Rabu, 12 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Pas, DAP tidak boikot angkat sumpah

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pas dan DAP tidak akan mengikuti langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun ini.

Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, tiada sebab Ahli Parlimen DAP yang telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu memboikot majlis angkat sumpah dan sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Katanya, rakyat telah memberi mandat kepada Ahli-Ahli Parlimen DAP yang menang dan golongan itu perlu menghormati keputusan rakyat mahukan mereka sebagai wakil di Parlimen.

"Ahli DAP yang telah menang kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu akan hadir angkat sumpah. Kami tidak akan boikot.

"Walaupun ada perkara yang kami tidak bersetuju tetapi ada saluran betul boleh digunakan untuk tunjuk rasa tidak puas hati. Rakyat telah memilih kami, jadi kami perlu amanah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen kerana mendakwa wujud penipuan dalam pilihan raya umum lalu.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan mana-mana Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat 24 Jun ini tanpa alasan munasabah dan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh itu, boleh dilucut atau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan.

Mengulas mengenai sebab tidak hadir pada majlis taklimat kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen Ke-13 semalam, Seng Giaw memberitahu, beliau perlu menghadiri upacara pengebumian mendiang ayahnya yang meninggal dunia pada 7 Jun lalu.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata, Pas telah bermesyuarat dan membuat ketetapan akan menghadiri majlis angkat sumpah di Parlimen.

"Kami telah membuat ketetapan akan hadir. Begitu juga dengan DAP, saya dimaklumkan ahli-ahli Parlimen mereka turut hadir.

"Saya mengetahui PKR merancang untuk memboikot majlis angkat sumpah itu melalui laporan akhbar tetapi tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Apa pun Ahli-Ahli Parlimen Pas tetap akan hadir," jelasnya.

Khianat terhadap rakyat

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

LABIS 12 Jun - Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir mengangkat sumpah dalam sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun ini dianggap melakukan pengkhianatan kepada rakyat yang memilih mereka.

Selain itu menurut Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, ia juga menggambarkan sikap tidak matang dan mementingkan diri sendiri oleh Ahli Parlimen terlibat.

"Tindakan itu hanya merugikan negara dan rakyat serta tidak seharusnya terjadi, sebaliknya pihak pembangkang perlu bersikap terbuka menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dan memberi tumpuan kepada amanah yang diberikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, jika benar Ahli Parlimen daripada pembangkang tidak mahu mengangkat sumpah mereka tidak layak menggunakan kemudahan yang diberikan termasuk menerima elaun.

Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis, turut menyifatkan perbuatan untuk memboikot majlis angkat sumpah tersebut sebagai satu penghinaan kepada institusi Parlimen dan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Beliau berpendapat, jika tidak dibendung perbuatan menghina Parlimen seperti itu boleh mengikis kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada institusi Parlimen.

Menurut Tee Yong, sikap tidak matang yang ditunjukkan oleh pembangkang dengan mempersoalkan keputusan yang dibuat rakyat pada PRU-13 lalu akan memberi imej tidak baik kepada dunia politik negara.

''Ia secara tidak langsung akan memberi kesan besar serta menjejaskan keyakinan pihak luar yang berhasrat melabur ke negara ini, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

"Jika betul mahu mempertikaikan keputusan tersebut, mereka harus menolak keputusan pilihan raya di semua peringkat bukannya di kawasan yang mereka gagal untuk menang dengan selesa sahaja,'' tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan