Utusan Online - Timur |
Posted: Desak baiki jambatan 30 tahunOleh YATIMIN ABDULLAH
TUMPAT 10 Mac – Penduduk dan pengguna yang melalui jambatan kayu di Kampung Kutan Sungai dekat sini berharap pihak berkuasa dapat membantu membaik pulih jambatan yang menjadi jalan pintas untuk menghubungkan jajahan ini dengan Pasir Mas. Ia ekoran sebahagian daripada lantai kayu jambatan itu yang sudah reput dan patah yang mengancam keselamatan penduduk setiap kali menggunakannya. Tinjuan Utusan Malaysia mendapati jambatan ini turut mengancam nyawa pelajar kerana ia menjadi laluan utama mereka untuk ke sekolah. Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Ulum yang terletak dalam daerah Pasir Mas serta Sekolah Menengah Agama Falahiah; Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan dan SMK Mahmud Mahyiddin yang terletak di daerah ini. Seorang penduduk, Wan Mohd. Bakri Wan Mamat, 46, berkata, kerosakan jambatan ini bukan disebabkan oleh banjir tetapi kerana tidak dapat menampung berat kenderaan seperti kereta, motosikal dan basikal yang sering berulang alik melalui jambatan ini. "Masalah ini dapat diatasi sekiranya jambatan kayu ini diganti dengan jambatan konkrit. Lagi pun jambatan konkrit lebih tahan untuk kenderaan berulang alik melaluinya," katanya. Tambahnya, jambatan yang berusia hampir 30 tahun ini sudah pun dibaiki lima kali selepas mengalami kerosakan. Sementara itu, Kamalbaharin Ibrahim, 46, berkata, dia sentiasa merasa cemas setiap kali melalui jambatan tersebut kerana kebanyakan lantainya telah patah. Menurutnya, apabila ada lantai yang patah dan reput, memang tidak selamat untuk dilalui lagi, namun disebabkan jambatan ini sudah diketahui umum sebagai penghubung jalan pintas untuk ke Pasir Mas dan Tumpat, ia menjadi pilihan penduduk. "Bila-bila masa sahaja ada tayar kenderaan tersangkut dalam lubang akibat kayu patah di atas jambatan ini, bagi yang sering melaluinya, mungkin perasan kayu jambatan ini patah. "Namun bagi yang tidak biasa melalui jambatan ini, mungkin kecelakaan akan menimpa terutamanya apabila melaluinya pada waktu malam," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kantin asrama Perkaya dibuka semula Posted: Kantin asrama Perkaya dibuka semulaKUALA TERENGGANU 10 Mac - Kantin asrama pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Marang yang diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Daerah sejak 7 Mac lalu dibenarkan beroperasi mulai petang semalam. Pengetua asrama, Wan Kamal Wan Mokhtar berkata, pihak Jabatan Kesihatan Daerah Marang yang menjalankan siasatan semula telah membatalkan notis penutupan sementara selama dua minggu setelah berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil. Katanya, pihak pengurusan asrama telah mengambil tindakan dan langkah segera seperti yang diarahkan oleh Jabatan Kesihatan bagi membolehkan kantin asrama beroperasi seperti biasa. ''Borang permohonan bagi pemeriksaan semula telah dihantar sehari selepas kejadian dan pegawai jabatan berkenaan datang membuat pemeriksaan susulan pagi semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai asrama Perkaya yang diarah menghentikan operasi selama dua minggu ekoran tahap kebersihan yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan negeri sejak 7 Mac lepas. Arahan penutupan itu dibuat setelah sembilan pelajar perempuan dikatakan mengalami keracunan makanan ketika berada di sekolah. Mereka mengadu sakit perut dan muntah selepas mengambil sarapan dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Kesihatan Mercang. Menurut Wan Kamal, kes tersebut mungkin terpencil dan diluar kawalan pihak pengurusan asrama kerana ia hanya melibatkan jumlah bilangan pelajar yang amat kecil. Namun begitu, pihak pengurusan asrama akan sentiasa lebih berhati-hati untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. | ||
Sasar 50 sertai program 4x4 media Posted: Sasar 50 sertai program 4x4 mediaKUALA TERENGGANU 10 Mac - Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) negeri hari ini menyasarkan penyertaan 50 wakil media dari dalam dan luar negara dalam Program Pacuan Empat Roda (4x4) Media Antarabangsa Jun ini. Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Nasir Kushairi berkata, ia sebagai langkah memperhebatkan promosi bagi negeri ini melalui pelbagai produk termasuk kegiatan lasak di samping menghayati alam semula jadi. Katanya, kesemua peserta akan dibawa menaiki 15 buah kenderaan pada program yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu. "Kita telah memilih kawasan yang belum diterokai serta mempunyai nilai sejarah yang tinggi seperti sekitar Kemaman dan Pasir Raja. "Bagaimanapun, laluan-laluan itu masih belum ditetapkan sepenuhnya dan mungkin akan ada penambahbaikan selepas ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Mohd. Nasir menggantikan Shuhaimi Abu Hassan Shari sejak 1 Februari lalu memberitahu, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Tourism Kelantan dan Pahang bagi menjayakan program berkenaan. "Hasrat kita ialah untuk memperhebatkan industri pelancongan di Terengganu memandangkan negeri ini mempunyai banyak potensi dalam bidang ekopelancongan," ujar beliau. Tambahnya, dengan adanya program seperti itu, peserta berpeluang menikmati dan mempelajari sesuatu yang berharga mengenai keindahan hutan di negara ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan