Ahad, 30 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


7,000 sertai Larian Bendang 2013

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Mukhriz Tun Dr. Mahathir melepaskan peserta acara Larian Bendang Kedah 2013 sempena Karnival Amal Hari Penyayang 2013 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 29 Jun - Larian Bendang 2013 yang diadakan di Stadium Darul Aman sempena Karnival Amal Hari Penyayang anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mendapat sambutan menggalakkan dengan disertai kira-kira 7,000 orang daripada pelbagai peringkat umur.

Setiausaha Larian Bendang 2013, Mohd. Fadzil Ahmad berkata, pada tahun lalu, acara sama menarik minat kira-kira 6,000 rakyat negeri itu dan tahun ini pihaknya berbangga kerana terdapat peningkatan jumlah peserta.

Katanya, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM40,000.

"Kategori yang dipertandingkan ialah VIP bagi umur 50 tahun ke atas, VIP (49 tahun ke bawah), terbuka (18 tahun ke atas), veteran (40 tahun ke atas), senior (18 hingga 39 tahun), sekolah menengah (13 hingga 17) dan sekolah rendah (9 hingga 12 tahun).

"Jarak larian ialah sejauh dua kilometer untuk kategori VIP, 21 kilometer untuk terbuka, tujuh kilometer untuk veteran, senior dan sekolah menengah, manakala tiga kilometer untuk peserta sekolah rendah," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Anggota Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Anggota Lembaga Amanah YSB, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Turut berangkat ke karnival itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Karnival Amal Hari Penyayang yang bermula sejak Jumaat lalu itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai projek Titian Bistari serta mengumpulkan seluruh rakyat negeri ini bagi mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah.

Raja Nazrin rasmi MRSM Parit

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Raja Nazrin Shah beramah mesra dengan sebahagian pelajar dalam Majlis Perasmian Maktab Rendah Sains Mara Parit, Perak, semalam.

PARIT 29 Jun - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-85 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Berangkat sama dalam majlis perasmian MRSM bernilai RM80 juta itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mohd Amin Zakaria.

Dalam ucapannya ketika majlis perasmian itu, Zambry mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Mara kerana merealisasikan penubuhan MRSM Parit yang dimohon pada 2007.

"Diharap dengan bertambahnya bilangan MRSM di negeri ini, dapat merancakkan sistem pembangunan pendidikan yang sedia ada khususnya dari segi peningkatan pencapaian akademik para pelajar di Perak," katanya.

Zambry juga percaya, kewujudan MRSM Parit akan memberikan limpahan ekonomi dan sosial kepada penduduk di kawasan tersebut terutama golongan peniaga.

"MRSM memang sengaja diletakkan di bawah Mara kerana MRSM akan memfokuskan kepada pengambilan pelajar yang majoritinya dalam kalangan bumiputera dan pengkhususan pada pelajar luar bandar.

"Maka, tidak hairanlah kebanyakan MRSM yang dibina terletak di tempat strategik dan di pinggir bandar, khususnya untuk membangunkan masyarakat setempat dari segi ekonomi dan sosial yang terbaik," ujarnya.

MRSM Parit merupakan MRSM ke-51 di negara ini, dibina di atas ladang getah seluas 22 hektar yang terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Parit dan 30 kilometer dari Ipoh.

Sekolah untuk pelajar terpilih itu mula beroperasi pada 21 Mei 2012 dan setelah setahun beroperasi, bilangan pelajar kini sebanyak 796 orang dengan 59 guru dan 22 kakitangan.

MRSM Parit adalah yang ketujuh dibina di negeri ini selepas MRSM Pengkalan Hulu, MRSM Gerik, MRSM Lenggong, MRSM Taiping, MRSM Pasir Salak dan MRSM Felda Trolak.

MRSM itu merupakan yang pertama di negeri ini melaksanakan program dwisijil iaitu gabungan kokurikulum kebangsaan dan Program Sijil Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan