Rabu, 19 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Anwar tidak tetap pendirian

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh HUSSAINI AMRAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendedahkan tembelangnya sebagai seorang ahli politik yang tidak berpegang pada pendirian dan selalu membohongi rakyat.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S. Nallakaruppan berkata, sifat Anwar yang seperti 'sesumpah politik' itu semakin menonjol apabila beliau hari ini mengesahkan kesemua 89 Ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang akan mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, 24 Jun ini.

Beliau yang juga Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) mempersoalkan kenyataan terbaharu Anwar itu kerana bercanggah dengan ura-ura mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat kerana mendakwa kononnya wujud penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Mungkin Anwar sebelum ini tidak berani mengangkat sumpah di Dewan Rakyat sebab menyedari dirinya banyak membohongi rakyat.

"Namun, akhirnya beliau mengubah pendirian apabila tidak mendapat sokongan DAP dan Pas. Malah, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali juga tidak berhasrat memboikot majlis angkat sumpah itu," katanya kepada Utusan Malaysia di Pejabat MUIP, di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya dekat sini hari ini, Anwar berdolak-dalik kononnya terdapat salah faham kerana pakatan pembangkang hanya membuat keputusan untuk memboikot sesi taklimat perjalanan Dewan Rakyat minggu lalu.

Nallakaruppan menambah, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mungkin takut hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya gagal mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.

"Saya tidak hairan apabila Anwar tidak mahu mengangkat sumpah pada mulanya kerana sebelum ini, beliau tidak mahu melafazkan sumpah laknat bagi membersihkan namanya dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan," katanya.

Beliau yang pernah bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun menyuarakan kehairanannya dengan Pas yang sanggup bersekongkol dengan individu yang terpalit dengan tuduhan liwat.

Nallakaruppan berpandangan, Anwar bukan sahaja tidak layak menjadi Perdana Menteri, malah tidak sepatutnya dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjadi Ketua Pembangkang kerana beliau berpegang teguh kepada agama dan jauh lebih baik berbanding Anwar yang tidak berpegang pada prinsip," katanya.

Beliau turut menyelar tindakan Anwar memburuk-burukkan negara sendiri dengan menyebarkan pelbagai tuduhan palsu terhadap kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewaktu berada di Indonesia baru-baru ini.

Menurut Nallakaruppan, Anwar berbuat demikian mungkin kerana dengki dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sekali lagi diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara.

"Anwar yang sebenarnya menipu. Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia telah mengesahkan tiada rakyat negara tersebut yang mengundi dalam PRU-13 lalu.

"Selain itu, mengapa buat sidang akhbar di Indonesia sedangkan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendakwa Anwar mengingkari perjanjian damai bagi menghormati keputusan PRU-13?" katanya.

Beliau berkata, Anwar tidak sepatutnya mengheret penyokongnya melakukan demonstrasi jalanan kerana perbuatan itu bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini.

Nallakaruppan juga menasihatkan Anwar menerima hakikat beliau tidak ditakdirkan menjadi Perdana Menteri sambil mencontohi sikap terpuji calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Mitt Romney yang sedia bekerjasama dengan Barack Obama selepas pilihan raya berakhir.

Perhimpunan bantah PRU-13: Usaha terdesak capai cita-cita

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Jun - Usaha bersungguh-sungguh pembangkang menarik sokongan orang ramai agar menyertai perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Sabtu ini, dipercayai langkah terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai cita-cita memerintah negara ini.

Sumber berkata, sasaran pembangkang untuk mengumpul kira-kira 500,000 orang hadir pada perhimpunan tersebut bukanlah bermatlamat untuk membantah keputusan PRU-13 tetapi ada agenda yang lebih besar iaitu bagi merealisasikan cita-cita Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Semasa perhimpunan pada Sabtu ini, peserta yang hadir dikehendaki berkumpul di tujuh lokasi iaitu Brickfields, Universiti Malaya, Jalan Pudu, Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo dan Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut serta Pekeliling sebelum bergerak bersama pemimpin pembangkang ke Padang Merbok di sini.

"Sebenarnya lokasi perhimpunan tersebut hanya sebagai tanda sahaja kerana matlamat pembangkang ialah mahu menawan jalan raya bagi tujuan menumbangkan kerajaan seperti pernah berlaku di Tunisia sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, perhimpunan kali ini bakal disertai semula oleh aktivis propembangkang, Abdul Malek Hussein yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah lama menghilangkan diri.

Beliau berkata, kehadiran Abdul Malek adalah untuk menyampaikan kehendak sebenar Anwar melalui perhimpunan jalanan.

Menurutnya, semua perancangan mengenai perhimpunan itu dibincangkan dalam mesyuarat antara pemimpin pembangkang di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Damansara, Petaling Jaya dekat sini semalam.

Antara yang hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Abdul Samad yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.

Difahamkan, satu lagi mesyuarat membincangkan isu sama akan diadakan di tempat sama esok.

Sumber berkata, bagi mencapai cita-cita Anwar yang mahu berkuasa, pihak penganjur perhimpunan tetap dengan keputusan untuk mengadakan program itu di Padang Merbok walaupun pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan ia diadakan dalam stadium.

"Mereka berkeras enggan mengikut arahan polis dengan alasan akan menghadapi kesukaran jika mengadakan perhimpunan itu di stadium dan Padang Merbok dipilih kerana lebih luas dari Dataran Merdeka serta tidak tertutup," katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua pemimpin pembangkang yang hadir dalam mesyuarat semalam, secara automatik adalah urus setia bagi perhimpunan itu dan anggota unit amal bersedia mengambil alih tugas memberi arahan kepada peserta sekiranya ada tangkapan terhadap ahli jawatankuasa nanti.

Kata sumber lagi, selain mengadakan perhimpunan haram, ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut akan dibekalkan khemah bagi membolehkan mereka bermalam dan meneruskan bantahan sehingga Isnin depan di lokasi yang belum ditentukan.

Beliau berkata, semasa perhimpunan nanti, pemimpin pembangkang yang hadir akan memberi mandat bermula pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang.

"Selepas itu, mereka akan 'cuci tangan' dan tiada arahan bersurai akan diberikan kononnya bagi membolehkan peserta perhimpunan mengambil tindakan selanjutnya sedangkan ia taktik bagi mengelak pemimpin pembangkang terlibat dipersalahkan jika berlaku insiden tidak diingini nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan