Selasa, 18 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Arahan pindah premis hiburan kekal

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron

MELAKA 17 Jun - Arahan kepada 12 pemilik pusat hiburan di Taman Merdeka Permai untuk berpindah ke lokasi baharu di Melaka Raya, Banda Hilir sehingga 7 Ogos ini adalah kekal seperti yang diputuskan sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur lagi dengan keputusan yang telah dipersetujui pada mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum ini.

Menurutnya, semua pemilik pusat hiburan berkenaan perlu akur dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

"Saya dengar ada pemilik premis merayu untuk kekal beroperasi di kawasan tersebut dengan alasan mereka telah berbelanja besar membuat pengubahsuaian di pusat tersebut.

"Saya ingin bertanya kepada pemilik premis bagaimana mereka beroperasi dan membuat pengubahsuaian sedangkan pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan lesen dan kerajaan negeri pula tidak memberi sebarang kelulusan lagi?" soalnya di sini baru-baru ini.

Idris mengulas mengenai rayuan pemilik pusat hiburan di Taman Merdeka Permai yang meminta MPHTJ membatalkan arahan berpindah dan mengekalkan mereka beroperasi di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua MPHTJ, Sapian Haron dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan notis arahan telah dikeluarkan pada 7 Mei lalu dan kesemua 12 pemilik pusat hiburan berkenaan diberi tempoh sehingga 7 Ogos ini untuk berpindah ke lokasi yang ditetapkan di Melaka Raya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, polisi kerajaan kini ialah untuk menempatkan semua pusat hiburan di negeri ini di satu kawasan iaitu di Melaka Raya sahaja dan ia tidak boleh beroperasi melainkan lokasi yang telah ditetapkan.

"Ini kita lakukan adalah untuk mudah memantau sebarang aktiviti di satu kawasan sahaja selain memastikan mereka mematuhi arahan yang dikeluarkan," katanya.

Beliau menegaskan, kawasan Melaka tidak luas dan ia adalah mudah kepada penduduk ingin berhibur datang ke Melaka Raya di Banda Hilir.

Katanya, walaupun ada di antara mereka yang datang dari kawasan luar bandar seperti Kuala Linggi di Masjid Tanah ia sekadar memakan masa setengah jam untuk sampai ke Melaka Raya.

Menurutnya, Melaka tidak perlu mempunyai pusat hiburan di merata tempat melainkan hanya satu kawasan yang ditetapkan iaitu di Melaka Raya.

Promosi perkenal makanan tradisional NS

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Wartawan Utusan Malaysia, Noor Hanis Harun (kiri) menyusun kuih sepang bersama rakan media sempena program Negeri Sembilan Food Trail 2013 di Restoran Cendol Madu Rembau, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 17 Jun - Negeri Sembilan bukan sahaja merupakan satu-satunya negeri yang masih mengekalkan tradisi Adat Perpatih, malahan turut popular dengan pelbagai jenis makanan tradisionalnya yang menjadi pujaan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaidi Kassim berkata, kelebihan Negeri Sembilan ini terletak pada lokasinya yang strategik antara Singapura dengan Lembah Klang dan umpama tempat perhentian untuk pelancong.

''Pada tahun ini, kita menyasarkan seramai lima juta pelancong datang berkunjung ke negeri ini dan merasai pengalaman suasana di kampung.

''Kita ingin mengetengahkan tarikan utama pelancong, selain pantai peranginan, tempat penginapan inap desa, aktiviti ekopelancongan dan makanan tradisional tinggalan nenek-moyang," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa penutupan Negeri Sembilan Food Trail 2013 di hentian terakhir program tersebut di Restoran Cendol Madu Rembau, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak Tourism Malaysia dan kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak media dan agensi pelancongan yang terlibat dalam program jelajah selama tiga hari itu.

''Kami berharap dengan adanya program seperti ini, pengunjung berpeluang mengetahui tentang keunikan Negeri Sembilan ini melalui masakan tradisional kita.

''Dalam siri kali ini kita menjelajah tiga daerah iaitu Seremban, Kuala Pilah dan Rembau, yang mana setiap daerah mempunyai identiti makanan yang berbeza, sebagai contoh apam johol, kuih sepang dan masak lomak cili api daging salai," katanya.

Tambahnya, sempena acara Tahun Melawat 2014 tidak lama lagi, pihak Tourism Malaysia akan menganjurkan lebih banyak lagi program yang berbentuk jelajah negeri.

''Kita merancang untuk menjadikan Port Dickson sebagai salah satu perhentian dalam program Negeri Sembilan Food Trail yang seterusnya selepas ini," katanya.

Persandingan 19 pasangan pengantin saudara muslim meriah

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Othman Mohamad (tiga dari kanan) bermesra dengan Iskandar Lee dan Suzana Hassan antara 19 pasangan pengantin saudara baru dalam majlis persandingan beramai-ramai di Taman Rempah, Melaka, semalam.

MELAKA 17 Jun - Sebanyak 19 pasangan mempelai terdiri daripada saudara muslim dari seluruh negeri ini diraikan dalam satu majlis persandingan beramai-ramai di Taman Rempah di sini malam tadi.

Persandingan serba meriah dan berwarna-warni itu dihadiri ribuan pengunjung termasuk ahli keluarga semua pasangan pengantin bagi memberi ruang kepada saudara baharu melangsungkan perkahwinan beramai-ramai.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad berkata, majlis anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) telah diadakan sejak lima tahun lalu dan mencatat penyertaan paling ramai tahun ini.

"Majlis seperti ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan budaya perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat negara ini kepada pengunjung pelbagai bangsa serta pelancong luar," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Baharom Majid.

Majlis persandingan beramai-ramai itu merupakan sebahagian program yang disusun sempena Festival Jemputan Sungai Melaka 2013 yang diadakan sepanjang Jun ini.

Jelas Othman, penganjuran program itu juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri khususnya MAIM yang sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan saudara muslim di negeri ini.

Ujarnya, setiap pasangan yang baharu melangkah ke alam perkahwinan perlu mempunyai nilai kesedaran yang tinggi bagi menghadapi perubahan dalam diri dan pasangan.

"Ini adalah penting kerana kesannya nanti bukan sahaja akan membawa kepada pasangan bahagia, malahan berupaya menjadi contoh untuk mencorakkan persekitaran serta zuriat yang lahir nanti.

"Selain itu, toleransi dan pengorbanan juga perlu ada pada setiap pasangan bagi memperoleh manfaat besar kepada pembentukan keluarga yang harmoni," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan