Utusan Online - Utara |
- RM2j untuk pembangunan wanita
- Pesawah rugi sistem saliran tidak sempurna
- JKKKP diminta elak ketirisan bantuan kerajaan
Posted: RM2j untuk pembangunan wanitaOleh KHAIRUL ABIDIN NUAR IPOH 13 Mac –Kerajaan Perak akan melancarkan dana RM2 juta untuk program pembangunan wanita di negeri ini menjelang hujung bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, peruntukan tersebut akan tertumpu kepada program pendidikan, latihan dan pembangunan wanita terutama melibatkan isu pembuangan bayi. "Program ini akan diperkembangkan sehingga ke peringkat akar umbi meliputi semua sekolah menengah, kolej dan universiti kerana sebagai penduduk Asia, kita terlalu malu untuk bercakap mengenai pendidikan seks. "Kesemua program yang hendak dijalankan sudah disenarai pendek dan kita akan melancarkannya selewat-lewatnya hujung bulan ini," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Hari Wanita Antarabangsa di Kolej Sunway Ipoh, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Perak, Srihartini Mohamed Shamsudin; Pengarah Kolej Sunway Ipoh, Paul Tan dan Presiden Perak Women for Women, Dr. Sharifah Halimah Jaafar. Perak Women for Women adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak wanita di negeri ini. Dalam pada itu, Hamidah berkata, kemampuan seseorang wanita mengisi jawatan tertinggi perlu dilihat atas dasar kelayakannya dan bukan semata-mata untuk melengkapkan kuota. Justeru, beliau menyeru semua wanita supaya meningkatkan kebolehan masing-masing supaya lebih ramai lagi golongan itu akan dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator. "Pencapaian wanita di Malaysia boleh dibanggakan kerana tiada diskriminasi gender di negara ini. "Sehingga hari ini, wanita sudah memegang jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia, naib canselor universiti dan terdapat lima Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) yang telah dilantik," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Pesawah rugi sistem saliran tidak sempurna Posted: Pesawah rugi sistem saliran tidak sempurnaALOR SETAR 13 Mac - Sistem saliran yang tidak sempurna mengakibatkan tanaman padi yang diusahakan oleh 10 petani di Kampung Alor Mengkudu Dalam di sini, rosak menyebabkan mereka menanggung kerugian puluhan ribu ringgit sejak empat musim lalu. Masalah sistem saliran tidak sempurna itu didakwa berpunca daripada pembinaan Taman Keranji Fasa 2 dua tahun lalu. Tapak asal taman tersebut yang menempatkan lebih 100 unit rumah merupakan tapak sawah menyebabkan kawasan bendang bersebelahan yang tidak dibangunkan berada di tengah-tengah Taman Keranji Fasa 1 dan Kampung Alor Mengkudu. Seorang penduduk, Mat Zahir Bakar, 38, berkata, kedudukan taman baru yang lebih tinggi dan ketiadaan sistem saliran bagi pengaliran air sawah menjejaskan proses pertumbuhan padi. Katanya, ia juga mengakibatkan air bertakung biarpun pada musim kemarau sehingga mutu padi merosot. "Selain itu, kampung bersebelahan dan taman berhampiran turut terdedah kepada ancaman banjir akibat hujan dan limpahan air. "Pemaju perumahan yang terlibat berjanji untuk membina saliran dari bendang ke Sungai Kedah, namun apabila pembinaan taman siap, saliran yang dijanjikan tidak dibina," katanya di sini hari ini. Seorang lagi penduduk, Saad Mat Saman, 63, pula memberitahu, hasil tanaman padi yang diusahakannya merosot sejak taman perumahan itu dibina. Sebelum pembinaan, katanya, dia mampu memperoleh hasil padi sekitar 20 guni bagi kira-kira 0.4 hektar sawah, tetapi ketika ini hanya memperoleh 15 guni. "Sejak empat musim lalu, pak tani di sini mengalami kerugian apabila padi rosak dan kualiti tanaman yang merosot. Keadaan ini amat meresahkan kami yang bergantung hidup kepada hasil sawah," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Alor Mengkudu Dalam, Soib Abd. Rahman berkata, kira-kira 500 penduduk taman dan kampung di sekitar kawasan berkenaan turut terdedah kepada banjir berikutan air limpahan dari bendang. Menurutnya, ia ekoran kedudukan taman dan kampung yang lebih rendah daripada taman perumahan baru itu dan diburukkan lagi dengan ketiadaan sistem saliran sempurna. "Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pemaju dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk tindakan tetapi masih belum ada perkembangan. Kami akan memantau masalah ini sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya. Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Ir. Mohd. Guntor Tobeng Mansor Tobeng berharap kerajaan negeri akan turun padang bagi melihat masalah yang dihadapi rakyat akibat pembinaan perumahan baru yang tidak dipantau dengan teliti. "Kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan dan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dengan mendesak pemaju untuk membina saliran yang baik," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
JKKKP diminta elak ketirisan bantuan kerajaan Posted: JKKKP diminta elak ketirisan bantuan kerajaanBUKIT MERTAJAM 13 Mac - Kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) diingatkan supaya membuat penelitian sebaiknya bagi memastikan program bantuan Kerajaan Pusat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak menerimanya. Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, JKKKP memainkan peranan sangat penting untuk mengenal pasti golongan yang wajar diberi bantuan dari semasa ke semasa. Ini kerana katanya, sistem penyampaian kepada masyarakat perlu diselaras dengan baik dan mengelakkan timbul sebarang masalah di kalangan masyarakat sendiri. "Kita tak mahu ada rungutan atau cakap-cakap belakang sekiranya JKKKP gagal menyalurkan bantuan kerajaan kepada pihak sepatutnya seperti bantuan perumahan atau pertanian. "JKKKP kena belajar dari kesilapan sebelum ini misalnya ada penerima yang ada kemampuan tetapi tiba-tiba dapat bantuan rumah," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kecil pertanian oleh Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) di Permatang Pauh kelmarin. Turut hadir Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri, Rosli Hanar Mansor dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Pelet, Mohd. Hakimi Mohd. Arif. Tambahnya, amanah yang dipegang oleh JKKKP itu perlu ditunaikan sebaiknya agar tidak dipersoalkan oleh masyarakat. Dalam pada itu, sebanyak 19 petani sekitar kawasan ini menerima bantuan sebanyak RM5,260 setiap seorang membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM100,000 yang disalurkan MPPP. Antara projek pertanian tersebut termasuklah ternakan ayam piru, lembu, rusa, puyu Siam dan ikan keli, tanaman tebu, pisang berangan dan limau kasturi serta memproses makanan sejuk beku, roti serta kuih tradisional. Abdul Jalil yang juga Pengerusi MPPP Permatang Pauh turut mengingatkan penerima agar menggunakan peruntukan yang diberi untuk memajukan projek mereka dan sentiasa mencari peluang pasaran baru bagi meningkatkan taraf ekonomi. "Kita galakkan peserta mencari projek-projek baru yang mampu berdaya saing serta memberi pulangan lumayan kepada mereka," katanya. "Pada masa sama MPPP akan memantau prestasi projek setiap peserta melalui borang pemantauan dan laporan prestasi setiap peserta," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan