Sabtu, 15 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Jalan Langgar perlu lampu isyarat

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Ketiadaan lampu isyarat kecemasan dan garisan kuning di pusingan U Jalan Langgar berhampiran Taman Seri Permai di Alor Setar, menyulitkan para pengguna terutama pada waktu puncak.

ALOR SETAR 14 Jun - Orang ramai meminta pihak berkuasa memasang lampu isyarat kecemasan dan garisan kuning di pusingan U Jalan Langgar berhampiran Taman Seri Permai di sini demi keselamatan pengguna jalan raya.

Seorang penduduk, Mohd. Nazri Azizan, 35, berkata, lampu isyarat kecemasan dan garisan kuning perlu di kawasan itu kerana sering berlaku kemalangan disebabkan pengguna jalan raya memandu laju di jalan tersebut.

Katanya, rata-rata kemalangan berlaku kerana pemandu tidak sempat untuk memperlahankan kenderaan apabila ada kenderaan lain ingin membuat di pusingan U di situ.

"Kemalangan kebiasaannya berlaku pada waktu puncak terutama semasa pulang memandangkan jumlah kenderaan yang bertambah, tambahan pula di kawasan ini ada banyak taman perumahan.

"Papan tanda amaran juga tiada di sini, jadi kami mohon agar pihak berkuasa segera memasang lampu isyarat kecemasan dan garisan kuning di sini," katanya ketika ditemui di Jalan Langgar di sini hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal sering menjadi mangsa kemalangan di situ dan ada yang meragut nyawa pengguna jalan raya berlaku.

"Kami kecewa apabila aduan kami kepada pihak berkuasa tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, kami dah hadapi masalah ini selama lima tahun," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, A. Rajendran, 45, pula berkata, dia yang tinggal di Taman Setia Jaya perlu menunggu selama 30 minit setiap hari sebelum boleh membuat pusingan U untuk pulang ke rumah.

"Pemandu kereta memang memandu laju di jalan ini, saya yang naik motosikal perlu sentiasa berhati-hati kerana takut dilanggar.

"Banyak kemalangan berlaku melibatkan penunggang motosikal dan kereta, jadi saya harap satu lampu isyarat dapat dipasang di sini.

"Pihak berkuasa juga perlu mengecat garisan kuning di jalan ini untuk memperlahankan kenderaan yang melalui jalan ini," katanya.

Koperasi Felcra Seberang Perak catat untung RM3.1 juta tahun lalu

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

PASIR SALAK 14 Jun - Koperasi Peserta-peserta Rancangan Felcra Seberang Perak menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan keuntungan mencecah RM3.1 juta bagi tahun 2012.

Pengerusinya, Zolkepli Samuri berkata, koperasi yang mempunyai 1,746 ahli meraih keuntungan menerusi kegiatan perladangan sawit, membabitkan kawasan seluas 140 hektar di Tapah dan Tanjung Tualang.

Selain sawit, katanya, koperasi tersebut juga terbabit dalam kegiatan pemborongan dan menaik taraf Kolej Felcra yang menelan kos RM11.5 juta.

"Selain mengukuhkan operasi sedia ada, pihak koperasi sedang meninjau bidang-bidang baharu yang boleh diterokai dan memberikan manfaat kepada ahli-ahli pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-26 koperasi tersebut yang disempurnakan Pegawai Khas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ibrahim Katop di sini hari ini.

Zolkepli memberitahu, antara kunci kejayaan KPFSB ialah keberanian koperasi itu meneroka bidang-bidang baharu dan keluar daripada rutin sebagai pengedar input pertanian sejak awal tahun 1990-an.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menggesa Felcra supaya mengambil inisiatif membendung penghijrahan keluar generasi kedua dan ketiga Felcra di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Felcra memberikan peluang seluas-luasnya kepada generasi baharu membangunkan tanah-tanah rezab miliknya.

"Sekarang ini kita lihat generasi pertama Felcra terdiri daripada warga emas yang tidak mampu lagi meneruskan kerjaya mereka atas faktor usia.

"Jadi, generasi baharu inilah harus menggantikan mereka bagi meneruskan kesinambungan khidmat kepada Felcra," katanya.

Banjir lumpur hantui penduduk Kampung Suluk

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

BALIK PULAU 14 Jun - Hujan lebat sejak kebelakangan ini meresahkan penduduk Kampung Suluk, Teluk Kumbar di sini kerana bimbang banjir lumpur melanda kediaman mereka.

Kebimbangan itu yang menghantui mereka sejak projek pembinaan kediaman mewah di lereng bukit berhampiran kampung tersebut bermula awal tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, sudah tiga kali beberapa rumah penduduk dimasuki lumpur yang bukan sahaja merosakkan banyak kelengkapan serta perabut malahan kenderaan.

Wakil penduduk kampung itu, Ab. Rashid Yup, 61, berkata, sekurang-kurangnya 16 rumah menerima kesan serius setiap kali banjir lumpur berlaku.

Menurutnya, dia telah membuat aduan sebanyak tiga kali kepada pemaju terbabit namun tindakannya itu tidak mendapat sebarang layanan.

"Setiap kali saya datang ke tapak projek untuk membuat aduan, petugas syarikat pemaju memberitahu mereka tidak tahu-menahu tentang kejadian yang berlaku dan tidak mahu bertanggungjawab.

"Sehinggalah saya terpaksa berjumpa wakil rakyat untuk mengadu tentang masalah ini," katanya ketika ditemui di tapak projek kediaman mewah tersebut di Jalan Pasir Belanda di sini hari ini.

Tinjauan di tapak tersebut mendapati kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara selepas menerima aduan daripada wakil rakyat yang mewakili penduduk.

Tapak berkenaan yang terletak di cerun bukit bakal dibina dengan 80 buah rumah sesebuah tiga tingkat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Nordin Ahmad berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemaju, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Pulau Pinang serta Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan penduduk.

"Dalam pertemuan itu nanti, saya mahu agensi-agensi terbabit memberi penjelasan tentang projek ini.

"Sekiranya pemaju melanggar peraturan-peraturan ditetapkan, saya mahu mereka dikenakan tindakan sewajarnya.

"Jika tiada, maka saya mahu mereka cari jalan penyelesaian bagaimana masalah penduduk dapat diselesaikan," ujarnya.

Nordin sebelum itu melawat sebuah keluarga di Kampung Paya yang bumbung rumah dua tingkat mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut, lewat petang semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan