Ahad, 9 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Atasi air berbau di Bukit Damar

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Sharkar Shamsudin (dua dari kanan) sewaktu mengadakan lawatan mengejut ke loji air Kampung Mempateh, Lanchang, Temerloh, semalam.

TEMERLOH 9 Jun - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) perlu membuat kajian lebih terperinci sebelum menerima tawaran yang dikemukakan pihak perunding untuk memastikan operasi loji rawatan air yang dinaik taraf berjalan lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Paip yang mempunyai tenaga kerja profesional dalam hal ehwal operasi bekalan air tidak boleh terlalu bergantung kepada cadangan pihak yang membekalkan peralatan rawatan loji.

Katanya, kegagalan rawatan air akan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran selepas sering terputus bekalan, air paip yang dibekalkan tidak bersih, berkeladak dan berbau.

"Saya kecewa selepas mengetahui loji air Kampung Mempateh yang telah dinaik taraf baru-baru ini menyalurkan bekalan air paip yang berbau dan berkeladak kepada ribuan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang terutama masyarakat di kawasan Felda Bukit Damar dan Felda Lakum.

"Saya juga menerima laporan air buangan dari loji ini mengakibatkan kerosakan kepada tanaman penduduk di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke loji tersebut di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd. Sharkar berharap Paip memberi laporan lengkap dalam tempoh seminggu mengenai kegagalan loji rawatan air Kampung Mempateh membekalkan air bersih kepada penduduk di Lanchang.

Tambahnya, loji memproses dan merawat air Kampung Mempateh yang telah dinaik taraf baru-baru ini tidak sepatutnya menyalurkan bekalan air paip yang berbau dan berkeladak kerana telah dinaik taraf tetapi beliau difahamkan teknologi yang digunakan di loji tersebut tidak sesuai.

"Saya difahamkan sistem yang digunakan di loji ini tidak sesuai dengan keadaan, Paip perlu bertanggungjawab kerana menerima cadangan daripada perunding mereka sebelum ini," ujarnya.

Mohd. Sharkar berkata, sudah tiba masanya Paip menaik taraf loji rawatan air di kawasan kampung dan tidak hanya memberi tumpuan di kawasan bandar dan berkapasiti tinggi sahaja.

Terminal Sentral Kuantan dijangka beroperasi Ogos ini

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

KUANTAN 9 Jun - Terminal Sentral Kuantan di Bandar Indera Mahkota di sini yang bernilai RM438 juta dengan keluasan 2,070 kaki persegi dijangka memulakan operasi Ogos ini.

Ahli Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Suhaimi Sulong berkata, terminal tersebut dilihat dapat mengurangkan kesesakan dan kepadatan jumlah kenderaan di pusat bandar Kuantan.

"Saya berharap terminal berkenaan dapat beroperasi dengan segera bagi mengelak kesesakan luar biasa di lokasi sementara di hadapan Stadium Darul Makmur terutama ketika perlawanan bola sepak berlangsung," katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK di Dewan Majestik di sini baru-baru ini.

Menurutnya, terminal yang menjadi mercu tanda kemajuan di bandar ini bakal memberi kemudahan cukup selesa kepada pengguna pengangkutan awam.

"Terminal ini menyediakan 400 petak letak kereta, 170 motosikal dan 40 untuk teksi, selain ruang tempat menunggu bas berhawa dingin untuk orang ramai," jelasnya.

Tambahnya, terminal dua tingkat yang mula dibina pada Jun 2011 itu menyediakan 48 kaunter bas dan akan menggantikan Terminal Makmur.

"Selain mempunyai ciri-ciri keselamatan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) terdapat juga kaunter-kaunter khas untuk MPK, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain agensi berkaitan," ujarnya.

Buku Bapa Hebat dilancar di SMK Jengka Pusat 2

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

Yahya Zainal Abidin menunjukkan banner buku karyanya, Bapa Hebat sempena pelancaran buku tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2, Maran, baru-baru ini.

MARAN 9 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat 2 di sini menjadi medan pelancaran buku Bapa Hebat karya Datuk Yahya Zainal Abidin kelmarin.

Pengetuanya, Ramlah Adam berkata, dasar sekolah itu yang membudayakan amalan membaca sangat mengalu-alukan mana-mana pengarang atau penerbit mempromosikan buku terbaharu kepada pelajar.

Tambah beliau, citra membaca jambatan ilmu sentiasa bermain di bibir para guru sebagai galakan kepada pelajar membaca bagi mencari 'mutiara' yang terukir di sebalik sesuatu karya.

"Ini kerana sebuah bangsa yang hebat dan maju wujud kerana rajin membaca seperti Jepun dan Korea Selatan.

"Buku Bapa Hebat karya Yahya yang juga bekas Pengarah Pelajaran Pahang sangat relevan dan boleh dijadikan teladan dalam mendidik anak-anak," katanya.

Ramlah berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung PIBG SMK Jengka Pusat 2 Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini.

Beliau menambah, setiap guru dan pelajar sekolah digalakkan membawa senaskhah buku ilmiah mahupun fiksyen sebagai galakan membaca.

Mengenai Bapa Hebat yang mendapat sambutan di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa dan guru, intipati buku itu mengisahkan kebijaksanaan bapa kepada pengarang sendiri.

Katanya, kebijaksanaan bapa yang mementingkan ilmu dan masa depan anak akan menjadi pendorong ataupun arkitek kepada kejayaan anak mereka.

"Bapa Hebat tidak akan melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada para guru tetapi juga memainkan peranan mementukan hala tuju kerjaya anak-anak," katanya.

Sementara itu, Yahya ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, buku Bapa Hebat adalah amal jariah beliau untuk para bapa dan penjaga sebagai pemandu yang menentukan kerjaya anak-anak.

Menurutnya, tingkah laku dan perangai anak-anak dari dulu dan zaman sekarang pun serupa dengan pelbagai masalah dan kenakalan remaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan