Isnin, 10 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk derita hidu bau najis

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

Penduduk menunjukkan loji kumbahan yang berbau busuk berdekatan perumahan mereka di Taman Ipoh Timur Baru, Ipoh, kelmarin.

IPOH 9 Jun - Penduduk di Taman Ipoh Timur Baru dekat sini kesal kerana projek loji kumbahan bawah tanah yang dijanjikan pemaju tidak dibina mengikut perancangan awal sehingga menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

Wakil penduduk, Gurdip Singh, 28, berkata, mereka juga berasa tertipu kerana janji pemaju untuk membina loji kumbahan jauh daripada perumahan mereka turut tidak dipenuhi.

Katanya, kegagalan pemaju bukan sahaja menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau yang meloyakan, malah turut berdepan dengan masalah pembiakan nyamuk.

Sebelum kami beli rumah di sini, pemaju janji untuk bina loji bawah tanah dan jauh dari perumahan ini. Bagaimanapun, apabila rumah hampir siap, kami dapati situasinya sangat berlainan dan dibina betul-betul bersebelahan dengan kediaman penduduk.

Keadaan ini menyebabkan kami berasa sangat tidak selesa. Setiap hari terpaksa menghidu bau busuk dan bau ini sangat kuat apabila waktu malam dan ketika hujan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Gurdip, keadaan itu menjadi lebih buruk apabila sisa najis dari loji tersebut melimpah keluar sehingga menyebabkan tempat berkenaan dihurungi lalat dan nyamuk.

Banyak aduan telah dibuat kepada pihak pemaju dan Indah Water Konsortium (IWK). Bagaimanapun tiada tindakan lanjut diambil mereka. Jika datang pun, hanya untuk lihat dan selepas itu terus senyap," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Choong Meng Keat, 36, berkata, disebabkan tidak tahan lagi dengan bau busuk najis, dia pernah terfikir untuk menjual rumah yang telah didiaminya sejak tiga bulan lalu.

Di sini bukan sahaja berbau busuk tetapi nyamuk juga banyak. Kami sekeluarga terpaksa tutup kesemua pintu dan tingkap sepanjang hari bagi mengurangkan bau busuk dari loji tersebut.

Saya berharap pihak pemaju dan IWK memandang serius perkara ini dan segera menyelesaikannya demi kesihatan penduduk terutama kanak-kanak," katanya.

Seorang lagi penduduk, Khaw Suan Yook, 50, mahu usaha mengatasi masalah tersebut dilakukan segera demi kepentingan penduduk.

Katanya, pihak berkenaan tidak sepatutnya menunggu berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini sebelum mahu bertindak.

Kami sudah tidak tahan dengan keadaan ini lebih-lebih lagi ketika hujan lebat kerana air najis ini membawa bau yang sangat busuk," ujarnya.

Masalah tanah sawah jerlus diberi perhatian

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

Ismail Sabri Yaakob ketika melawat tanah sawah jerlus di Alor Pudak, Pendang, Kedah, kelmarin.

PENDANG 9 Jun - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengkaji langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah tanah sawah jerlus di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang melibatkan tanah sawah seluas kira-kira 8,000 hektar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan mengkaji untuk membaik pulih kawasan sawah yang menghadapi tanah jerlus bagi mengelak kerugian.

Katanya, masalah tanah sawah jerlus menyebabkan kerja pertanian tidak dapat dijalankan kerana keadaan tanah menjadi lembap dan berair.

"Kalau dibiarkan tidak dibaik pulih akan menyebabkan kerugian kerana 8,000 hektar adalah sangat luas dan kita juga berusaha bagaimana menggunakan kawasan ini untuk kegunaan projek lebih menguntungkan.

"Namun, persatuan peladang dan MADA meminta agar dibaik pulih untuk tanam padi kerana petani sukar melakukan aktiviti lain sebab tanaman padi adalah aktiviti utama di Kedah," katanya kepada pemberita selepas melawat tanah sawah jerlus di Alor Pudak, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob.

Ismail Sabri berkata, perbelanjaan hampir RM50 juta diperlukan bagi kerja penambahbaikan termasuk mengeluarkan air dan mengukuhkan struktur tanah serta membuat sistem perairan baharu.

Tambahnya, kajian terperinci yang dilakukan itu juga akan melihat dari segi perbelanjaan dan kos kerana masalah tersebut mengakibatkan kerugian hampir RM100 juta setahun.

"Kita akan usahakan sesuatu yang menguntungkan kedua-dua belah pihak tetapi yang pasti tanah jerlus itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, Daud Awang berkata, kira-kira 81 hektar daripada 121 hektar tanah sawah di kawasan Alor Pudak mengalami masalah tanah jerlus.

Katanya, masalah itu dihadapi sejak dua tahun lalu menyebabkan petani tidak dapat menjalankan kerja sawah.

Mukhriz jamin kerajaan negeri laksana janji termasuk bina litar lumba

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

ALOR SETAR 9 Jun - Kerajaan negeri memberi jaminan akan berusaha menunaikan setiap janji yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu termasuk pembinaan sebuah litar lumba untuk golongan belia.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, rakyat tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri akan membina litar lumba tersebut dalam tempoh pentadbirannya seperti yang dijanjikan.

"Saya minta supaya jangan bimbang bahawa setelah sebulan berlalu sejak keputusan PRU-13 diumumkan, khususnya pembinaan litar lumba masih belum ada sebarang perkembangan.

"Sebenarnya di sebalik tabir, banyak perbincangan kita adakan kerana ini bukan soal buat atau tidak tetapi yang timbul ialah bila dan di mana hendak dilaksanakan," katanya dalam majlis pelancaran Festival Belia Kedah 2013 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar dan Presiden Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK), Ku Iskandar Ku Saad.

Mukhriz berkata, pembinaan litar lumba itu tidak dilakukan tergesa-gesa kerana mahu memastikannya menepati kehendak dan aspirasi yang ditetapkan.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang memperincikan soal pengisian melibatkan tiga aspek iaitu pendidikan, sosial dan komersial dalam pembinaan litar lumba tersebut.

"Demi memastikan projek yang hendak kita laksanakan ini benar-benar menepati cita rasa dan aspirasi kita, maka saya mohon sedikit masa supaya dapat memperincikan proposal yang diterima," ujar beliau.

Sementara itu, mengenai penyelesaian masalah Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mukhriz berkata, kerajaan negeri dalam peringkat meneliti resolusi yang boleh diambil kerana terdapat beberapa pilihan untuk diberi pertimbangan seadilnya.

Kata beliau, tidak timbul soal kerajaan negeri sudah membuat keputusan iaitu untuk menswastakan kolej universiti tersebut memandangkan keputusan belum dibuat.

"Kita belum sampai membuat keputusan seperti itu. Mungkin itu disebut sebagai salah satu pilihan tetapi ia tidak semestinya pilihan yang kita utamakan. Banyak lagi alternatif yang kita ada.

"Seperti yang pernah saya kata, perkara kita utamakan ialah kepentingan pelajar, kakitangan dan pengurusan. Apa jenis penstrukturan yang perlu buat di peringkat pengurusan akan mengambil kira kepentingan saya sebutkan itu," ujar beliau.

Tambahnya, masih terdapat kekeliruan pada status Kuin kerana dikatakan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, namun dalam soal pengajian pekerja, kedudukannya di bawah Insaniah Holdings.

0 ulasan:

Catat Ulasan