Jumaat, 14 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Perubahan aliran trafik Kuantan

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Peta cadangan laluan sehala di Bandar Kuantan yang dijadual bermula pada 22 Julai ini.

KUANTAN 14 Jun - Aliran lalu lintas membabitkan lapan jalan utama di bandar Kuantan akan diubah daripada dua hala kepada sehala bagi mengurangkan kesesakan bermula 22 Julai ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, cadangan perubahan aliran lalu lintas telah diluluskan pelaksanaannya pada 5 Jun lalu dan akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan yang bakal berakhir 21 Oktober ini.

"Sehubungan itu, notis pemakluman selama sebulan akan dikeluarkan Isnin ini kepada orang ramai, peniaga-peniaga, pemilik-pemilik premis serta operator teksi dan bas.

"Dalam tempoh percubaan ini, pembahagi jalan dan tiang-tiang lampu akan dikekalkan termasuk papan tanda jalan serta arah akan diperbanyakkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Muhammad Safian, sebanyak empat lampu isyarat akan ditutup iaitu di Jalan Tanah Putih-Jalan Besar-Jalan Penjara; Jalan Penjara-Jalan Mahkota; Jalan Penjara-Jalan Haji Abdul Rahman-Jalan Mat Kilau dan Jalan Tun Ismail-Jalan Beserah.

"Jalan dua hala yang dijadikan sehala pula akan dilaksanakan secara berperingkat. Bagi fasa ini, jalan yang terlibat ialah Jalan Penjara, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail, Jalan Beserah, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Besar.

"Justeru, saya menasihati orang ramai supaya peka terhadap tanda jalan, amaran dan maklumat yang dipasang di bahu-bahu jalan," jelasnya sambil memberitahu pelaksanaan ini melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

Sebarang cadangan atau aduan boleh dikemukakan kepada pihak Sekretariat Bahagian Jalan, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan atau Bahagian Perhubungan dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di talian 09-5121555/666 atau laman sesawang MPK www.mpk.gov.my.

Persiap digesa susun program yang mampu beri impak positif

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Noraini Man memotong riben sebagai tanda perasmian Rumah Persiap Kompleks Penjara Bentong sambil diperhatikan oleh Abdul Aziz Abdul Razak (kanan) dan Rosnani Mohamed di Kompleks Perumahan Penjara di Bentong, kelmarin.

BENTONG 14 Jun - Kepimpinan Persatuan Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara (Persiap) peringkat cawangan perlu menyusun program yang mampu memberikan impak positif kepada ahli meliputi pelbagai aspek termasuk kemahiran dan kebajikan.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Noraini Man berkata, selain itu, program yang dijalankan Persiap diharap dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain dan mewujudkan suasana harmoni.

"Di peringkat majlis tertinggi Persiap, kami cuba untuk memperluaskan lagi program ilmu dan kebajikan ke semua peringkat terutama di cawangan.

"Antara pendekatan dijalankan termasuk turun padang bertemu dengan ahli persatuan atau ahli keluarga mereka yang berdepan masalah kesihatan," kata Noraini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rumah Persiap Kompleks Penjara Bentong di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Persiap Penjara Bentong, Rosnani Mohamed dan Pengarah Penjara Bentong, Abdul Aziz Abdul Razak.

Menurut Noraini, setiap masalah dihadapi ahli-ahlinya itu akan direkodkan dan dipantau dari semasa ke semasa sebagai tanda keprihatinan.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan setiap ahli yang terdiri daripada isteri kakitangan perlu memahami peranan mereka bagi membantu kerjaya suami masing-masing.

Katanya, memandangkan suami berdepan cabaran dan tekanan ketika bertugas, maka isteri perlu bijak memainkan peranan serta berusaha memastikan itu tidak berterusan.

"Justeru, menerusi penglibatan ahli dalam aktiviti persatuan dilihat salah satu cara untuk membantu suami masing-masing kerana ilmu dan kemahiran diperoleh semasa mengikuti aktiviti boleh diaplikasikan ketika berada di rumah.

"Dalam masa sama, ini mewujudkan suasana sihat dalam persekitaran kawasan kediaman kakitangan kerana digerakkan dengan aktiviti yang pelbagai," katanya.

Masih banyak tanah tidak dimajukan

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

JERANTUT 14 Jun - Pemilik tanah terbiar di kampung tradisional di daerah Jerantut diminta mengusahakan kawasan berkenaan untuk pembangunan sektor pertanian dan pelancongan berasaskan produk makanan yang boleh dikomersialkan bagi menambah pendapatan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, masih banyak tanah terbiar di kawasan luar bandar tidak dimajukan sedangkan kerajaan negeri menawarkan pelbagai kemudahan agar tanah berkenaan diusahakan dengan projek pertanian.

"Sikap membiarkan tanah masing-masing amat merugikan semua pihak, malahan membantutkan hasrat kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak pengeluaran makanan komersial yang menjana pendapatan," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurut Ahmad Shukri, kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi sedia menawarkan bimbingan teknikal serta kemudahan tertentu agar tanah terbiar dapat dimanfaatkan untuk pertanian komersial.

Justeru, katanya, pemilik berkenaan dan belia boleh memajukan tanah terbiar menerusi sistem perladangan kontrak dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), koperasi peladang dan persatuan belia yang sudah terbukti berjaya di tempat lain.

"Tanaman komersial yang dimajukan secara maksimum amat penting ke arah membantu menjamin bekalan makanan negara mencukupi, selain mengurangkan pergantungan kepada bahan makanan diimport," katanya.

Beliau menambah, golongan belia termasuk siswazah menganggur wajar tampil menerajui sektor pertanian komersial kerana hasil yang diperoleh agak lumayan berbanding mereka yang bercita-cita semata-mata untuk makan gaji.

0 ulasan:

Catat Ulasan