Ahad, 9 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Program anjuran KIM disusun semula

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

GHAZALI Hassan (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada seorang peserta KIM yang aktif di Kampung Raga Yan dalam majlis Malam Mesra Komuniti 1Malaysia di Sungai Petani, Kedah, semalam. - MINGGUAN/ ABD. RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI 8 Jun - Semua aktiviti Komuniti 1Malaysia (KIM) di Kedah akan disusun semula bagi menarik lebih ramai peserta dari kalangan penduduk tempatan dan memastikan tiada lagi pihak mempertikaikan pengisian programnya.

Timbalan Pengarah Penerangan Kedah, Ghazali Hassan berkata, ia juga bagi memastikan matlamat program untuk memberi banyak manfaat kepada penduduk memajukan diri dalam bidang ekonomi dan lain-lain tercapai pada setiap penganjuran.

Katanya, di Kedah terdapat 93 KIM dan ada di antaranya tidak menjalankan aktiviti masing-masing dengan baik setelah menerima pelbagai bantuan.

"Hanya mereka yang pandai menyesuaikan diri dengan KIM boleh maju dan berjaya," katanya kepada pemberita pada Majlis Malam Mesra Komuniti 1Malaysia Kampung Raga anjuran Jabatan Penerangan daerah Yan di Hotel Harvard Suasana Gurun dekat sini hari ini.

Hampir 100 penduduk tempatan hadir pada majlis itu termasuk Pegawai Jabatan Penerangan daerah Yan, Amran Muhamad Kamis dan Penyelaras Skuad 1Malaysia Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Yan, Shahrul Zaman Abdul Murad.

Ghazali berkata, satu bengkel khas bagi membincangkan pelbagai isu akan diadakan tidak lama lagi.

"Aktiviti KIM akan terus digeruni jika banyak menjalankan aktivitinya dan perubahan hanya boleh dilakukan apabila pemimpin tempatan dibekalkan dengan ilmu kepimpinan," katanya lagi.

Beliau memuji langkah diambil oleh Jabatan Penerangan daerah Yan kerana sanggup memberi surat penghargaan kepada pemimpin KIM Kampung Raga yang bergerak aktif pada tahun lepas.

Seorang penerima surat penghargaan itu, Abdul Rashid Abdul Samad, 46, berkata, program ini boleh memberi perangsang kepada pemimpin KIM untuk bergerak lebih aktif di masa akan datang.

"Program KIM boleh memajukan masyarakat kampung dan saya puas hati dengan program diatur pada tahun lalu," katanya.

Penyelaras program itu, Mohd. Hairul Baka pula berkata, melalui pertemuan seumpama ini, beberapa masalah timbul dapat diselesaikan.

"Penduduk tempatan bila hadir berpeluang mendengar ceramah tentang bahaya penyalahgunaan najis dadah dan masyarakat tempatan tentu berada dalam keadaan bahagian jika anak sendiri tidak terjebak dengan kes seumpama itu," katanya.

Belia perlu pembangunan secara komprehensif

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Mukhriz Mahathir dan Aminuddin Omar (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Persatuan Belia Terbaik kepada Persatuan Belia Gemerlapan Kampong Batu 8 dalam majlis Perasmian Festival Belia Kedah 2013 di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 8 Jun - Golongan belia memerlukan satu kerangka pembangunan baharu yang lebih komprehensif dengan mempunyai matlamat tepat dan bukan sekadar untuk mengurangkan gejala sosial dalam kalangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar berkata, matlamat pembangunan belia yang baik hendaklah berteraskan kepada pembinaan diri golongan itu sendiri seperti mengenal pasti bakat mereka.

"Kita juga perlu membangunkan potensi setiap individu dan menyediakan pelbagai peluang untuk mereka memainkan peranan yang bermakna dalam masyarakat mengikut keperluan serta kemampuan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Festival Belia Kedah 2013 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Festival tiga hari bermula kelmarin yang diisi dengan pelbagai program menarik itu merupakan acara tradisi di peringkat negeri ini bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Negara yang ditetapkan pada 15 Mei setiap tahun.

Aminuddin berkata, penganjuran program seperti festival berkenaan diharap lebih memberi aspirasi kepada golongan belia membina ruang dan peluang bagi memajukan diri mereka.

Selain itu, katanya, penganjurannya dapat menonjolkan tenaga terpendam belia dalam mengendalikan sesebuah program yang menghimpunkan pelbagai acara dan segmen seperti kerohanian, ilmu, sukan dan hiburan.

"Kita cuba melihat sendiri bagaimana belia dapat membentuk aspirasi, idealisme dan gerakan tersendiri untuk membangunkan negeri ini pada masa depan," ujarnya.

Aminuddin turut mengajak semua belia di negeri ini supaya terus teguh bersama kerajaan negeri mengembalikan kegemilangannya seperti kejayaan dalam bidang sukan, pentadbiran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, usaha memperkasakan pertubuhan belia sebagai ejen mobilisasi golongan muda dalam pelbagai bidang pembangunan mesti berterusan dan sistematik selaras dengan yang terkandung dalam manifesto kerajaan negeri.

"Mendengar, menerima dan mengiktiraf pandangan belia menerusi pelbagai mekanisme sedia ada seperti Majlis Perundingan Belia dan memperkenalkan beberapa pendekatan baharu seperti dialog dan konvensyen belia.

"Perlu juga jika dapat diwujudkan kemudahan dan prasarana bagi mencergaskan gerakan atau mobilisasi belia umpamanya pengwujudan pusat belia setempat," katanya.

Kuliah agama di rumah MB setiap Sabtu diteruskan

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad memberi kuliah sempena majlis mmperingati peristiwa Isra dan Mi'raj di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 8 Jun- Masyarakat Islam khususnya di sekitar bandar raya ini dijemput beramai-ramai menghadiri kuliah agama mingguan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah pada setiap Sabtu yang bermula hari ini.

Majlis ilmu anjuran Pejabat Menteri Besar Kedah dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri itu bermula pukul 9 pagi dan bakal menampilkan penceramah agama berkelayakan dan berpengetahuan dalam ilmu Islam.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, meskipun pentadbiran kerajaan negeri beralih tangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu namun kuliah mingguan tersebut diteruskan sebagai antara usaha menambah ilmu agama Islam dalam kalangan penduduk negeri ini.

"Walaupun berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan negeri tetapi majlis ilmu seperti ini tidak boleh berhenti kerana ia diadakan bukan atas dasar politik tetapi atas dasar ilmu.

"Pada mulanya kita merancang untuk dimulakan pada 1 Jun lalu tetapi dewan ini digunakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Ia ditunda kepada hari ini dan Insya-Allah akan berterusan pada setiap minggu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pada majlis ilmu itu hari ini.

Menurut Muhamad Baderudin, kuliah agama tersebut mungkin diadakan dalam dua slot dengan kebanyakan penceramah terdiri daripada ahli jawatankuasa fatwa negeri selain jemputan penceramah luar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan