Utusan Online - Timur |
- Ubah mentaliti hanya mahu 'makan gaji'
- 200 pelajar UMT derma darah
- Dua anak ibu tunggal miskin muncul pelajar cemerlang
Ubah mentaliti hanya mahu 'makan gaji' Posted: Ubah mentaliti hanya mahu 'makan gaji'Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU 15 Mac - Mahasiswa mesti berusaha mengubah tanggapan ibu bapa masing-masing yang menganggap kerjaya 'makan gaji' seperti pegawai kerajaan sebagai sasaran utama yang mesti dikejar selepas menamatkan pengajian. Presiden Persatuan Usahawan Siswazah Kelantan, Silawati Sidek (gambar) berkata, persepsi yang sejak lama mendominasi pemikiran masyarakat terutamanya bangsa Melayu itu harus dipecahkan. Perkara ini penting tegasnya, agar tekanan keluarga tidak menjadi penghalang untuk mahasiswa menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Beliau menambah, berlainan kaum Cina yang memandang tinggi kepada golongan peniaga, masyarakat Melayu terus terkongkong dengan persepsi lama yang sebenarnya merugikan mereka sendiri. "Kalau mahu jadi jutawan, tidak ada pilihan terbaik selain daripada dunia perniagaan malah contoh ikutan kita iaitu Siti Khadijah isteri Nabi Muhammad SAW yang kaya raya juga adalah seorang peniaga. "Tetapi masyarakat Melayu kita dari dahulu sehingga ke hari ini mencemuh jika anak yang belajar di universiti menyatakan hasrat mahu menjadi usahawan apabila tamat belajar. "Pada pemikiran mereka hanya kerja makan gaji yang dapat menjamin kehidupan dan dunia perniagaan dipenuhi dengan cabaran dan kegagalan sedangkan segala-galanya bergantung kepada kesungguhan diri kita untuk menghadapinya," jelas beliau. Beliau berkata demikian semasa menjadi salah seorang ahli panel program Sembang-sembang Usahawan Wanita 'Cabaran Dunia Perniagaan - Mitos atau Realiti?' anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Warisan Global Sdn. Bhd., dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di kampus universiti itu di sini baru-baru ini. Program yang merupakan majlis santai perkongsian pengalaman usahawan wanita berjaya itu dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada orang awam dan mahasiswa UMK sendiri. Silawati, 32, yang pernah bertugas sebagai pendidik di beberapa buah sekolah dan mempunyai kelulusan Sarjana dalam Pengurusan Harta Tanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini terlibat secara langsung dalam bidang pembekalan ternakan kepada agensi kerajaan dan swasta. Katanya, beliau sendiri berpengalaman mendapat tentangan pada peringkat awal daripada keluarganya yang tidak bersetuju apabila beliau menolak peluang menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah dan sebaliknya memilih terjun ke dunia perniagaan. "Inilah antara cabaran yang terpaksa dihadapi tetapi kita tidak boleh patah semangat, sebaliknya kita sendiri mesti mencari pencetus motivasi yang ada di sekeliling kita. ''Letakkan sasaran kita juga mahu berjaya seperti kaum lain. "Saya sendiri meletakkan sasaran mahu menjadi seorang jutawan pada usia 40 tahun dan saya percaya ia boleh dilakukan kerana perniagaan adalah kerja yang mulia di sisi agama," katanya. Selain Silawati, tiga ahli panel jemputan lain adalah Pengarah Urusan Hasmah Wide Enterprise, Che Hasmah Hassan; Pengarah Urusan Ieda Food Enterprise, Wan Zuraida Wan Isa. Pengarah Urusan Dome Technologies Sdn. Bhd., Suhaiza Mohamed Yazri manakala moderator program adalah pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Dr Nooraini Mustafa. Wan Zuraida, 32, pula berkata, mahasiswa tidak perlu takut dengan cabaran seperti modal dan sebagainya kerana banyak jabatan kerajaan sedia membantu dari sudut kemudahan dan kemahiran yang diperlukan. Lulusan ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) ini percaya, mahasiswa terutamanya yang keluar dari UMK mempunyai latar belakang yang kukuh untuk memulakan perniagaan mereka sendiri terutamanya dalam bidang berkaitan industri makanan. "Rujuklah kepada mana-mana jabatan seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang dan sebagainya untuk mendapatkan khidmat nasihat dan saya yakin tidak ada masalah untuk graduan universiti mendapat kepercayaan mereka. "Malah pihak di jabatan-jabatan kerajaan ini sebenarnya amat mengalu-alukan anda semua yang sebenarnya mempunyai potensi amat besar untuk berjaya. "Ijazah dan ilmu di dada itu penting tetapi teori semata-mata itu perlu diperkukuhkan dengan kemahiran jika tidak maka akan cepatlah gulung tikar," katanya yang kini berpendapatan lima angka sebulan setelah sembilan tahun menceburi bidang pembuatan makanan segera. Seorang lagi ahli panel, Che Hasmah, 48, yang sudah 20 tahun terlibat dalam industri pemakanan dan produk kesihatan pula berkata, graduan menganggur kerana mereka sendiri yang membiarkan peluang berlalu dan tidak melakukan apa-apa. Katanya, selain minda ibu bapa sendiri yang mesti diubah, graduan universiti juga mesti berani melangkah ke bidang perniagaan. "Dalam perniagaan ada dua benda yang 'dijual' iaitu sama ada perkhidmatan atau produk, pilih jenis perniagaan mana yang kita mahu dan berusaha dengan bersungguh-sungguh. "Industri makanan halal misalnya menjanjikan produk yang amat banyak dan pasaran yang amat luas dan tidak putus," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: 200 pelajar UMT derma darah
KUALA TERENGGANU 15 Mac - Lebih 200 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjayakan kempen derma darah sempena Hari Bertemu Pelanggan di kampus berkenaan, dekat sini baru-baru ini. Program anjuran Pusat Kesihatan UMT dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu bertujuan menyemai rasa tanggungjawab dan membela nasib anggota masyarakat. Pengarah pusat itu, Dr. Arnie A. Rahim berkata, program itu juga bagi membantu Unit Tabung Darah HSNZ mendapatkan seberapa banyak darah yang sememangnya amat diperlukan bagi merawat pesakit. "Selain itu ia dapat menggalakkan warga UMT mengamalkan gaya hidup sihat dan membantu mempromosikan pelbagai perkhidmatan pusat ini yang baru berpindah ke bangunan baru awal tahun ini. "Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, saya berharap ia dapat memupuk nilai kasih sayang tanpa mengira bangsa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Bertemakan 'Menikmati Gaya Hidup Sihat', pelbagai program menarik diatur selama dua hari bagi membolehkan warga UMT mengambil peluang untuk menyertai kempen berkenaan. Selain kempen derma darah, turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, demonstrasi masakan berkhasiat, pameran anti dadah dan kempen pemeriksaan sendiri payu dara. Tambah Dr. Arnie, sejak sebulan lalu, pusat itu mewujudkan dua unit perkhidmatan baru iaitu unit pergigian dan x-ray bagi mempelbagaikan fungsinya kepada warga UMT. Menurutnya, dengan 26 orang kakitangan termasuk tiga orang doktor, kewujudan unit itu selaras dengan keperluannya dalam bidang kesihatan serta pertambahan bilangan warga kampus saban tahun. "Selain itu, Pusat Kesihatan UMT turut mempunyai beberapa unit dan kemudahan lain seperti unit kecemasan dan pesakit luar, bilik isolasi, makmal perubatan, wad umum dan bilik pemeriksaan mata. "Bagi memastikan warga UMT mendapat faedah-faedah kesihatan secara optimum kita turut merancang untuk membuka dua unit lagi perkhidmatan iaitu hemodialisis dan fisioterapi pada masa akan datang," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Dua anak ibu tunggal miskin muncul pelajar cemerlang Posted: Dua anak ibu tunggal miskin muncul pelajar cemerlang
KOTA BHARU 15 Mac - Majlis Konvokesyen ke- 24 Politeknik Kota Bharu pada 7 hingga 10 Mac lalu pasti memalit kenangan manis di hati dua orang pelajar, Wan Mohd. Sulbaharuzi Wan Sulaiman dan Noor Azlin Mohd. Ghazali, 24. Ketika hari terakhir majlis tersebut, kedua-dua anak jati Kelantan ini naik ke pentas bukan sekadar untuk menerima diploma dan sijil masing-masing tetapi ia turut disertakan dengan anugerah pelajar terbaik. Wan Mohd. Sulbaharuzi dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Akademik manakala Noor Azlin menerima Anugerah Kecemerlangan Sijil Kejuruteraan Awam. Lebih menarik, kedua-dua mereka bukanlah datang dari keluarga kenamaan sebaliknya masing-masing dibesarkan oleh ibu tunggal yang hanya bekerja sebagai penoreh getah dan pembantu kedai makan. Wan Mohd. Sulbaharuzi ketika dihubungi selepas majlis tersebut berkata, tekad untuk mengubah nasib keluarga menjadi pendorong utama kepadanya untuk tekun belajar dan mencapai keputusan cemerlang. "Ibu membesarkan kami sembilan beradik seorang diri selepas kematian ayah saya pada 1997 dengan hasil titik peluh menoreh getah saban hari tanpa rasa penat. "Sebab itulah saya menyimpan azam untuk berjaya dalam pelajaran agar suatu hari nanti mampu mengubah nasib keluarga saya menjadi lebih baik dari sekarang," katanya yang berasal dari Kampung Kolam Emas, Gua Musang. Menurut Wan Mohd. Sulbaharuzi sepanjang belajar di institusi itu selama tiga tahun, dia tidak pernah hilang fokus dalam pelajaran dan sentiasa memastikan setiap kerja kursus yang diarahkan berjaya disiapkan. Jelasnya, pembahagian masa juga adalah sangat penting agar dia dapat meluangkan lima jam setiap hari untuk menelaah pelajaran dan mengulang kaji semua subjek yang diambil. Pengalaman sama turut dikongsi Noor Azlin yang hanya bergantung harap kepada pendapatan ibunya, seorang pembantu kedai makan kerana ayahnya juga sudah meninggal dunia. Namun, bagi gadis ini, kekurangan itu tidak pernah menjadi penghalang untuknya belajar dengan tekun bagi mencapai cita-cita menjadi seorang jurutera pada masa depan. "Mak saya dan tiga lagi adik beradik saya menjadi pendorong utama kepada saya untuk belajar dan mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran. "Memang kadang-kadang ada masalah kewangan tetapi saya bernasib baik kerana makcik yang sentiasa membantu saya dalam soal itu dan turut tidak lupa memberi galakan kepada saya," kata gadis Kota Bharu ini. Noor Azlin berkata, dia mahu menjadi contoh kepada ahli keluarga dan rakan-rakan sekelasnya justeru dia tidak pernah mengabaikan pelajaran di samping meluahkan masa beriadah dengan rakan-rakan setiap hari. "Pensyarah juga banyak membantu saya terutama subjek-subjek yang susah dan Alhamdulillah saya berjaya mencapai keputusan yang baik dan menerima anugerah itu. "Saya kini meneruskan pelajaran dalam bidang diploma dan berharap untuk meneruskan kecemerlangan ini," ujarnya lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan