Jumaat, 14 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Nikmati keindahan paya bakau

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Suasana tenang dan damai berlatar belakangkan hutan paya bakau pasti menjanjikan kelainan kepada setiap pengunjung Lagoon Chalet.

SUNGAI PETANI 13 Jun - Sebut sahaja Sungai Petani mungkin ramai yang sekadar mengetahui ia adalah bandar perindustrian terpesat di Kedah.

Namun, ramai tidak menyedari Sungai Petani turut menjanjikan pelbagai produk pelancongan menarik. Antaranya destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar adalah tarikan keindahan hutan paya bakau yang tertua di dunia terletak di pesisir Sungai Petani dan Sungai Merbok.

Sungguhpun begitu, tidak banyak lokasi disediakan bagi membolehkan pengunjung menikmati pengalaman menarik seperti bermalam di kawasan hutan paya bakau.

Menyedari hakikat itu, seorang usahawan, Datuk Dr. Husaini Yaakob mengambil inisiatif mewujudkan calet bagi menarik kunjungan pelancong menikmati keindahan paya bakau.

Terletak di Kampung Penghulu Him, penginapan Lagoon Chalet berkenaan merupakan sebuah tempat percutian atau perkhemahan yang 'terlepas daripada segala gangguan' dan kedamaian alam yang masih terpelihara yang membuatkan sesiapa sahaja teruja.

Untuk sampai ke destinasi itu, perjalanan hanya kira-kira lima minit dari pusat bandar Sungai Petani.

Kawasan percutian berkenaan memang 'saujana mata memandang' dengan kehijauan hutan paya bakau, Sungai Petani serta dihiasi panorama indah kampung tradisional.

Husaini berkata, kawasan chalet itu berada di pinggir hutan paya bakau yang masih terpelihara keindahan alam sekitarnya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kemelong Holdings Sdn. Bhd., berkata, selain itu, hutan bakau tersebut memiliki pelbagai spesies flora yang merupakan sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Paya Laut yang terbesar di negara ini.

"Antara tumbuhan utama yang hidup di kawasan hutan ini ialah pokok api-api, bakau, perepat dan tumu. Di samping itu, hutan bakau terbabit turut menampung pelbagai jenis hidupan liar iaitu daripada jenis paling halus (zooplankton) hinggalah ke reptilia besar antaranya ketam rebab, ketam lumpur, ikan belacak, kepah dan lokan," katanya.

Husaini memberitahu, kawasan calet berkenaan mula diusahakannya kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, calet berkenaan juga dianggap unik memandangkan ia merupakan satu-satunya calet terapung moden yang diusahakan di bandar Sungai Petani.

"Sekarang kita ada 34 bilik yang diapungkan atas sungai. Ia menawarkan bilik tidur berhawa dingin dan juga bilik biasa dilengkapi perabot, peralatan dapur, televisyen dan ruang santai.

"Selain itu, kita merancang untuk menambah lagi kemudahan dengan membina dewan dalam tempoh terdekat," katanya.

Tambah beliau, satu pelantar turut disediakan untuk aktiviti memancing atau riadah yang dilengkapi perabot dan dapur.

Katanya, kadar bayaran penginapan di calet terapung itu adalah antara RM40 hingga RM160 satu malam.

Husaini berkata, para pengunjung yang menginap di situ boleh menjalankan pelbagai aktiviti yang disediakan pihaknya seperti aktiviti menyusuri sungai bagi menikmati keindahan hutan paya bakau

"Pengunjung juga boleh memilih untuk memancing ke pulau-pulau berhampiran dengan perkhidmatan bot atau mengikuti lawatan ke kawasan pelancongan menarik berdekatan seperti Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Tanjong Dawai dan sebagainya," jelasnya.

Beliau memberitahu, sambutan hangat diberikan pengunjung khususnya pada setiap musim cuti sekolah.

Untuk tempahan boleh mengunjungi Lagoon Chalet di alamat 128 C, Kampung Penghulu Him, 08000 Sungai Petani, Kedah atau menelefon 010-3878444 (Hafiz Mohd. Kholid).

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh menerusi laman web http:// lagoonchalet.blogspot.com.

Indeks jenayah meningkat

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 13 Jun - Indeks jenayah di negeri ini meningkat 10 peratus di antara Januari hingga Mei lalu berikutan tindakan polis membuka semula kertas siasatan meskipun membabitkan kes-kes kecil.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar) berkata, sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dengan peningkatan tersebut kerana tujuannya adalah untuk membendung jenayah secara serius.

Menurutnya, tindakan sedemikian juga bagi memastikan masyarakat mendapat kepuasan apabila kes-kes yang pernah mereka laporkan tetapi masih belum selesai disiasat semula.

"Sebelum ini memang kita siasat setiap kes tetapi tumpuan lebih terarah kepada kes-kes besar.

"Kita mahu pastikan setiap laporan yang dibuat oleh orang awam disiasat secara telus walaupun kes kecil dan saya tidak mahu pegawai saya tidak mengendahkan langsung aduan orang ramai," katanya di sini semalam.

Abdul Rahim memberitahu, beliau sudah mengarahkan semua pegawai dan anggota supaya memberi perhatian penuh kepada setiap aduan mangsa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia untuk mengadakan program bersama masyarakat di negeri ini.

"Tujuan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang jenayah yang berlaku di sekitar mereka dan bagaimana cara untuk membendungnya," katanya.

Program terbabit akan diadakan di Plaza Gurney pada 16 Jun ini diikuti di Kompleks Beli-Belah Sunway Carnival pada 17 Ogos dan terakhir di Pusat Beli-Belah Queensbay pada 16 November ini.

Polis tahan dua lelaki, rampas 60 liter air ketum

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Guan Beng Kang (kanan) dan Shuib Abdul Samad menunjukkan sebahagian air daun ketum yang dirampas dalam serbuan di Padang Rengas dalam sidang akhbar di Kuala Kangsar, kelmarin.

KUALA KANGSAR 13 Jun - Polis menahan dua lelaki dan merampas 60 liter air daun ketum dalam dua serbuan berasingan di Padang Rengas dekat sini petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Supritendan Guan Beng Kang berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Sri Permai pukul 6.10 petang, polis menahan seorang lelaki berusia 64 tahun dan merampas 15 botol plastik berisi air daun ketum.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya di bahagian belakang rumah suspek menemukan sebuah periuk serta tong plastik berisi air daun ketum.

"Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Batu 18, Padang Asam pula, polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas sebanyak 14 bungkus plastik mengandungi air daun ketum.

"Polis turut menemukan sebuah tong plastik dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengisi air daun ketum," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Supritendan Shuib Abdul Samad.

Menurut Beng Kang, siasatan mendapati suspek kedua berkenaan pernah didenda RM1,600 oleh mahkamah sebelum ini kerana kesalahan memiliki air daun ketum.

"Polis percaya kedua-dua suspek aktif menjual bahan terlarang itu di sekitar kawasan ini dengan harga RM10 sebotol atau sebungkus.

"Kedua-duanya kini ditahan reman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Beliau memberitahu, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat orang awam serta risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan