Isnin, 10 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Penerima WPP hargai bantuan

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Kiri Nor Salmina, Siti Nurafiqah, Adib Saddam

KUALA KRAU 10 Jun - Sebanyak 98 pelajar dari Parlimen Kuala Krau yang bakal melanjutkan pengajian ke politeknik seluruh negara 16 Jun ini menerima Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

WPP itu disampaikan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said yang juga Pengerusi PTPTN dalam majlis yang diadakan di Wisma Peneroka, di sini kelmarin.

Beberapa penerima WPP ketika ditemui mengucapkan terima kasih kerana PTPTN menyediakan dana khas kepada pelajar mendapatkan sumber kewangan sebagai persiapan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Penerima, Nurul Alia Natasya Mohd. Nayan, 18, dari Felda Jengka 14 dekat sini, menyifatkan kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana menawarkan pinjaman pelajaran kepada mereka.

"WPP sebanyak RM1,500 ini akan digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti pakaian dan peralatan sebelum mendaftar diri pada 16 Jun ini," katanya.

Nor Salmina Mohd. Nor, 18, dari Kampung Gong Halt pula berkata, wang pendahuluan PTPTN itu sangat bermakna kepadanya sekeluarga kerana dia memerlukan banyak wang sebagai persediaan meneruskan pengajian ke politeknik.

Katanya, kerajaan jelas sangat prihatin terhadap keperluan pendidikan rakyatnya yang mendapat pendidikan terbaik dan berkelas dunia.

Siti Nurafiqah Mohd. Shamsul, 18, dari Felda Jengka 3 berkata, WPP PTPTN itu adalah 'satu nikmat' kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk menghantar anak-anak mereka ke IPT.

Menurutnya, dengan bantuan itu masalah kewangan bukan lagi alasan yang boleh diterima malah tidak relevan untuk digunakan jika gagal menghantar anak meneruskan pengajian ke IPT pilihan.

Bagi Norfathin Izzaty Roslan, 18, dari Felda Hulu Jempol, WPP satu lagi bukti kerajaan tidak pilih kasih dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat.

"Di Malaysia sekalipun yuran pengajian dikenakan kepada pelajar tetapi kerajaan memberi subsidi sehingga 95 peratus dan ini kemudahan terbaik kepada rakyat," katanya.

Adib Saddam Husin, 18, dari Felda Jengka Satu berpendapat, skim pembiayaan PTPTN itu membuktikan kerajaan menghargai nilai-nilai keilmuan dan meletakkan nilai pengajian tinggi pada tempatnya.

"Ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi baharu yang berilmu dan bertamadun yang dapat meneruskan agenda pembangunan negara," katanya.

Raub terus dibangun sebagai destinasi pelancongan

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

RAUB 10 Jun - Kerajaan negeri akan terus membangunkan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan kerana mempunyai banyak tempat menarik yang boleh menggamit kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, antara produk pelancongan terkenal ialah Bukit Fraser, Pulau Chekas, Lata Jarum serta pusat perkelahan dan reaksi Batu Malim.

Katanya, industri pelancongan itu dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan berkenaan terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, pengusaha inap desa, hostel dan calet.

"Pelancongan adalah produk yang berpotensi dimajukan bagi membolehkan penduduk di daerah ini mendapat manfaat secara langsung.

"Saya harap mereka bijak mengambil peluang tersebut kerana kehadiran pelancong sentiasa meningkat setiap tahun dan penubuhan menubuhkan koperasi desa dapat memantapkan perniagaan mereka selain memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pendidikan kepada keluarga peserta Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang di Rancangan Tanah Pemuda Klau, dekat sini semalam.

Menurutnya, sejak 2011, kerajaan memperuntuk sebanyak RM23 juta bagi meningkatkan prasarana pelancongan di daerah ini seperti membina bilik persalinan, tandas awam, bangku rehat, rumah, gerai, tempat meletak kenderaan serta mencantikkan landskap.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub memberitahu, sebanyak RM15 juta lagi masih diperlukan bagi membangun dan mengindahkan pusat tersebut.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, daerah Raub berpotensi dijadikan hab pelancongan kerana mempunyai kawasan persekitaran dan alam semula jadi yang masih terpelihara selain terdapat pelbagai tumbuhan dan unggas.

Kemudahan riadah untuk belia Orang Asli

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

KUALA LIPIS 10 Jun - Belia Orang Asli etnik Semai di Pos Kuala Koyan dekat sini, bakal menikmati kemudahan riadah selepas projek padang permainan akan direalisasikan di perkampungan itu tidak lama lagi.

Peruntukan berkenaan diluluskan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel semasa turun padang menghadiri majlis pertemuan dengan penduduk kampung berkenaan baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, Palanivel turut mengumumkan sumbangan peralatan kerusi, meja dan pinggan mangkuk untuk majlis keramaian di kampung berkenaan.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Cawangan UMNO Kuala Koyan, Jamil Sinjoi.

Bercakap kepada pemberita, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, berkata, agenda pembangunan di pedalaman merupakan aspirasi kerajaan untuk melihat peningkatan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

"Selepas pilihan raya umum lepas, saya dan Palanivel bertekad memberi tumpuan kepada kemudahan asas dan kebajikan Orang Asli termasuk seluruh penduduk Jelai agar mereka lebih selesa mencari rezeki serta mendapat peluang dalam pendidikan dan keusahawanan.

"Sebenarnya, kemudahan jalan kampung, bekalan air, elektrik, sekolah dan keperluan asas lain sudah lama wujud di semua pos Orang Asli dan kerajaan negeri kini memfokus pula bidang pembangunan modal insan," katanya kepada pemberita di Kuala Koyan, dekat sini kelmarin.

Sementara itu, Jamil berkata, kerajaan negeri tidak pernah menyisihkan kebajikan Orang Asli seperti yang didakwa pihak tertentu semasa kempen pilihan raya umum lepas.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Pusat kerana membina balai adat untuk kegiatan sosial dan ladang sawit yang memberi pendapatan bulanan yang selesa sekali gus meringankan beban ketua keluarga," katanya.

Bagi bekas juruhebah RTM siaran bahasa Semai, Achong Luji, 60, sudah banyak perubahan pembangunan dilaksana kerajaan terhadap Orang Asli sejak dia kembali menetap di kampung berkenaan.

"Saya melihat sendiri bidang pendidikan telah mengubah mentaliti Orang Asli apabila anak-anak mereka memasuki sekolah menengah dan belajar di menara gading.

"Belia Orang Asli juga sudah dilatih dalam bidang vokasional dan pertanian. Mereka kini sudah meneroka dan berjinak dalam bidang usahawan yang mampu menjana pendapatan berbaloi," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan