Ahad, 16 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Saran Kelantan bekerjasama

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Sultan Muhamad V memeriksa perbarisan anggota keselamatan dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darul Naim, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA BHARU 16 Jun - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menyarankan supaya kerajaan Pas Kelantan bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti di negeri ini untuk kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, antara kemudahan itu adalah pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dan kemudahan bekalan air bersih yang sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

"Di samping itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang lain hendaklah diteruskan sebagaimana yang telah dirancang," titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Majlis penuh adat istiadat itu dihadiri 44 daripada 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu dilantik termasuk ADUN Ayer Lanas yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sebelum itu mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN, Abdullah Ya'akub.

Turut mengangkat sumpah adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi (Wakaf Bharu).

Hanya ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang masih belum mengangkat sumpah.

Dalam titah ucapannya, baginda turut berharap supaya kerajaan negeri dapat mempergiatkan lagi usaha bagi menarik kemasukan pelabur ke negeri ini yang telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.87 bilion pada tahun lalu.

Titah baginda, semua wakil rakyat yang telah dipilih mesti membalas kepercayaan rakyat dengan memberi sumbangan melalui khidmat yang terbaik, bertanggungjawab dan saksama.

Baginda turut menyeru kerajaan Pas Kelantan melakukan pelbagai usaha untuk membela nasib penduduk miskin dan pada masa sama, merakamkan penghargaan dengan usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membantu golongan tersebut.

"Beta juga menyarankan supaya diwujudkan lebih banyak projek pembangunan berkelompok dan tersusun untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan produktiviti rakyat," titah baginda.

Mengulas mengenai peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), baginda mahu supaya PBT menjadi sebuah organisasi yang berdikari dan lebih berdaya saing dalam usaha meningkatkan hasil negeri ini.

"Usaha-usaha meningkatkan hasil perlulah diberi penekanan, beta juga berharap PBT membudayakan amalan penyelenggaraan, pengurusan kebersihan dan keceriaan yang berterusan," titah baginda.

Bagi sektor pelancongan pula, Sultan Muhammad V mahu kerajaan negeri dapat meneroka produk pelancongan baharu seperti aktiviti selam skuba di lokasi terumbu karang yang terdapat di perairan Bachok dan Pantai Sabak.

Kerajaan Pusat akan terus beri kerjasama

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

KOTA BHARU 16 Jun - Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kepemimpinan baharu Kerajaan Pas Kelantan dalam usaha memajukan negeri ini terutama berkaitan kemudahan infrastruktur yang diperlukan rakyat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak sebenarnya telah terjalin sebelum ini, namun kehendak rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mahukan hubungan itu dipertingkatkan lagi.

"Insya-Allah, ini merupakan kehendak akar umbi. Saya telah berjumpa beberapa pihak, saya sendiri berhasrat supaya ditingkatkan kerjasama itu.

"Sebelum ini telah ada kerjasama, cuma hasrat akar umbi supaya ditingkatkan lagi dan begitu juga dengan titah Tuanku mahu kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 di sini hari ini.

Istiadat pembukaan itu disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Turut mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Dalam titahnya, Sultan Muhammad menyarankan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti di negeri ini untuk kesejahteraan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan