Utusan Online - Selatan |
Posted: RM1 naik kereta perisai Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
TELUK KEMANG 12 Mac - Anda cuma perlu membayar RM1 dan menikmati pengalaman menaiki dua kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Condor 4x4 dan Sibmas 6x6 ketika berkunjung ke Muzium Tentera Darat dekat sini. Pengarah muzium berkenaan, Leftenan Kolonel Norhayati Mansor berkata, pengalaman itu merupakan antara program yang dijalankan pihaknya terutama pada musim cuti sekolah. "Kita memberi peluang kepada orang awam merasai suasana berada dalam dua kereta perisai itu bermula hari ini hingga 20 Mac depan melalui aktiviti yang dipanggil Armour Joy Ride. "Kita cuma kenakan bayaran RM1 kepada pengunjung. Ini hanyalah bayaran kecil untuk dimasukkan ke dalam tabung muzium berkenaan," katanya di Port Dickson dekat sini hari ini. Selain itu, pengunjung juga akan diberikan pengalaman merasai makanan tentera yang dimasak melalui peralatan ketenteraan, selain berpeluang mengunjungi gerai pameran yang terdapat di dataran muzium tersebut. "Ini merupakan sebahagian aktiviti promosi muzium ini, lebih-lebih lagi Port Dickson telah diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. Menurutnya, Armour Joy Ride merupakan tarikan terbaru dan pertama kali dilakukan di muzium ini untuk menarik minat pengunjung, terutamanya kanak-kanak mendekati suasana ketenteraan. Dalam pada itu, Shahbani Shahabudin, 38, yang datang dari Johor bersama isterinya, Rozita Mohd. Akil, 36, dan dua anaknya, Arif Haikal, 5, dan Mirsha Maisara, 9, berkata, aktiviti seumpama itu amat menarik. "Saya bercuti di sini selama sehari dan peluang menaiki kereta perisai ini bersama keluarga merupakan pengalaman pertama dan menyeronokkan. "Pendekatan ini merupakan sesuatu yang baru dan boleh menimbulkan rasa mesra di antara pasukan tentera dan orang awam seperti kami," katanya. Sementara itu anaknya, Arif Haikal dan Mirsha Maisara berkata, mereka berasa amat teruja dan pengalaman tersebut akan diceritakan kepada saudara dan rakan-rakan yang lain. "Saya belum pernah menaiki kereta perisai ini. Selalu tengok gambar sahaja. Hari ini, saya dibawa bersiar-siar dalam kawasan sekitar dengan kereta perisai. Seronok sangat," kata Mirsha Maisara. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, program itu adalah permulaan untuk menarik minat orang awam terhadap pelancongan berkonsepkan ketenteraan. "Selepas ini, kita akan melaksanakan pula program barrack stay atau inap ala tentera di dalam kem yang sedia ada supaya orang awam merasai kelainan dalam percutian mereka," katanya. Katanya, program seperti itu dapat memantapkan pelaksanaan pakej pelancongan di Port Dickson termasuk beberapa pakej yang telah dirancang seperti Istiadat Pertukaran Kawalan Keselamatan atau Change Of Guard pada setiap hujung minggu yang dijangka turut menarik perhatian pengunjung. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Siti Aisha raih kejayaan tanpa ibu bapa Posted: Siti Aisha raih kejayaan tanpa ibu bapa
JASIN 12 Mac - Majlis Konvokesyen ke-8 Politeknik Merlimau hari ini menjadi hari bersejarah buat Siti Aisha Senin, 22, apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik kerana cemerlang dalam akademik dan kokurikulum sepanjang tiga tahun pengajian. Namun, bagi Siti Aisha kegembiraan tersebut tidak bermakna tanpa kehadiran ibu bapanya, Senin Selamat, 70, dan Sapiah Rusman, 60, apabila kedua-duanya tidak menyaksikan dia menerima anugerah tertinggi di politeknik tersebut. Ini kerana, ibu Siti Aisha sudah meninggal dunia sejak dia berusia 14 tahun manakala bapanya tinggal berasingan dengan mereka di Kulai, Johor dan jarang menjenguk Siti Aisha dan dua beradiknya yang tinggal bersama datuk mereka di Batu Pahat. "Saya amat cemburu melihat rakan-rakan dipeluk dan dicium oleh ibu bapa mereka sambil ahli keluarga lain mengucapkan tahniah, perasaan saya amat sedih. "Namun, saya bersyukur kerana hari ini, saya tidak datang seorang diri pada majlis konvokesyen kerana datuk, nenek dan seorang kakak saya ada datang menemani," katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen ke-8 Politeknik Merlimau yang dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Omar Abd. Rahman. Selain menerima anugerah Pengarah, Siti Aisha pemegang Diplomasi Akauntasi dan seorang lagi pelajar, Nurul Nadia Mohd. Noh menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum (Politeknik) dan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum (Jabatan). Pada majlis itu, seramai 918 graduan sesi pengajian Julai 2010 menerima sijil dan diploma masing-masing. Siti Aisha yang mendapat Gred Purata Mata Kumulatif (CGPA) 3.88 berkata, dia terpaksa mengharungi cabaran hidup seorang diri di politeknik tanpa ibu bapa untuk meluahkan segala masalah berbanding rakan sebayanya yang lain. "Segala masalah saya tanggung sendiri dan saya luahkan kepada Allah SWT," katanya. Katanya, sejak kecil, dia dan dua kakaknya dipelihara oleh datuk dan nenek saudara manakala ibu bapanya tinggal berasingan dengan mereka. Kata Siti Aisha, kejayaan yang diperolehinya hari ini tidak datang dengan mudah dan didorong oleh perasaannya ingin membuktikan bahawa dirinya juga boleh berjaya. Dia kini bekerja sebagai kerani bil di sebuah pakar di Kuala Lumpur sejak empat bulan lalu. Perancangan Siti Aisha selepas ini ialah melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia dalam bidang perakaunan bagi merealisasikan cita-cita menjadi akauntan profesional. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
22 kawasan projek rumah kos rendah Posted: 22 kawasan projek rumah kos rendahMELAKA 12 Mac - Sebanyak 22 kawasan di seluruh negeri melibatkan tanah seluas 240 hektar telah dikenal pasti terlibat dengan projek perumahan kos rendah. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemuliharaan Projek negeri, Datuk Ab. Ghafaar Atan berkata, pelaksanaan projek itu terletak di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 Disember lalu. Menurutnya, cadangan melaksanakan projek perumahan kos rendah itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perumahan Negara bagi tujuan mendapatkan peruntukan. "Pembahagian kawasan projek perumahan kos rendah ini dibahagikan mengikut kawasan parlimen, di mana kawasan parlimen Bukit Katil dan Jasin masing-masing menerima lima projek. "Selebihnya di Alor Gajah (empat projek), Kota Melaka dan Masjid Tanah (masing-masing tiga projek) serta dua projek di Tangga Batu," katanya. Selain itu katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai cadangan membangunkan projek perumahan awam kos rendah dan sederhana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan