Ahad, 30 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kekalkan sewa bazar Ramadan

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
pengarang@utusan.com.my

Tisha Toffick (kiri) bersama beberapa peniaga kecil melihat dokumen sewaan tapak bazar Ramadan selepas mengadakan pertemuan melibatkan peniaga dan penganjur bazar Ramadan di Taman Seri Pulai 3, Seremban, semalam.

SEREMBAN 29 Jun - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mengesan beberapa penganjur bazar Ramadan di negeri ini yang menaikkan kadar sewa tapak sehingga membebankan para peniaga kecil untuk berniaga.

Pegawai Penyelarasnya, Tisha Toffick menjelaskan, pihaknya menerima beberapa aduan daripada ahlinya bahawa kadar sewa untuk beberapa tapak bazar Ramadan di negeri ini telah dinaikkan sehingga RM100.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja membebankan para peniaga yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan, malah boleh menyumbang kepada kenaikan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan.

"Kita ada mengesan beberapa penganjur yang mahu menaikkan kadar sewaan tapak untuk bazar Ramadan dan kita tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana ia membebankan para peniaga.

"Kita juga bimbang sekiranya kadar sewaan tapak ini dinaikkan ia boleh menjadi salah satu faktor kenaikan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan ini sekali gus membebankan pengguna," katanya selepas menghadiri satu dialog antara para peniaga dan penganjur Bazar Ramadan Seri Pulai 3 di sini hari ini.

Menurutnya, kadar sewaan tapak bazar Ramadan di negeri ini adalah sekitar RM400 hingga RM500 bergantung kepada lokasi dan keluasan khemah yang disediakan oleh penganjur.

Katanya, dialog tersebut diadakan selepas para peniaga di kawasan itu tidak berpuas hati dengan tindakan penganjuran yang menaikkan kadar sewa daripada RM550 pada tahun lepas kepada RM600 untuk tahun ini.

"Selepas Ikhlas campur tangan dalam hal ini kita berjaya mencapai persetujuan antara peniaga dengan penganjur untuk menurunkan kadar sewa tapak di bazar ini kepada RM500.

"Kita juga meminta para peniaga di bazar Ramadan di negeri ini sekiranya merasakan kadar sewa yang dikenakan tidak berpatutan dan membebankan mereka bolehlah menghungi pihaknya," jelasnya.

Tambahnya, para peniaga boleh menghubungi Pegawai Penyelaras Ikhlas Negeri Sembilan di talian 010-6007887.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan