatu, tidak mustahil kita akan memperolehnya," kata Mohamad.

1,700 kakitangan Sains nikmati gaji baharu

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

TELOK KEMANG 23 Jun - Berita baik buat 1,700 pegawai dan kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) apabila mereka bakal menerima penyelarasan gaji baharu berkuatkuasa Januari lalu yang akan dibayar pada penghujung bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan perkara itu menjelaskan, bayaran gaji baharu berkenaan meliputi gaji yang sudah berkuatkuasa sejak Januari selepas diputuskan akhir tahun lalu oleh ahli lembaga syarikat berkenaan.

Tambahnya, penyelarasan semula yang Sains lakukan bukan sahaja meliputi aspek gaji malah setelah lima tahun diperbadankan pada 2008, lembaga pengarah merasakan perlu dibuat kajian semula terutama berkenaan tanggungjawab dan bidang kerja setiap kakitangan.

''Kajian semula ini dilakukan memandangkan Sains dari semasa ke semasa menambah operasinya dan syarikat memerlukan kakitangan yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang masing-masing.

''Berikutan itu kita memutuskan untuk mengubah suai terma dan syarat pekerjaan dalam Sains yang mendatangkan lebih faedah terutamanya membabitkan bayaran gaji dan elaun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Hari Keluarga 2013 Sains di Permaisuri Resort dekat sini semalam yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi negeri, Datuk Ismail Lasim dan Pengurus Besar Sains, Zulkifli Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berharap keputusan ini dilihat mampu menjadi pendorong kepada semua kakitangan syarikat berkenaan untuk terus meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti dari semasa ke semasa.

Ini kerana, katanya, setiap bulan Sains mengalami defisit hampir RM1 juta ekoran perbelanjaan melebihi pendapatan yang sedikit sebanyak mengganggu prestasi syarikat utiliti berkenaan.

''Oleh demikian kita harapkan warga Sains memainkan peranan mereka dengan bergerak sebagai satu pasukan yang kuat dan mengamalkan budaya kerja produktif selain meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan," katanya.

Bengkel terbakar, lima kereta musnah

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Bengkel milik Ah Keng terbakar dan turut memusnahkan lima buah kereta milik pelanggan di Taman Datuk Tambi Chik Karim, Melaka, malam semalam.

MELAKA 23 Jun - Seorang pengusaha bengkel membaiki kenderaan rugi RM200,000 selepas premis miliknya di Taman Datuk Tamby Chik Karim terbakar malam tadi.

Menurut mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Keng, 39, kejadian pukul 9.42 malam itu turut memusnahkan lima buah kereta milik pelanggannya.

"Saya menutup bengkel pada pukul 8.45 malam sebelum pulang ke rumah di Paya Rumput.

"Bagaimanapun, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan kira-kira pukul 10 malam yang memaklumkan tentang kejadian sebelum saya bergegas ke bengkel," katanya sambil memberitahu, kebakaran tersebut adalah kali pertama menimpanya sejak 10 tahun mengusahakan bengkel di situ.

Kata Ah Keng, kenderaan yang terbakar dalam kejadian itu adalah sebuah kereta jenis Hyundai Atos, Perodua Kancil (2) dan masing-masing sebuah Proton Wira dan Proton Saga.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguasa Bomba Kanan Mohd. Shahril Zauni berkata, pihaknya mendapat maklumat dan bergegas ke tempat kejadian pada pukul 9.42 malam.

Katanya, ketika sampai api marak dan merebak ke bahagian depan dan kiri bengkel namun dapat dikawal 14 minit kemudian.

"Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.11 malam dan punca kejadian serta kerugian sebenar masih lagi dalam siasatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan