Khamis, 20 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Gua batu kapur Merapoh terancam

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Mohd. Sharkar Shamsuddin (dua dari kiri) bersama-sama menangkap ikan kelah ketika melawat persekitaran Sungai Relau Taman Negara Merapoh, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 20 Jun - Kawasan gua, flora dan fauna di Merapoh dekat sini berkemungkinan akan terjejas jika wujudnya kilang simen seperti yang diuar-uarkan beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, jika projek itu direalisasikan berkemungkinan gua batu kapur yang dikenali sebagai 'syurga gua' dalam kalangan pelancong barat akan terancam pada masa depan.

"Impaknya juga akan berlaku pencemaran air bersih di aliran sungai berdekatan yang juga menjadi lokasi santuari pemuliharaan ikan kelah merah dan ikan sebarau.

"Bagaimanapun, projek berkenaan masih di peringkat kajian semua pihak termasuk kerajaan negeri dan kita mengambil cakna setiap permohonan rayuan pembatalan projek ini daripada penduduk Merapoh," katanya ketika mendengar taklimat 'Selamatkan Gua Merapoh' dan melawat persekitaran bukit batu kapur di Merapoh, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Mohd. Sharkar menarik perhatian apabila menerima permohonan bantahan penduduk Merapoh berikutan ada cadangan pembinaan kilang simen oleh pelabur luar yang boleh mengancam sebanyak 85 buah gua batu kapur berusia 300 juta tahun termasuk flora dan fauna di situ.

Rangkaian gua batu kapur di Merapoh, katanya, merupakan kawasan gua terbesar di Asia Tenggara dan berkemungkinan antara yang terbesar di dunia.

"Kita akan mengkaji secara teliti segala tuntutan dan rungutan penduduk di sini untuk memulihara kawasan ini bagi tujuan pembangunan sektor pelancongan dan manfaat penduduk di sini," katanya.

Mohd. Sharkar berkata, Merapoh memang terkenal sebagai pintu masuk bagi pendaki ke Gunung Tahan melalui Taman Negara Sungai Relau selain laluan yang sinonim bermula di Kuala Tahan, Jerantut.

Katanya, sebanyak 415 buah gua batu kapur di sini dikenal pasti oleh penduduk dan pengkaji luar tetapi 85 buah gua sahaja berjaya dieksplorasi bagi tujuan pelancongan menerusi kajian ahli geologi tempatan termasuk dari negara Croatia dan Australia.

"Kita akan mendapat pandangan semua pihak mengenai projek kilang berkenaan termasuk dikemukakan menerusi mesyuarat peringkat Exco kerajaan negeri tidak lama lagi sebelum membuat apa-apa keputusan," tambahnya.

Guru perlu komited capai KPI

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

MARAN 20 Jun - Guru di daerah ini perlu komited memberi fokus terhadap usaha mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan bagi melahirkan murid cemerlang selaku aset masa depan negara.

Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Baharum Samat berkata, usaha ini selari dengan tema Hari Guru Kebangsaan 2013 '1 Aspirasi 1 Agenda', yang mempunyai impak besar terhadap bidang pendidikan.

Jelasnya, untuk itu, semua guru perlu seiring meletakkan keutamaan untuk mencapai sasaran kualiti pendidikan negara tanpa banyak alasan.

"Pendidikan negara adalah setanding dengan negara maju berdasarkan kepada prasarana dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Saya optimis pemimpin di sekolah dan guru di daerah Maran sudah siap siaga untuk memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab merealisasikan aspirasi pendidikan negara," katanya.

Baharum berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian sambutan Hari Guru Daerah Maran 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka di sini baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Menurut Baharum, para guru perlu meneruskan iltizam tanpa jemu untuk memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada anak bangsa walaupun pelbagai cabaran yang tidak kunjung padam menanti warga pendidik.

Tambah beliau, guru harus berusaha keras memberi perkhidmatan yang cemerlang, profesional, amanah, bertanggungjawab dan berintegriri.

''Guru yang bertanggungjawab dan fokus terhadap tugasan mereka berupaya membina situasi proses pembelajaran yang menyeronokkan sekali gus mewujudkan hala tuju pendidikan yang terbilang,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan