Rabu, 26 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bukit Fraser seindah nama

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

Mohamed Nazri Abdul Aziz (tengah) bersama peserta dan pelajar sekolah pada Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser di Bukit Fraser, semalam.

RAUB 26 Jun - Pusat peranginan tanah tinggi, Bukit Fraser di sini sudah terkenal di seluruh dunia tetapi malangnya kehadiran pelancong tidak mencerminkan populariti berbanding Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Namun begitu, jumlah kunjungan pelancong ke Bukit Fraser tidak boleh dibuat perbandingan dengan kedua-dua destinasi pelancongan terbabit kerana masing-masing menawarkan produk berbeza.

Bukit Fraser yang terletak pada ketinggian 1,420 meter dari aras laut adalah pusat peranginan cukup unik dari segi alam sekitar yang terus dipulihara.

Pusat peranginan itu yang mendapat jolokan Little England sebelum ini hanya dikatakan sesuai sebagai pusat percutian golongan pesara atau tempat pasangan pengantin berbulan madu.

Kehadiran pelancong di kawasan itu lebih tertumpu pada mereka yang meminati pelbagai jenis bunga, burung dan unggas mengikut rentak irama masing-masing.

Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) yang menguruskan kawasan peranginan itu tidak pernah menjadikan jumlah kehadiran pelancong sebagai tanda aras untuk mengukur populariti bagi menghadapi persaingan dengan pusat pelancongan lain di negeri ini.

Ketika pusat pelancongan popular Pantai Cherating, Rompin dan Pulau Tioman menganjurkan pelbagai kejohanan yang menarik ratusan ribu pengunjung, PKBF hanya menganjurkan Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa setiap tahun sejak 1988.

Walaupun pertandingan tahun ini yang memasuki edisi ke-26 tidak mendapat sambutan sehebat kejohanan lain, keupayaannya bertahan selama tempoh itu merupakan satu kejayaan membanggakan.

Jika diperhatikan sepanjang dua hari pertandingan tersebut berlangsung para peserta cukup gembira kerana dikelilingi suasana tenteram, sunyi dan aman seolah-olah tidak ada peristiwa yang berlaku.

Selain menikmati alam semulajadi dan cuacanya yang nyaman, Bukit Fraser tetap mengekalkan gaya serta suasana kehidupan sederhana desa ala Inggeris sejak mula-mula dibuka sekitar 1890-an.

Gaya Inggeris tersebut cukup sesuai dengan tarikan suhu dingin sekitar 21 hingga 23 darjah Celsius sepanjang tahun di bukit peranginan itu.

Bagi mengekalkan suasana tenang dan klasik, kerajaan negeri menggalakkan semua pemilik premis bekerjasama menimbulkan suasana gaya ala England yang telah menerima sambutan amat baik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin, pertandingan yang dianjurkan itu amat sesuai diadakan kerana setiap peserta memerlukan kesabaran, penelitian dan kerjasama tinggi untuk mencari serta mengenali burung.

''Kehadiran pelancong di sini tidak boleh diukur dengan pusat percutian lain di Pahang kerana bagi mengekalkan kehijauan alam semulajadinya jumlah mereka perlu dihadkan ekoran masalah tempat penginapan terhad dan struktur perhubungan jalan raya sempit serta berselekoh.

''Keadaan itu menyebabkan tempat tersebut kurang dikunjungi walaupun sebenarnya ramai yang ingin mengunjungi kawasan ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Mohd. Sharkar, kerajaan negeri kini memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kehadiran lebih ramai pelancong tetapi pada masa sama tidak melakukan pembangunan tambahan secara berlebihan.

Katanya, membina lebih banyak tempat penginapan dan melebarkan jalan raya bermakna terpaksa mengorbankan alam sekitar serta secara tidak langsung tidak menepati matlamat asal bagi memulihara alam sekitar Bukit Fraser.

"Salah satu cara terbaik adalah dengan membina laluan kereta kabel supaya dapat dikunjungi lebih ramai pelancong dan pada masa sama, alam semulajadi sedia ada tidak terusik malah terus dipelihara.

"Pelancong juga boleh menginap di hotel, chalet dan inap desa di bandar Raub, secara tidak langsung memberikan lebih peluang ekonomi kepada penduduk Raub termasuk mereka yang membuka restoran, gerai makanan, pengusaha teksi dan sebagainya," katanya.

Mengenai pertandingan itu, Mohd. Sharkar berkata, pihaknya bercadang memperluaskan lagi kejohanan itu di kawasan lain di negeri ini pada masa akan datang.

"Antara kawasan yang dicadangkan ialah Tasik Bera di Bera, Cameron Highlands dan Taman Negara Kenong di Lipis," ujarnya.

Pertandingan tersebut dimenangi trio dari Pulau Pinang iaitu Pasukan Aquilas terdiri daripada James Ooi, Tan Choo Eng dan Choy Wai Mun bagi kategori Advance dengan berjaya merakamkan 68 jenis burung.

Bagi kategori Novice dijuarai oleh pasukan Qaleed terdiri daripada Norhayani Jalaweh, Mohd. Asrul Abdullah dan Qaleed al-Amin Mustareem dengan merekodkan 51 jenis burung.

88 peratus tandas awam Lipis kotor

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Penguatkuasa dan kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) membuat pemeriksaan dan memantau kebersihan tandas semasa kerja pengauditan dan penarafan bintang di semua premis bandar Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 26 Jun - Majlis Daerah Lipis (MDL) mengenal pasti tandas awam di kawasan pentadbirannya gagal memperoleh penarafan anugerah gred lima bintang kerana berada pada tahap 88 peratus kotor kerana tidak diselenggara dengan sempurna.

Setiausahanya, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan tandas di 16 premis makanan dan restoran stesen minyak (lapan), tempat beribadat (enam), bangunan kerajaan (lima), stesen bas dan kereta api (tiga) dan masing-masing empat di tandas awam berasingan milik MDL serta hotel.

Menurutnya, daripada jumlah 50 tandas yang diperiksa cuma 13 sahaja layak menerima pengiktirafan empat dan lima bintang manakala enam lagi gagal memperoleh bintang kerana berada keadaan kotor.

"Kita mendapati sebanyak 37 tandas lagi masih gagal diselenggarakan dengan sempurna dan hanya layak memperoleh penarafan di bawah tiga bintang.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dilakukan cuma enam tandas layak dianugerahkan gred lima bintang dan tujuh lagi lagi memperoleh gred empat bintang," katanya kepada pemberita selepas operasi kerja pengauditan dan penarafan bintang tandas awam di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, berdasarkan hasil audit yang dijalankan, kualiti kebersihan tandas awam serta keselesaan pengguna perlu ditingkatkan.

"Lebih banyak usaha pemantauan dan khidmat motivasi perlu untuk mencapai hasrat berkenaan.

"Penggunaan kaedah Sisih, Sapu, Susun, Seragam dan Sentiasa Amal atau '5S' juga lebih signifikan akan menyumbang terhadap kebersihan tandas awam sepanjang masa menerusi kerjasama semua pihak," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, MDL meminta semua pemilik premis dan agensi terbabit memastikan tandas diselia dengan sempurna dan jaminan keselesaan orang ramai sekurang-kurangnya mencapai sasaran penarafan tiga bintang ke atas.

"Kita telah mengeluarkan notis kepada pemilik premis dan agensi terbabit di samping memberikan khidmat nasihat untuk memastikan mereka mengetahui kaedah 5S dan amalan penjagaan tandas berkualiti dipatuhi," katanya.

Menurutnya, hasil pemantauan MDL juga mendapati segelintir pemilik premis yang lambat melaksanakan kerja penyelenggaraan tandas rosak dan tidak menyediakan jadual pembersihan antara punca tidak diberi penarafan bintang.

Tengku Puan Pahang sertai Program Turun Padang Persatuan Pandu Puteri

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Tunku Azizah Aminah Maimunah (kanan) menyediakan masakan asam pedas ikan tenggiri pada Program Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Daerah Jerantut bersama baginda di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 26 Jun - Sebanyak 250 ahli Pandu Puteri berkampung di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP) di sini baru-baru ini sempena Program Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Jerantut bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Pengerusi Persatuan Pandu Puteri Daerah, Datin Nor Fazilah Karim berkata, program tersebut melibatkan peserta dari sembilan sekolah menengah dan 11 sekolah rendah di Jerantut.

"Kita bahagikan peserta mengikut aktiviti masing-masing iaitu jahitan, gubahan, kraf tangan, masakan dan pameran.

"Di sini kita boleh melihat kebolehan ahli menjahit, memasak, membuat kraf tangan dan mempamerkan kreativiti mereka menggubah bunga," katanya ketika menyampaikan ucapan pada program tersebut.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Pegawai Daerah, Datuk Syed Ab. Mutalib Syed Hassan.

Pada program itu, Tunku Azizah mencemar duli melawat ruang pameran dan orang ramai berpeluang melihat kemahiran baginda menjahit serta memasak asam pedas ikan tenggiri.

Nor Fazilah berkata, program tersebut dapat memperluaskan skop pemikiran remaja dan golongan wanita masa kini mengenai kepelbagaian aktiviti berfaedah untuk kanak-kanak terutama di bangku sekolah.

"Program ini juga dapat memupuk sifat sabar, ikhlas, jujur serta amanah dalam melaksanakan apa jua tanggungjawab selaras dengan persetiaan persatuan iaitu 'Boleh Dipercayai'," ujarnya.

Pada masa sama katanya, ahli juga dapat menerapkan nilai sukarelawan dan jati diri selain memberi peluang kepada semua ahli bertukar idea serta berkongsi pengalaman.

0 ulasan:

Catat Ulasan