Isnin, 17 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Janji BR1M tetap akan ditunai

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

TEMERLOH 17 Jun - Kerajaan Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan pembangkang kononnya tidak akan menunaikan janji memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pembangkang baru-baru ini mendakwa kerajaan BN akan menghentikan pemberian tersebut kerana bantuan yang diberikan sebelum ini adalah untuk memancing undi dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, tindakan pembangkang yang menabur fitnah dilihat satu keadaan terdesak berikutan pelbagai transformasi dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula diterima rakyat.

"Perdana Menteri dah berjanji nak tambah lagi BR1M hingga RM1,200. Maka kita tunggulah. Takkan janji itu kosong. Tengoklah mana-mana janji pilihan raya umum lalu sedikit demi sedikit dan secara beransur telah dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian BR1M 2.0 kepada 98 penduduk dalam kawasan Parlimen Kuala Krau di Dewan Datuk Abdullah Kia Kerdau, dekat sini semalam.

Ismail berkata, pemberian BR1M tersebut kepada mereka yang tercicir daripada senarai bantuan itu sebelum ini membuktikan kerajaan BN tidak mengkhianati rakyat sepertimana dakwaan pembangkang.

"Bukan cara ini kerajaan BN berjanji kosong, apa yang kita janji akan kita tunaikan walaupun ada kalanya lambat sedikit.

"Seperti majlis ini seramai 98 orang yang tercicir daripada menerima bantuan itu tetap kita berikan kepada mereka," kata Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau.

Katanya, BN tidak mengamalkan sikap pilih bulu, malah mereka yang layak akan diberi bantuan tanpa mengambil kira sama ada penyokong kerajaan atau sebaliknya.

Warga pendidik perlu elak dilabel tidak profesional

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

MARAN 17 Jun - Warga pendidik diingatkan supaya mengelak daripada dilabel masyarakat sebagai golongan tidak profesional kerana aktif dengan aktiviti luar yang menjejaskan profesion mereka sebagai guru di sekolah.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, masyarakat tidak boleh dipersalahkan kerana mereka sentiasa memerhati dan menilai setiap tindak tanduk golongan itu sama ada di dalam dan luar bilik darjah.

Menurutnya, mereka masih meletakkan guru pada kedudukan istimewa tetapi jika terdapat segelintir daripada golongan itu menentang arus akan menyebabkan dipandang serong oleh ibu bapa pelajar terbabit.

"Guru bukan sahaja perlu profesional tetapi juga perlu meletakkan diri kelihatan bersih dan tiada cacat cela.

"Dalam hubungan itu, golongan itu perlu kembali kepada teras tanggungjawab dalam membentuk generasi baharu yang berilmu, patriotik, berakhlak, berbudaya dan bersyukur.

"Apatah lagi sebagai sebuah negara majmuk seperti Malaysia, peranan guru membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu menjadi semakin mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat daerah Maran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Jengka di sini semalam.

Yang turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Baharum Samad, Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Daerah Maran, Datin Fatimah Kasim dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Maran, Mat Isa Abdul Rashid.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, antara peranan utama pendidik ialah membina masyarakat bersatu padu, berilmu dan berakhlak mulia menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan.

Menurutnya, semua misi dan visi itu hanya akan berjaya jika mereka melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing yang menepati aspirasi negara.

Tanaman padi huma sumber rezeki utama Wan Chik

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

WAN Chik Ibrahim mengetam tangkai padi huma yang menguning di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

JERANTUT 17 Jun - Tanaman padi huma masih sinonim dengan petani di pedalaman Hulu Tembeling dekat sini yang menjadikan ia sebagai sumber pendapatan utama untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Jarak antara pedalaman Hulu Tembeling dengan bandar Jerantut yang jauh dan boleh dihubungi dengan bot penambang antara sebab petani di situ masih mengamalkan pertanian bercorak tradisional.

Tanah terbiar di lereng bukit dan berdekatan kampung diusahakan untuk pertanian tersebut walaupun kerap kali diganggu haiwan liar seperti babi hutan, tikus, burung ciak, gajah dan harimau.

Bagi petani di Kampung Pagi, Wan Chik Ibrahim, 45, penglibatannya dalam bidang itu adalah untuk meringankan beban perbelanjaan harian dan sebagai alternatif kepada keperluan barang runcit yang semakin mahal di kawasan itu.

"Kos tambang bot dan bas untuk membeli keperluan runcit di bandar Jerantut memaksa saya menanam padi itu untuk memperoleh beras yang menjadi makanan utama sekeluarga.

"Lagipun, kerja ini amat mudah dilaksanakan dan perlu dijaga selama empat bulan sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, baru-baru ini.

Wan Chik berkata, benih padi huma diperoleh daripada penduduk Orang Asli Sungai Kiol yang juga mengusahakan tanaman itu sebagai makanan ruji.

Menurutnya, petani di situ berhadapan kesukaran menjaga tanaman tersebut kerana sering diganggu haiwan liar yang keluar dari hutan berdekatan.

"Saya cuma berbelanja membeli dawai mata punai dan plastik untuk memagari kawasan tanaman ini supaya tidak dimasuki haiwan dan memasang 'orang-orang' untuk menakutkan haiwan liar berkenaan.

"Setiap satu hektar, kami memperoleh 600 kilogram padi dan ditumbuk dengan lesung untuk keperluan makanan harian dan selain dibuat emping," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan