Ahad, 16 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Tanah Orang Asli diceroboh

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penduduk yang mengadakan bantahan berhubung isu pencerobohan tanah rizab Orang Asli di Pengkalan Daun, Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak, kelmarin.

TELUK INTAN 15 Jun - Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas bagi menangani kegiatan pencerobohan tanah rizab Orang Asli seluas lebih 120 hektar di Pengkalan Daun, Chenderong Balai di sini yang didapati semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Kegiatan itu yang didalangi peneroka haram menjadikan tanah rizab berkenaan sebagai kawasan penanaman kelapa sawit sehingga mengancam kepentingan penduduk Orang Asli yang mengusahakan tanaman berkenaan untuk menyara hidup.

Malah, peneroka haram terbabit didakwa bertindak keterlaluan dengan menceroboh tanah rezab berkenaan untuk membina jalan.

Tok Batin Pengkalan Daun, Razak Beh Ongil berkata, kegiatan pencerobohan tanah Orang Asli di kawasan itu semakin menjadi-jadi tetapi tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa bagi menanganinya.

"Mereka menceroboh dan tanam pokok kelapa sawit, seolah-olah tanah milik mereka. Kami sudah duduk dan mengusahakan tanah di sini sejak tujuh keturunan dan mereka datang ganggu periuk nasi kami," katanya ketika mengetuai bantahan secara aman sekumpulan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut semalam.

Razak berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kegiatan tersebut dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Seorang penduduk Orang Asli, Bee Itam, 83, berkata, jika benar dakwaan bahawa pihak pejabat daerah ada mengeluarkan geran bagi tujuan aktiviti berkenaan, siasatan lanjut serta kajian semula wajar dilakukan kerana kawasan berkenaan merupakan tanah rizab Orang Asli.

Katanya, pihaknya sudah mengajukan perkara itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum diminta merujuk kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak, tetapi sehingga hari ini tiada tindakan lanjut dilakukan.

"Mereka buat kami seperti bola, sekejap diminta merujuk kepada satu pihak dan satu pihak lagi minta kami merujuk kepada pihak lain. Saya harap pihak berkenaan jangan ambil mudah perkara ini.

"Kami tidak peduli sama ada benar kawasan tersebut sudah mempunyai geran atau tidak kerana lebih penting ialah tempat berkenaan merupakan tanah rizab Orang Asli, jadi mereka tidak boleh masuk sesuka hati. Tanah itu tempat kami mencari rezeki," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang dihubungi meminta Jabatan Perhutanan negeri dan pejabat daerah supaya menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan tegas kerana melibatkan tanah rizab Orang Asli.

"Kawasan ini tanah rizab Orang Asli tetapi kita kesal kerana masih ada pihak yang menceroboh dengan menanam kelapa sawit. Saya harap pihak berkenaan ambil tindakan bagi mengelakkan kegiatan ini daripada terus berleluasa," ujar beliau.

80 pelajar tingkatan enam terima dermasiswa Baiduri

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Muhammad Amin Zakaria (kiri) mengiringi Saripah Zulkifli beramah mesra dengan para pelajar yang menerima sumbangan pada majlis penyampaian Dermasiswa Baiduri di kediaman Menteri Besar di Ipoh, semalam.

IPOH 15 Jun - Sebanyak 80 pelajar tingkatan enam dari keluarga kurang berada mendapat suntikan semangat menjelang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) November ini apabila menerima sumbangan dermasiswa daripada Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri).

Sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang itu disampaikan oleh Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria di Kediaman Menteri Besar Perak, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Saripah berkata, program dermasiswa kepada pelajar sekolah merupakan aktiviti paling lama dianjurkan oleh Baiduri sejak penubuhannya pada 1983.

"Pada tahun ini, kita tawarkan kepada 50 buah sekolah di negeri ini untuk memilih dua pelajar yang mempunyai pencapaian akademik sederhana dan dari keluarga berpendapatan rendah tetapi hanya 40 buah sekolah menerima tawaran ini.

"Jadi, tahun ini, hanya seramai 80 pelajar menerima sumbangan ini walaupun matlamat kita ialah seramai 100 pelajar," katanya.

Menurut Saripah, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu diharap dapat meringankan keluarga pelajar berkenaan untuk menyediakan keperluan pendidikan anak-anak.

Beliau juga menasihatkan para pelajar tingkatan enam supaya tidak berasa rendah diri ekoran pandangan skeptikal kononnya mereka merupakan pelajar terpinggir yang gagal memasuki universiti selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya selalu beritahu perkara ini kepada para pelajar tingkatan enam. Saya dan suami saya, (Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) juga merupakan pelajar tingkatan enam sebelum masuk ke universiti," katanya.

Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Baiduri atas bantuan tersebut dan mahu menggunakan sumbangan tersebut dengan sebaik-baiknya untuk berjaya dalam STPM.

Muhammad Zufadhli Mohd. Zaki, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam di Sitiawan, berkata, pemberian tersebut akan digunakan untuk membeli buku-buku rujukan untuk peperiksaan STPM.

"Saya berterima kasih kepada Baiduri kerana bantuan ini dapat meringankan beban keluarga untuk menyediakan bahan-bahan bagi menghadapi peperiksaan STPM," ujarnya.

Bagi Lee Yun Zhi, 19, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shing Chung di Sungai Siput, bantuan tersebut amat bermakna kerana bapanya cuma bekerja sebagai penjaja manakala ibunya, pembantu rumah.

"Saya akan gunakan wang ini untuk membeli buku rujukan dan seterusnya mencatatkan keputusan cemerlang dalam STPM supaya dapat mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang pensyarah," katanya.

Sementara itu, B. Nittiya, 19, dari SMK St. Anthony, Teluk Intan yang bercita-cita menjadi seorang doktor pula mahu memberikan wang tersebut kepada ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan