Selasa, 18 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Peladang Nita Pahang diperkasa

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Sulaiman Embong (empat dari kiri) bersama ahli Peladang Nita Pahang selepas majlis penubuhannya di Kuantan, kelmarin. Turut kelihatan Mohamad Najib Pendek (lima kiri) dan Nazilah Abd. Latif (tiga dari kiri). - Utusan/ AhMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 18 Jun - Penubuhan Peladang Nita Pahang merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wanita yang menceburi bidang perladangan kerana sebelum ini tidak mempunyai sebarang pertubuhan di peringkat negeri.

Pengerusinya, Datuk Nazilah Abd. Latif berkata, sebelum ini, Peladang Nita hanya bergerak sendiri di peringkat unit dan kawasan tetapi disatukan dalam pentadbiran yang lebih sistematik di peringkat negeri.

"Dengan adanya pertubuhan ini, kami boleh bergerak secara tersusun di semua peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan menyelaras segala gerak kerja yang lebih sistematik.

"Sebelum itu, kita akan mengemaskini semua data dan maklumat tentang ahli-ahli Peladang Nita di seluruh negeri," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penubuhan Peladang Nita Peringkat Negeri Pahang di sini semalam.

Majlis perasmian Peladang Nita itu disempurnakan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Sulaiman Embong.

Yang turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), Mohamad Najib Pendek.

Nazilah berkata, pelbagai aktiviti akan dirangka dan segala potensi yang boleh dikembangkan diselaras sebaik mungkin supaya Peladang Nita dapat meningkatkan mutu organisasi masing-masing.

"Saya berharap peruntukan daripada kerajaan dapat disalurkan secara terus kepada pertubuhan ini supaya agenda dirancang berjalan lancar.

"Dijangka kira-kira 3,000 Peladang Nita negeri ini akan menikmati pelbagai kemudahan dengan penubuhan organisasi ini, sekali gus memartabatkan wanita dalam sektor perladangan negara," katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman dalam ucapannya berkata, penubuhan tersebut diibaratkan sebagai satu penjenamaan semula kumpulan itu di negeri ini.

"Komitmen dan hala tuju Peladang Nita dapat menjadikan kumpulan itu digerakkan, seterusnya merangka pelbagai agenda dan strategi masing-masing untuk terus maju pada masa depan," katanya.

Zainal Abidin, Temah dipilih Tokoh Guru Maran

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Ismail Abdul Muttalib (kiri) bersama Zainul Abidin Daud (dua dari kiri) dan Temah Ismail (dua dari kanan) yang diumumkan sebagai Tokoh Guru Daerah Maran 2013 di Maran, Pahang, baru-baru ini. - utusan/salehudin mat rasad

MARAN 18 Jun - Bekas Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainal Abidin Daud dan bekas guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tajau, Temah Ismail dipilih sebagai Tokoh Guru Maran tahun ini.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disampaikan Ahli Parlimen Maran yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka, dekat sini baru-baru ini.

Zainal, 60, yang dilahirkan di Kampung Kuala Pontian, Kuala Rompin, Pahang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, Pulau Tioman dan meneruskan persekolahan di SM Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim, Selangor.

Minatnya dalam mencari ilmu diteruskan apabila melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan memilih bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dan seterusnya ke peringkat sarjana di universiti sama.

Zainal ketika ditemui berkata, khidmat sebagai pendidik bermula ketika bertugas di SK Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Jengka 1 dan seterusnya di SMK Jengka 10 dan SMK Kampung Awah.

"Jawatan terakhir saya ialah memangku Pegawai Pelajaran Daerah pada Mei 2011 dan bersara wajib empat bulan kemudian setelah 35 tahun dalam bidang perguruan," katanya.

Seorang lagi penerima anugerah itu, Temah, 60, yang dilahirkan di Kampung Temiang, di sini mendapat pendidikan awal di SK Kampung Pejing, SK Kuala Wau dan Sekolah Menengah Perempuan Methodist, Kuantan.

Beliau melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kemudian berkhidmat antaranya di SK LKTP Jengka 5, SK LKTP Jengka 3 dan SK Maran.

Klinik 1Malaysia Bera bakal beroperasi sehingga 10 malam

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

BERA 18 Jun - Penduduk di sekitar daerah ini akan menikmati kemudahan Klinik 1Malaysia yang beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam, tidak lama lagi.

Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Wan Rosalaiza Wan Abd. Ghani berkata, klinik yang terletak di Kerayong, dekat sini dan dalam proses pengubahsuaian itu memberikan perkhidmatan perubatan asas manakala kes kecemasan atau kronik perlu dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

"Sekiranya pesakit menghidap penyakit kronik atau kecemasan, mereka digalakkan merujuk terus kepada klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan lebih terperinci, selain mempunyai kemudahan ambulans.

"Kewujudan perkhidmatan perubatan ini diharap dapat memudahkan orang ramai, khususnya warga Bera menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih selesa," katanya di sini baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan