Khamis, 20 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Potensi pelancongan kesihatan

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Muhammad Farid Saad

PULAU PINANG 19 Jun - Peluang untuk bumiputera berjaya dalam pelancongan kesihatan di negeri ini terbuka luas berikutan terlalu sedikit jumlah kaum itu menceburi bidang berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, peluang tersebut tidak seharusnya disia-siakan memandangkan negeri ini sudah cukup dikenali oleh warga asing untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan yang murah dan berkualiti.

Menurutnya, pasaran yang sudah tersedia itu hanya perlu direbut dengan bijak serta perancangan teliti oleh mereka.

"Dari segi pelancongan, Pulau Pinang terkenal dengan pelancongan kesihatan yang boleh dipasar bersama dengan produk-produk lain seperti perhotelan dan spa.

"Produk-produk ini boleh digabungkan dalam satu pakej bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong khususnya dari luar negara," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang berkata demikian kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Muhammad Farid ditemui selepas merasmikan pusat fisioterapi milik bumiputera pertama di negeri ini, Heal Me Wonders di Jalan Batu Uban.

Beliau memberitahu, penubuhan pusat seperti itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka terlibat dalam bidang sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Heal Me Wonders, Dr. Azmi Abdul Khan menjelaskan, fisioterapi merupakan salah satu cabang rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit tanpa pembedahan.

Tambahnya, pusat tersebut dibuka setiap hari dengan kos rawatan berpatutan.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan di situ boleh menghubungi talian 04-6561254.

Wakil belia, penjaja jadi ahli majlis PBT - Exco

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

ALOR SETAR 19 Jun - Kerajaan negeri akan melantik wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dan penjaja sebagai Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, penglibatan wakil belia dan penjaja itu membolehkan pandangan daripada golongan tersebut disampaikan secara terus kepada kerajaan negeri dan PBT terbabit.

Katanya, pelantikan yang buat pertama kali diadakan itu membabitkan seorang wakil belia dan penjaja di setiap PBT seluruh negeri.

"Kali ini ada transformasi dalam pelantikan Ahli Majlis PBT, membabitkan wakil belia dan penjaja. Wakil belia ini penting kerana mereka merupakan generasi Y yang kita percaya mempunyai banyak idea untuk diketengahkan.

"Sementara wakil penjaja ini akan menjadi pelengkap agar dapat bekerjasama dengan PBT di kawasan mereka terutama dalam mengemukakan pelbagai isu berkaitan penjaja secara terus kepada PBT dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Larian Kitar Semula 2013 peringkat negeri anjuran kerajaan negeri dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Stadium Darul Aman, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad.

Menyentuh tentang pelantikan Ahli Majlis PBT bagi penggal baharu ini, Badrol Hisham menambah, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada semua PBT di negeri ini agar urusan pelantikan Ahli Majlis tersebut dilaksanakan selewat-lewatnya minggu depan.

"Seramai 240 Ahli Majlis akan dilantik termasuk wakil belia dan penjaja di semua PBT. Urusan pelantikan dijangka selesai minggu depan sebelum satu perjumpaan rasmi diadakan antara semua Ahli Majlis PBT baharu dilantik itu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir pada 30 Jun ini," katanya.

Menurut Badrol Hisham, kerajaan negeri berharap setiap ahli Majlis PBT yang dilantik akan melaksanakan khidmat mereka kepada masyarakat di kawasan masing-masing sebaik mungkin termasuk peka dan sensitif dengan isu berkaitan.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, kata beliau, penyertaan 4,000 anggota masyarakat dalam program tersebut menunjukkan sokongan padu daripada semua pihak tentang kesedaran dalam kepentingan amalan kitar semula.

"Selain itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat kitar semula dalam usaha membudayakan amalan tersebut dalam kalangan penduduk. Kita mahu semua kawasan di negeri ini bersih dan indah," katanya.

24,111 penderma darah di HPP tahun lalu

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

PULAU PINANG 19 Jun - Seramai 24,111 orang menderma darah di Unit Transfusi Darah, Hospital Pulau Pinang (HPP) tahun lalu.

Daripada jumlah itu 15,815 orang merupakan penderma berulang manakala 8,296 lagi adalah penderma baharu.

Pakar Transfusi Perubatan HPP, Dr. Soo Peng Yen berkata, pertambahan penderma darah setiap tahun menunjukkan kesedaran masyarakat untuk berbuat demikian semakin meningkat.

"Meskipun kutipan darah meningkat setiap tahun, ia masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian program Kayuhan Santai Bersama Penderma Darah yang disempurnakan oleh Pengarah HPP, Datuk Dr. Yasmin Sulaiman di sini baru-baru ini.

Seramai 496 orang menyertai program kayuhan itu yang bermula dari HPP menuju beberapa laluan utama sejauh 15 kilometer meliputi Jalan Residensi, Jalan Sultan Ahmad Shah, Persiaran Gurney, Padang Kota Lama dan Jalan Burma sebelum kembali ke tapak pelepasan.

Turut diadakan adalah program menderma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Objektif penganjuran program adalah untuk mengeratkan hubungan antara kakitangan Unit Transfusi Perubatan HPP dan penderma darah.

0 ulasan:

Catat Ulasan