Khamis, 20 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Blackout 505 untuk tutup ketakutan Anwar

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Ezam Mohd. Noor

KUALA LUMPUR 20 Jun - Rakyat perlu sedar bahawa tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengheret mereka dalam perhimpunan haram Blackout 505 Sabtu ini adalah semata-mata untuk menutup ketakutan beliau terhadap tiga perkara.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau.

"Sememangnya sudah jelas Anwar merupakan seorang pemimpin yang suka mengheret rakyat untuk menutup masalah peribadinya. Saya sering mengatakan ini kerana tindakan politik beliau bukan atas asas menyelesaikan masalah rakyat atau negara.

"Tindakan itu semata-mata mahu memuaskan nafsu peribadinya terutama kerakusan mahu menjadi Perdana Menteri. Kedua, Kerakusan nafsu serakah peribadi luar tabii dan luar biasanya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, kerakusan Anwar tersebut terserlah apabila meminta isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh supaya pilihan raya kecil dapat diadakan.

Ezam mendakwa, tindakan itu dilakukan semata-mata ingin mengheret kes peribadi iaitu kes liwat beliau untuk jadi kes politik agar rakyat dapat diheret bersama dalam hal ehwal peribadinya.

"Selalunya pemimpin politik manapun di dunia akan lepaskan jawatan apabila terpalit dengan kes peribadi untuk mengelakkan parti dan rakyat diheret bersama. Tetapi, Anwar jenis pemimpin songsang yang lakukan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, Sabtu ini Anwar sekali lagi mengulangi tindakan itu dengan mengheret rakyat ke jalanan pada Perhimpunan Blackout 505.

"Setiap rakyat yang waras seharusnya melihat perkara ini dengan jelas berhubung jenis pemimpin apa Anwar ini. Beliau adalah jenis pemimpin yang akan menggunakan rakyat untuk menyelesaikan masalah peribadinya, bukan pemimpin yang sanggup berkorban kepentingannya untuk rakyat," tegasnya.

Sikap hipokrit, dua alam Anwar perbodoh penyokong

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Jun - Sikap hipokrit Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengajak rakyat menyertai perhimpunan di ibu kota Sabtu ini bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu seolah-olah cuba memperbodohkan para penyokong pembangkang.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, ini kerana Anwar secara jelas mengiktiraf keputusan PRU-13 apabila mengakui beliau serta 88 ahli Parlimen pembangkang lain akan mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Katanya, sikap hipokrit atau ditafsir beliau sebagai 'amalan politik dua alam' Anwar itu amat mengecewakan sedangkan sebelum ini pemimpin pembangkang itu heboh dengan ura-ura mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah berkenaan.

"Jadi kenapa Anwar mahu pula mengangkat sumpah bersama Ahli Parlimen pembangkang lain Isnin ini jika benar tuduhan beliau mengatakan PRU-13 penuh dengan penipuan seperti dihebohkannya ke serata dunia.

"Masyarakat terutama para penyokong pembangkang perlu membuka mata dengan amalan politik hipokrit dua alam Anwar ini yang tidak mengiktiraf kemenangan BN tetapi pada masa sama bersetuju pula menerima jawatan Ahli Parlimen bermula Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas keputusan Anwar bersama 88 Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai majlis angkat sumpah sidang Dewan Rakyat, Isnin ini.

Semalam, bekas sahabat karib Anwar, Datuk S. Nallakaruppan mendakwa keputusan Anwar mengubah pendiriannya itu kerana beliau gagal mendapat sokongan Pas dan DAP untuk memboikot majlis tersebut.

Zulkifli yang juga bekas pemimpin PKR berkata, sikap Anwar itu bukan sahaja disedari oleh pemimpin politik tempatan malah dialami sendiri oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla apabila Anwar mendakwa Jusuf cuba mempelopori pelan damai antara Anwar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Akibatnya, Jusuf kini semakin rapat dengan Najib dan saya difahamkan Jusuf dan Najib baru-baru ini meluangkan masa bermain golf bersama di Indonesia tetapi selama 12 tahun saya bersama Anwar dahulu, Jusuf tidak pernah memberi layanan istimewa sebegitu kepada Anwar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan