Jumaat, 28 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Simpang Empat perlu dinaik taraf

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Jalan raya di Pekan Simpang Empat ini perlu dinaik taraf untuk mengelakkan kesesakan terutama pada waktu jualan pasar sehari atau bazar Ramadan selain merealisasikan usaha MPK menjadikan pekan berkenaan sebagai sebuah Pekan Sejahtera menjelang 2015.

KANGAR 27 Jun - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diminta mewujudkan sebuah tapak baru yang luas di lokasi strategik bagi menempatkan nat atau pekan sehari dan penjaja tepi jalan di Pekan Simpang Empat dekat sini dalam usaha menaik taraf pekan itu supaya lebih kemas dan tersusun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob berkata, dengan adanya tapak baru itu bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada peniaga dan penduduk tempatan malah menarik perhatian pelancong luar yang masuk ke Perlis melalui pekan Simpang Empat.

"Saya mencadangkan supaya tanah kosong seluas 2.3 hektar yang terletak bersebelahan Balai Polis Simpang Empat di Jalan Kangar-Alor Setar dijadikan sebagai tapak untuk menempatkan peniaga ini," katanya di sini hari ini.

Nurulhisham berkata, lokasi pekan sehari di Pekan Simpang Empat sekarang yang diadakan pada setiap Selasa sebenarnya sudah tidak sesuai lagi.

Katanya, ini memandangkan sebanyak 500 peniaga memenuhi sepanjang jalan di pekan itu termasuk berhampiran kedai dan juga tepi sungai.

"Kawasan ini juga menjadi sibuk kerana terdapat sekolah dan pusat pengajian," katanya.

Katanya, ini mengakibatkan berlaku kesesakan sehingga menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, Nurulhisham berkata, penjaja di tepi jalan yang semakin bertambah itu juga menimbulkan pemandangan tidak menarik.

Beliau juga meminta MPK tidak mengubah lokasi asal tapak pasar Ramadan di Pekan Simpang Empat.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Rosley Mat berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan Nurulhisham berhubung lokasi baru untuk nat, penjaja di tepi jalan dan lokasi pasar Ramadan.

Ramlah tabah sara tiga anak berpenyakit

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Abd. Aziz Man (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ramlah Chik sambil diperhatikan oleh Omar Salleh, 32 (kanan) dan Mohd. Firdaus Salleh di pekarangan rumah mereka di Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 27 Jun - Seorang ibu tunggal, Ramlah Chik, 64, bertekad mengharungi kehidupan dengan tabah biarpun terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan di Kampung Sungai Jagung, dekat sini.

Ramlah kini hidup bersama tiga anak lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun yang mengalami masalah psikiatri di rumah usang mereka.

Menurutnya, episod duka mereka sekeluarga bermula kira-kira lima tahun lalu setelah suaminya, Salleh Abdullah yang sebelum itu menyara hidup, meninggal dunia.

"Dulu suami saya yang bekerja mencari nafkah namun sekarang saya tetap gagahkan kudrat melakukan kerja-kerja mengambil upah di rumah," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi ahli-ahli Pertubuhan Muafakat Warga Desa Kedah yang diketuai Pengerusinya, Abd. Aziz Man, di sini.

Ramlah memberitahu, ketiga-ketiga anaknya iaitu Omar, 32; Mohd. Firdaus, 28 dan Mohd. Fauzi, 24 mengalami penyakit mental dan perlu mendapatkan rawatan pakar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini setiap bulan.

"Mereka perlu dibekalkan ubat-ubatan setiap hari bagi mengawal emosi, tindakan dan pemikiran kerana sekiranya tidak diberikan ubat, mungkin bertindak di luar batas," katanya.

Warga emas itu bagaimanapun bersyukur kerana keadaan kesemua anaknya kini beransur pulih dan ada antaranya sudah mahu keluar bekerja bagi mencari rezeki.

"Omar mulanya sering berhadapan sakit kepala ketika berada di tingkatan lima berkemungkinan menghadapi tekanan sebelum menduduki peperiksaan.

"Sejak dari itu, dia jatuh sakit dan sehingga kini perlu makan ubat setiap hari. Jika dulu, dia masih boleh keluar menangkap ketam tetapi sekarang tidak boleh," katanya.

Menurut Ramlah, Mohd. Firdaus juga mengalami masalah yang serius sementara Mohd. Fauzi mampu pula keluar rumah.

"Kadang-kadang dia mengambil upah jaga kantin," katanya.

Omar pula berkata, bagi mengisi masa lapang, dia dan ibu akan membuat kerja-kerja dari kilang iaitu menggulung sarung tangan getah yang turut dibantu oleh adik-adiknya mengikut kemampuan dan keupayaan mereka.

"Dulu memang dapat banyak dalam RM60 sebulan tetapi sekarang dah tak mampu, kerja pun tak pantas macam dulu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Mohamad Mohd Noor berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan mendapati hanya anak sulung Ramlah iaitu Omar memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kita akan meluluskan Elaun Pekerja Cacat (EPC) bagi Omar sementara proses permohonan mendapatkan kad OKU bagi dua adiknya akan diteruskan.

"Setakat ini, keluarga terdekat sudah dimaklumkan dan tindakan seterusnya akan diambil dalam masa terdekat," katanya.

Rumah jadi stor motosikal curi

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Utara, DSP Azafhny Ahmad melihat komponen motosikal yang dirampas dalam serbuan di Bertam Perdana di IPD SPU di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.

KEPALA BATAS 27 Jun - Taktik seorang remaja menjadikan rumah milik keluarganya di Taman Bertam Perdana di sini sebagai lokasi menyimpan dan melerai motosikal curi terbongkar selepas kediaman itu diserbu polis awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, ketika serbuan remaja berkenaan yang berusia 22 tahun sedang melerai komponen sebuah motosikal yang baru dicuri bersama tiga rakannya berusia 22 hingga 25 tahun.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kepala Batas.

"Suspek utama merupakan anak kepada seorang bekas anggota polis. Dia menjadikan rumah keluarganya yang didiami bersama ibu selepas kematian bapanya sebagai bengkel melerai komponen motosikal yang dicuri mereka.

"Ia bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa yang kononnya kediaman keluarganya tidak akan diserbu dan selamat dijadikan lokasi kegiatan jahat mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Abdul Rahman, dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, pihaknya turut merampas tiga buah motosikal, beberapa enjin, satu rangka motosikal, pelbagai komponen dan peralatan curi motosikal.

Tambahnya, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes curi motosikal di sekitar Kepala Batas, Sungai Dua, Bukit Mertajam dan Butterworth.

Jelas beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar motosikal yang telah dicuri oleh remaja terbabit selain memburu saki-baki kumpulan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan