Selasa, 25 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka Parade setanding luar negara

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

PERARAKAN basikal tua turut memikat pengunjung pada acara Melaka Parade bersempena Festival Jemputan Sungai Melaka 2013.

MELAKA 24 Jun - Perarakan Melaka atau Melaka Parade yang dianjurkan di negeri ini saban tahun bersempena Festival Jemputan Sungai Melaka dilihat setanding malah mampu menyaingi kehebatan perarakan-perarakan lain termasuk di luar negara.

Kenyataan ini sememangnya berasas malah dengan kehadiran pengunjung melebihi 15,000 orang hanya pada satu malam, Melaka Parade kini boleh dianggap ikon bagi festival tersebut.

Kemeriahan perarakan yang sungguh berwarna-warni dan dipenuhi persembahan menarik itu bukan sahaja memukau pengunjung tempatan, malah juga memberi pengalaman baharu kepada pelancong luar yang mungkin tidak mengetahui kewujudan acara tersebut di negeri ini.

Dengan menampilkan identiti Melaka itu sendiri, Melaka Parade merupakan pentas bagi memperkenalkan kepada masyarakat luar khususnya mengenai tarikan utama pengunjung melalui 12 subsektor pelancongan negeri.

Perarakan yang bermula pada pukul 9 malam itu dimulakan dengan persembahan tarian selamat datang oleh penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri dengan menampilkan sepanduk 12 subsektor berkenaan sebagai simbolik pengenalan.

Para penonton yang kebanyakan datang bersama keluarga semakin teruja dan mula memenuhi tepi-tepi Jalan Hang Tuah itu untuk melihat dengan lebih dekat serta sabar menanti persembahan seterusnya.

Kira-kira 10 minit selepas itu, jalan utama sepanjang hampir 500 meter itu mula diambil alih oleh kereta-kereta berhias dengan pelbagai warna, corak dan keunikan masing-masing.

Subsektor sejarah memulakan perarakan diketuai Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) yang menampilkan rumah tradisional Melayu Melaka dihias cantik beserta penerangan mengenai rumah berkenaan oleh juruhebah.

Majlis yang semakin meriah dengan sorakan para pengunjung yang dilihat begitu teruja malah ada yang sanggup berdiri di atas kerusi untuk melihatnya secara lebih jelas.

Setelah mengambil tempat selama kurang 10 minit, subsektor budaya mula mengambil tempat dengan mengetengahkan persembahan tarian naga, gendang cina, masyarakat India Peranakan selain perarakan kereta lembu.

Lebih menghiburkan, subsektor ini turut menampilkan kira-kira 100 basikal tua yang diarak oleh penunggangnya lengkap berpakaian klasik seperti di zaman silam.

Para penonton turut disajikan dengan persembahan selingan antara perarakan-perarakan berkenaan antaranya termasuklah tarian, sketsa lakonan, brassband, nyanyian dan sebagainya yang dilihat mampu menghangatkan lagi suasana.

Subsektor rekreasi kemudian tampil mempamerkan maskot-maskot taman tema yang terdapat di negeri ini termasuklah Melaka Wonderland, Zoo Melaka dan Taman Burung.

Diikuti subsektor sukan yang menampilkan persembahan seni bela diri yang terkenal di negara ini termasuk silat, tekwondo, silambam dan sebagainya.

Perarakan kemudiannya diteruskan dengan subsektor beli-belah yang turut mempromosikan lokasi-lokasi membeli-belah terkenal di Melaka termasuklah Dataran Pahlawan, Hatten Group, AEON Bandaraya dan Tesco.

Subsektor kesihatan pula menampilkan perarakan disertai kakitangan Hospital Pakar Putra, Hospital Pantai dan beberapa hospital lain yang menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan rawatan.

Subsektor pendidikan pula menampilkan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terdapat di seluruh negeri ini termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Multimedia (MMU), Kolej Yayasan Melaka dan lain-lain.

Perarakan daripada subsektor lain termasuk belia, konvensyen, agro, makanan dan Melaka Rumah Keduaku sehingga berakhir kira-kira pada pukul 12.30 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Baharom Majid berkata, perarakan itu sebelum ini hanya diadakan secara kecil-kecilan bersempena Pesta Sungai Melaka yang diadakan sejak 2007.

"Melaka Parade kini telah berubah wajah dan pengisiannya lebih meriah bagi menjadikan ia lebih relevan dengan pesta berkenaan yang telah dinaiktaraf menjadi Festival Jemputan Sungai Melaka bermula tahun ini," katanya.

Menurut beliau, sebanyak 2,000 peserta dari 80 kontinjen terlibat dalam acara ini termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta dari seluruh negeri.

"Melaka Parade diharap dapat menjadi aktiviti tahunan yang akan dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri sebagai daya tarikan pelancong dari serata tempat," ujarnya.

Bukti idea PM tepati sasaran

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh amran mulup
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 24 Jun - Sejuta orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka di Jalan Hang Tuah membuktikan hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk di bandar ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, angka tersebut membuktikan peranan yang dimainkan oleh UTC Melaka telah dapat menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai untuk semua urusan di luar waktu kerja.

Menurutnya, sejak dibuka, UTC Melaka menerima kunjungan seramai 2,800 orang sehari dan mencapai pengunjung ke sejuta pada 22 Jun lalu.

''Angka ini sudah cukup membuktikan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh UTC Melaka dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.

''Semua bangsa tidak kira Melayu, Cina, India serta lain-lain bangsa menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh 70 agensi kerajaan Persekutuan, negeri dan swasta selama tujuh hari seminggu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Pertama penubuhan UTC Melaka di Jalan Hang Tuah di sini semalam.

Yang turut hadir bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengurus Besar Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Mashitah Ismail.

Serentak dengan itu juga Idris turut merasmikan Pusat Muzik UTC Melaka yang menyediakan studio jamming, studio rakaman, kelas muzik, karaoke dan kelas vokal yang berada di tingkat 8 bangunan tersebut.

Kata Idris, pembinaan UTC Melaka bernilai RM28.3 juta yang merupakan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar dipermudahkan.

''Saya puas hati dengan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk penduduk di bandar raya ini bagi menyelesaikan urusan harian mereka walaupun pada masa cuti hujung minggu," katanya.

Begitupun, katanya, masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan mutu perkhidmatan ditingkatkan.

Justeru, beliau mahu semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri tidak menimbulkan sebarang runggutan daripada rakyat yang membuat urusan di situ.

Usaha perkenal identiti sektor pelancongan Melaka

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

MELAKA 24 Jun - Melaka Parade yang dianjurkan secara besar-besaran buat pertama kalinya baru-baru ini merupakan pentas bagi Melaka untuk memperkenalkan tentang identiti serta daya tarikan sektor pelancongan negeri kepada para pengunjung dalam dan luar negara.

Seorang pengunjung, Azizan Md. Zin, 49, berkata, perarakan penuh meriah itu sememangnya sesuatu yang unik dan dapat memberi idea kepada orang ramai mengenai Melaka secara keseluruhan.

"Orang ramai tidak perlu pergi ke banyak tempat untuk mengetahui tentang Melaka kerana melalui perarakan ini dapat bagi semua maklumat yang mereka perlu tahu terutamanya berkaitan pelancongan.

"Semua aspek pelancongan yang menjadi tarikan utama di negeri ini dapat digambarkan melalui perarakan penuh menghiburkan ini," katanya yang datang dari Pulau Pinang.

Penduduk setempat, M. Rajan, 32, pula memberitahu, dia tidak menyangka Melaka juga mempunyai acara perarakan seperti itu malah berasa bangga dengan penganjurannya.

"Acara ini dapat memperkenalkan bidang pelancongan Melaka kepada pelancong malah ada pelancong luar negara turut sama hadir untuk melihatnya.

"Perarakan in perlu diadakan lagi kerana ini mampu menaikkan nama Melaka di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Ahmad Ramli, 61, berkata, program seperti perarakan itu bagus kerana ia bukan sahaja memperkenalkan pelancongan tetapi juga memperkenalkan budaya Melayu.

"Tidak banyak lagi program yang dianjurkan pada masa kini menekankan tentang budaya Melayu yang menjadi kebanggaan kita.

"Dengan adanya program seperti ini, masyarakat luar boleh mendapat maklumat dan gambaran tentang adat serta keunikan budaya orang Melayu," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan