Sabtu, 15 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Boikot angkat sumpah tidak masuk akal - Karpal

Posted: 15 Jun 2013 11:47 AM PDT

PULAU PINANG 15 Jun - Pengerusi DAP, Karpal Singh (gambar) memberi jaminan semua ahli Parlimen parti itu akan menghadiri majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.

Sehubungan itu, Karpal berkata, beliau menolak cadangan mana-mana pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua supaya memboikot majlis berkenaan.

"Tindakan itu (memboikot) adalah tidak masuk akal. Semua ahli Parlimen DAP yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu pasti akan hadir dan saya tidak bersetuju dengan cadangan memulaukannya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, Tian Chua mencadangkan supaya ahli Parlimen pembangkang memboikot majlis berkenaan namun dikritik Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kmaruddin yang menyifatkannya sebagai tidak menghormati pengundi.

Mengulas lanjut, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau tidak nampak keperluan untuk DAP mengikut saranan Tian Chua selain yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan hadir.

"Anwar juga memberi jaminan bahawa semua ahli Parlimen PKR juga akan hadir angkat sumpah," katanya.

Letak jawatan kerana mahu isu pelantikan Exco Johor dihentikan

Posted: 15 Jun 2013 11:47 AM PDT

JOHOR BAHRU 15 Jun - Tindakan Datuk Tee Siew Kiong meletak kesemua tujuh jawatan dalam MCA dan hanya kekal sebagai ahli ekoran rasa kecewa tentang isu beliau menerima jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri yang terus dipermainkan.

Siew Kiong menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat menentang resolusi MCA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk tidak memegang sebarang jawatan sekiranya gagal mencatat keputusan lebih baik daripada Pilihan Raya Umum 2008.

"Saya fikir selama lima hari tentang perkara ini sebelum membuat keputusan. Saya rasa kecewa kerana walaupun (resolusi) itu adalah keputusan parti, keadaan saya luar biasa dan pelantikan adalah atas titah tuanku serta taat setia saya sebagai anak Johor.

"Ini masalah kepimpinan dalaman parti, bukan pihak luar kerana ada segelintir yang masih memainkan isu ini bagi memecahbelahkan dan memusnahkan perpaduan parti," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Siew Kiong, beliau akan tetap menghadap jawatankuasa disiplin MCA Isnin ini dan menerima sebarang bentuk keputusan ditetapkan oleh pucuk pimpinan parti.

Dalam satu majlis di Petaling Jaya semalam, beliau mengumumkan peletakan tujuh jawatan dalam parti tersebut iaitu Setiausaha Organisasi Kebangsaan, anggota Majlis Presiden, anggota jawatankuasa Pusat, ahli jawatankuasa pilihan raya, anggota jawatankuasa perhubungan MCA Johor, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya MCA Johor dan Pengerusi MCA Bahagian Pontian.

Katanya, buat masa ini beliau tidak memikirkan tentang sebarang perkara yang akan dilakukan pada masa depan dan lebih menumpukan perhatian untuk menyelesaikan kemelut yang melanda sekarang ini.

"Saya cinta dan sayang parti ini sejak menyertainya 30 tahun lalu, daripada ahli biasa kepada setiausaha cawangan sehinggalah menjadi setiausaha organisasi.

"Ramai yang beri pandangan tentang isu ini tetapi saya ini bukan pemimpin luar biasa dan bermula daripada akar umbi. Saya bukan ibarat datang naik helikopter. Saya usaha dari sehari ke sehari selama ini. Saya kecewa dengan sekumpulan kecil orang yang main isu ini," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan