Isnin, 17 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


RM100j naik taraf bekalan elektrik

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

AHMAD Bashah Md. Hanipah (tengah) bersama Suid Othman (depan, dua dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah kepada Sharom Saad di Kampung Mempelam, Mukim Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

ALOR SETAR 16 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah membelanjakan kira-kira RM100 juta bagi menaik taraf bekalan elektrik dan membina pencawang pembahagi utama (PPU) di sekitar negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar Negeri (Bahagian Pembahagian) TNB, Suid Othman berkata, antara projek tersebut ialah pembinaan PPU di Kawasan Perindustrian Mergong di sini membabitkan kos RM19.1 juta yang dijangka siap bulan depan atau Ogos ini.

Katanya, dengan terlaksananya projek berkenaan ia mampu memberi bekalan daya harap dan mencukupi untuk menampung pembangunan di kawasan terlibat ekoran pertambahan penggunaan elektrik.

"Projek ini akan memberi kesan kepada peningkatan prestasi sistem bekalan elektrik," katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB Kedah di Kampung Mempelam di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah menyempurnakan simbolik penyerahan rasmi kunci rumah Baiti Jannati TNB kepada ibu tunggal, Sharom Saad, 62.

Menurut Suid, TNB Kedah melakukan usaha berterusan bagi memberikan perkhidmatan bekalan elektrik berkualiti kepada lebih 600,000 pengguna berdaftar di negeri ini.

"TNB berusaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan sejajar dengan keperluan pengguna. Kami juga komited menyalurkan bekalan elektrik berkualiti kepada penduduk di setiap kawasan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan