Isnin, 24 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Sasar tapak arkeologi warisan dunia

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir (duduk, dua dari kiri) mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadim berkenaan projek pembinaan Muzium Arkeologi Sungai Batu ketika melawat Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu, Merbok, Kedah, kelmarin. - BERNAMA

MERBOK 23 Jun - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan tapak Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang di sini yang wujud sejak tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun lalu, diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pengiktirafan tersebut bakal menjadikan kawasan tersebut lokasi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama bagi membangun tapak bersejarah itu yang merupakan penemuan penting bukti kewujudan Kerajaan Kedah Tua pada suatu masa lalu.

"Kita berharap usaha dan bajet diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membangun tempat itu bakal dilaksanakan dengan jayanya dan pihak negeri akan pastikan kawasan itu menjadi warisan negara bukan warisan Kedah sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat ringkas dari Pegawai Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Hamid Md. Isa sempena lawatan Mukhriz di Kompleks Tamadun Terawal Di Asia Tenggara Sungai Batu di sini, semalam.

Mukhriz memberitahu, kajian terbaharu sekumpulan pakar warisan di Sungai Batu menemui pelbagai bahan sejarah termasuk industri pelaburan besi, bijih timah dan manik.

Menurutnya, ia menjadi bukti kawasan tersebut adalah pusat perdagangan dengan para pedagang menjadikan Gunung Jerai sebagai pedoman utama untuk datang sekitar abad pertama masihi.

Kajian dan penyelidikan dijalankan di situ bermula sejak 2009 lagi membawa kepada beberapa penemuan antaranya tapak ritual yang terbenam pada kedalaman 1.5 meter, serpihan tembikar, industri peleburan besi dan perdagangan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Warisan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamad Muda Bahadin memberitahu, sejumlah RM20 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksana pelbagai perkara kajian di kawasan itu membabitkan kawasan tanah seluas 30 hektar.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja mahu dilakukan untuk tempoh jangka panjang di sini perlu diperhalusi agar tidak terjejas dengan keadaan persekitaran.

Gotong-royong Gerbang Cinta Mega-Utusan meriah

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

TELUK INTAN 23 Jun - Program gotong-royong membersihkan Masjid as-Saadah Kampung Bahagia di sini sempena peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia berlangsung meriah dengan disertai kira-kira 100 penduduk termasuk ahli kariah masjid tersebut.

Selain kariah masjid, program yang bermula seawal pukul 8 pagi itu turut disertai oleh kakitangan Kumpulan Utusan serta pelajar Kolej Komuniti Teluk Intan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Teluk Intan.

Program komuniti itu diadakan sempena majlis persandingan juara Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Keempat, Nurul Awanis Ariffin, 27, dan Mohd. Hafidz Shamsir Md. Nasir, 26, di kampung tersebut.

Sepanjang program itu, peserta membersihkan kawasan pekarangan dan dalam masjid selain mengecat semula jeriji besi dan membasuh pinggan mangkuk kegunaan masjid itu.

Sempena program amal itu, satu daripada syarikat penaja peraduan berkenaan, Mastar Catering menyediakan jamuan sarapan pagi dan tengah hari kepada para peserta.

Kumpulan Utusan turut menyampaikan sumbangan hamper produk tajaan Nestle (M) Bhd. dan beras yang ditaja syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada 15 keluarga berpendapatan rendah di kampung tersebut.

Menurut Setiausaha Masjid as-Saadah, Kamaruzzaman Abd. Manap, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kumpulan Utusan kerana memilih masjid tersebut untuk program gotong royong itu.

"Program ini dapat mengimarahkan lagi masjid ini. Kami juga berkongsi gembira kerana anak jati kampung ini memenangi Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia," katanya.

Sementara itu, pada sebelah petang turut diadakan majlis penyerahan sumbangan kepada penghuni rumah anak yatim al-Barakah di sini yang disampaikan Oleh Penolong Ketua Pengarang II Utusan Malaysia, Ahmad Abdul Hamid.

Yang turut hadir Pengarang Keluarga Utusan Malaysia, Siti Zaleha Jorimai dan Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Utara Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., Ajani Basri.

Penduduk 'curi' air pili bomba

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

SITI Zainab Abu Bakar sambil mendukung anaknya, Mohd. Iqbal Ariffin, tujuh bulan mengangkut air menggunakan baldi bersama jiran, Ang Chai Po, 75, di Flat Taman Gamelan Indah Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin

BATU KAWAN 23 Jun - Di sebuah flat, kelihatan seorang wanita mengangkut sebaldi air manakala sebelah lagi tangannya mendukung anak menaiki tangga untuk ke rumahnya di tingkat dua.

Itulah rutin Siti Zainab Abu Bakar, 36, setiap kali Flat Taman Gamilan Indah di Sungai Bakap di sini berdepan masalah terputus bekalan air yang serius sejak setahun lalu.

Dia terpaksa menadah air dari pili bomba untuk memenuhi keperluan harian seperti membasuh, memasak dan mandi.

Menurutnya, dalam seminggu, masalah di flat yang mempunyai 180 unit di dua blok itu berterusan tiga hingga empat hari.

"Sudah banyak kali penduduk mengadu kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tetapi maklum balas yang diterima amat mengecewakan, seolah-olah masalah ini tidak diambil peduli langsung.

"PBAPP juga tidak menghantar lori membawa air jika kamu mengadu. Akibatnya kami tiada pilihan dan terpaksa 'mencuri' daripada pili bomba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi warga emas, Ang Chai Poh, 75, tidak mandi selama beberapa hari kerana tiada air sudah menjadi perkara biasa baginya.

Kudratnya tidak mampu untuk mengangkut air naik ke rumahnya di tingkat empat, apatah lagi tiada sesiapa dapat membantunya kerana dia tinggal seorang diri.

Dia hanya bergantung kepada air yang disimpannya dan terpaksa digunakan secara berjimat.

"Saya terpaksa tunggu air 'datang'. Kalau empat hari tiada air maka empat harilah saya tidak mandi," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) flat tersebut, Laila Khalilah Mohd. Azerai memberitahu, masalah berkenaan mula berlaku pada 2008 selepas banyak pemilik menyewa kediaman mereka kepada kilang-kilang berhampiran yang menjadikannya sebagai hostel untuk pekerja asing.

Sejak itu jelasnya, masalah terputus bekalan air kerap berlaku sehingga menjadi begitu serius pada tahun lepas.

"Mungkin tekanan air sudah tidak mampu lagi untuk menampung keperluan penghuni di kedua-dua blok.

"Penduduk tempatan yang mendiami flat ini adalah kira-kira 500 orang manakala warga asing lebih 1,000 orang," ujarnya.

Seorang lagi ahli jawatankuasa badan sama, P. Manickam berkata, meskipun masalah berkemungkinan akibat jumlah penduduk yang terlampau padat, PBAPP perlu menjalankan tanggungjawabnya memastikan orang ramai mendapat bekalan air dengan sempurna.

Tambahnya, PBAPP sepatutnya memeriksa pam di kedua-dua blok tersebut dan menggantikannya jika kelengkapan tersebut tidak lagi sesuai.

"PBAPP tidak boleh berdiam diri, lepas tangan begitu sahaja.

"Ini masalah rakyat, mereka (PBAPP) mesti bertanggungjawab," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu PBAPP menyelesaikan segara masalah di Flat Taman Gamilan Indah yang didiami penduduk sejak 2004.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan