Khamis, 27 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Promosi keropok lekor Pahang

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

HABSAH
Peramu, Kuantan

Seorang pekerja, Fateehah Mohd. Noor (kanan), membuat keropok lekor untuk dipasarkan di sekitar negeri Pahang dan Kuala Lumpur di kampung Chendor, Pahang.

Saudara Pengarang,

KEROPOK lekor merupakan makanan ringan popular bagi masyarakat Pantai Timur terutamanya di negeri Terengganu.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan dan sagu serta diadun menjadi satu adunan lembut yang kemudian menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Pada masa kini, pengeluaran keropok lekor bukan lagi tertumpu di kawasan negeri Terengganu malah sudah melangkau di Pahang terutamanya di daerah Kuantan.

Penjualan keropok lekor ini banyak tertumpu di kawasan sepanjang jalan daripada sempadan Pahang dekat Chendor sehinggalah ke Kempadang.

Namun, bagi penggemar tegar makanan berkenaan, keropok lekor yang dihasilkan di negeri lain dianggap tidak dapat menandingi keenakan keropok dihasilkan di negeri itu terutamanya Kuala Terengganu.

Bagaimanapun itu hanyalah persepsi sahaja kerana Terengganu lebih banyak mempromosikan produk ini menyebabkan ia menjadi sinonim dengan negeri itu.

Ini berlainan di negeri Pahang apabila kekurangan promosi kepada industri ini menyebabkan ia tidaklah sepopular keropok daripada Terengganu.

Sedangkan bagi yang telah mencuba keropok lekor buatan Kuantan, ramai yang tidak menyangka, ia lebih enak daripada yang dijual di Terengganu.

Justeru, saya amat berharap kerajaan negeri memajukan industri ini dan mempromosikan sebagai salah satu tarikan pelancongan ke daerah ini.

Ia bukan sahaja menambahkan lagi produk bumiputera di pasaran dalam dan luar negara turut memajukan industri halal di negeri ini.

Saya yakin dengan adanya promosi akan membolehkan industri keropok lekor di negeri ini maju seperti di Terengganu.

Contohi semangat anak Felda tawan Everest

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

UDIN, Jengka Pahang

Sebahagian pendaki gunung Everest disambut oleh peneroka di Felda Jengka 19, Pahang, baru-baru ini.

PADA bulan Mei yang lalu, seramai tiga anak peneroka Felda dari Pahang telah berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest.

Dua daripada tiga anak Felda itu adalah dari Felda Tersang 3, Raub iaitu Mohd. Nasuha Shamsudin, 21, dan Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, manakala seorang lagi Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, dari Felda Chini Timur 1, Pekan.

Kesemua mereka adalah antara tujuh pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut.

Saya sebagai anak peneroka di negeri ini mengucapkan tahniah kepada mereka kerana membanggakan warga Felda bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.

Ini bukan satu kejayaan biasa, sebaliknya satu kejayaan besar kepada warga Felda secara keseluruhan dan sewajarnya mereka mendapat pengiktirafan.

Saya lihat anak-anak peneroka Felda jika diberi peluang yang sewajarnya seperti ini, mereka mampu melaksanakan dengan baik dan boleh membanggakan negara.

Anak-anak Felda bukanlah seperti dahulu apabila ada terlibat dengan pelbagai aktiviti sosial seperti lumba haram, penagihan dadah dan sebagainya.

Kini anak-anak Felda mampu seiring dengan kemajuan negara. Jika diberi peluang seperti ini pasti ramai anak Felda yang mampu membanggakan negara.

Justeru, saya harapkan anak-anak Felda lain perlu mencontohi tiga anak muda ini yang berjaya menawan puncak Gunung Everest bagi mengharumkan nama negara.

Semangat Malaysia Boleh anakanak muda Felda itu membuktikan tidak ada perkara mustahil dicapai selagi ada kemahuan dan semangat juang tinggi.

Tidak ada apa yang mustahil jika kita rajin berusaha, pasti kejayaan akan datang bersama, tidak kiralah anak peneroka atau sesiapa sahaja.

Tiada kompromi cermin gelap

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Mohamat Johari Mat Nor (kanan) memeriksa sebuah lori sempena Ops Bersepadu bersama pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat di Stesen Timbang JPJ, Benta, Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 27 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak berkompromi dengan peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Man berkata, penguatkuasaan peraturan berkenaan amat penting untuk keselamatan pengguna jalan raya khususnya mengelakkan gangguan penglihatan terutama pemanduan pada waktu malam.

Beliau berkata, untuk itu, pemeriksaan menerusi Ops Bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain akan terus dilakukan di jalan raya utama negeri ini tanpa 'memilih bulu' terhadap pemandu yang cuai.

"Jika dikesan buat kali pertama kenderaan awam yang dipasang cermin gelap melanggar piawaian, kita cuma keluarkan notis untuk pemeriksaan selanjutnya di JPJ berdekatan dan Puspakom, selain pendekatan kami memberi nasihat kepada pemandu berkenaan," katanya kepada pemberita semasa Ops Bersepadu di Stesen Timbang JPJ di Jalan Benta-Kuala Lipis, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ Pahang, Mohamat Johari Mat Nor; Ketua Penguatkuasaan Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain dan Ketua Penguatkuasaan Cawangan JPJ Benta, Abdul Manaf Yunus.

Menurut beliau, JPJ bagaimanapun tidak teragak-agak untuk mengenakan saman jika ada pemilik kenderaan yang terus mengingkari arahan berhubung pemasangan cermin gelap walaupun notis telah dikeluarkan kepada mereka.

"JPJ menyimpan rekod pemilik kenderaan yang pernah ditahan akibat kesalahan cermin gelap selepas diberi notis dan pendekatan nasihat, penguatkuasaan peraturan perlu dilakukan jika terus ingkar," katanya.

Zakaria berkata, piawaian yang diguna pakai sehingga ini ialah kadar ketelusan cahaya mestilah pada kadar 70 peratus bagi cermin di hadapan dan belakang.

"Cermin di tingkap kiri dan kanan pula, kita telah menetapkan 50 peratus kadar ketelusan cahaya.

"Hasil pemeriksaan dan soal selidik, kebanyakan pemilik kenderaan keliru dengan kadar ketelusan cahaya yang telah ditetapkan dan mereka menganggap bahawa 70 peratus kegelapan cermin tidak menjadi kesalahan," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan