Ahad, 23 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Ganjaran jika Melaka capai 20 emas pada Sukma 2013

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Idris Haron (duduk, tengah) bersama pegawai dan jurulatih serta sebahagian atlet yang akan mewakili Melaka ke temasya SUKMA di Kuala lumpur sewaktu majlis Penyerahan Bendera Melaka kepada Ketua Kontinjen Melaka ke Temasya SUKMA XV-Kuala Lumpur di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 22 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan ganjaran kira-kira RM70,000 kepada atlet kontinjen negeri ini jika berjaya mencapai sasaran 20 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Kuala Lumpur, bermula minggu hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, melalui insentif itu, kesemua atlet sama ada menang atau kalah akan diberi ganjaran wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang jika berjaya mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya, ganjaran itu merupakan cabaran kepada para atlet supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik dalam apa juga acara disertai seterusnya membantu menaikkan nama Melaka.

"Ia juga sebagai suntikan semangat untuk atlet bergerak secara berpasukan untuk sama-sama memberi sokongan kepada rakan yang bertanding dalam acara lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen Melaka sempena Sukma 2013 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri yang juga Ketua Kontinjen Melaka, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengarah Majlis Sukan negeri, Ismail Abdol Jalil.

Seramai 176 atlet terdiri daripada 103 atlet lelaki dan 73 atlet wanita akan mewakili Melaka pada kejohanan kali ke-16 yang bermula pada 28 Jun hingga 7 Julai ini di Kuala Lumpur.

Jelas Idris, Melaka amat sinonim dengan kehebatan dalam bidang sukan 20 hingga 30 tahun lalu malah kebanyakan ahli sukan negara lahir di negeri ini.

"Oleh itu, Melaka perlu mempunyai satu kaedah pengurusan, pentadbiran dan latihan yang cekap, objektif serta bersungguh-sungguh untuk kembali gemilang dalam sukan," tegasnya.

Sementara itu Ab. Rahaman berkata, kesemua atlet yang mewakili Melaka akan bersaing dalam 14 daripada 20 acara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan selama sembilan hari itu.

"Pada kejohanan sama 2011, kontinjen Melaka hanya berjaya membawa pulang empat pingat emas, tiga perak serta enam gangsa dan kita menyasarkan untuk mengutip lebih daripada itu pada kejohanan kali ini," ujarnya.

Tambah beliau, 14 acara yang disertai kontinjen Melaka termasuk bola baling, bola keranjang, bola jaring, bola tampar dewan, gimnastik artistik, polo air, judo, kabaddi, lawan pedang, mendayung, muay thai, pingpong, ragbi dan silambam.

Lebih ramai pihak diseru tampil bantu OKU

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

MELAKA 22 Jun - Lebih ramai pihak termasuk badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini diseru tampil menyediakan bantuan kepada golongan kurang upaya (OKU).

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, sumbangan yang juga tanggungjawab sosial masyarakat (CSR) itu secara tidak langsung dapat memberi kehidupan yang lebih bermakna kepada golongan kurang bernasib baik.

"Usaha ini juga seiring dengan identiti kerajaan negeri yang begitu prihatin terhadap golongan berkenaan malah menggambarkan imej sebenar negeri Melaka sebagai negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kaki palsu kepada empat penerima di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Kesemua kaki palsu yang bernilai RM27,200 itu disumbangkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Melaka.

Yang hadir sama Yang Dipertua DPMM Melaka, Datuk Mohamad Ramly Mohamad dan Timbalannya, Datuk Md. Idris Hameem Marikar.

Empat penerima sumbangan itu ialah Hasanain Harun, 18, dari Melaka, Tan Ming Yee, 16, (Perak) Mohammad Nur Affizi Anuar, 15, (Selangor) dan Natasha Nadirah Yunus, 7, dari Kelantan.

Tambah Idris, bantuan yang dihulurkan juga membuktikan keprihatinan pihak luar untuk membantu golongan kurang berkemampuan itu termasuk juga orang sakit.

"Sumbangan ini diharap dapat memberi keceriaan kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan