Utusan Online - Rencana |
Posted: Transformasi politik SarawakOleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN JIKA kita mengasaskan pandangan kepada laporan media baru, kita akan pantas menjangkakan bahawa Sarawak adalah sebuah negeri yang terlalu jauh ke belakang dan mundur. Sarawak digambarkan sebagai sebuah negeri yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang sama sekali tidak mempedulikan rakyat, sekali gus hanya mendahulukan kepentingan peribadi. Kalau kita percayakan kepada laporan media baru (sebahagiannya berpusat nun jauh di London); kita yang berada di Semenanjung pun pasti akan berasa marah dan menganggap Sarawak sebagai sebuah negeri yang memerlukan 'perubahan' dan digantikan dengan kepimpinan baru. Politik berasaskan persepsi sudah memberikan gambaran yang terlalu buruk terhadap Kerajaan Sarawak. Secara kebetulan, penulis berada di Sarawak untuk beberapa ketika. Persepsi benar-benar berubah. Sarawak tidak seperti yang digambarkan oleh 'pakar media baru' yang secara nyata dan jelas memberikan pandangan yang ekstrem dan terlalu buruk kepada negeri itu. Sarawak, negeri yang amat makmur dan sama sekali tidak seperti digambarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ketepikan kepentingan politik dan kita akan dapat melihat Sarawak sebagai 'model pembangunan baru' kepada negeri-negeri lain di Malaysia. Apa yang berlaku di Sarawak, sama ada mahu kita mengakuinya atau tidak adalah satu bentuk transformasi yang luar biasa. Baik daripada sudut politik; mahupun ekonomi - kepimpinan Sarawak telah mampu meletakkan negeri tersebut sebagai antara negeri utama daripada sudut pembangunan ekonomi. Hakikat ini memang sangat sukar mahu disangkal. Kecuali kepada mereka yang selalu mahu melihat kepada kelemahan-kelemahan kecil tertentu - bagi menafikan pencapaian dalam konteks yang lebih besar. Tidak ada ahli politik yang waras dan objektif, mahu membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Sarawak dengan apa yang kita ada di Semenanjung. Bumi Kenyalang ini cukup terbentang luas. Keluasan Sarawak sahaja adalah 37.7 peratus daripada keseluruhan Malaysia! Ini sekali gus membayangkan bahawa beban untuk memastikan pembangunan dapat dirasai oleh semua rakyat; baik yang berada di Kuching sehingga ke Bekalalan dan Hulu Baram adalah cabaran yang luar biasa besar. Bagi mereka yang pernah bertugas di Sarawak, pastinya faham bahawa ini adalah cabaran yang sangat real dan bersifat sebenar. Demikian juga tanggungjawab seorang Wakil Rakyat di Wangsa Maju (sebagai misal) mahu diperbandingkan dengan seorang lagi wakil rakyat daripada kawasan Mukah, Hulu Rajang mahupun Julau di Sarawak. Kalangan Yang Berhormat daripada Sarawak pastinya perlu bekerja jauh lebih kuat dalam memastikan pembangunan dapat dibawa ke setiap inci kawasan Parlimen yang diwakili. Justeru, janganlah kita terlalu mudah - di atas semangat untuk menawan 'Putrajaya' menghamburkan segala macam penghinaan, sekali gus membenih semangat politik benci di kalangan rakyat di Sarawak. Hakikatnya, mereka sedang berada di landasan yang tepat bagi mencatatkan lebih banyak kejayaan sekiranya tidak diganggu gugat dengan pelbagai politik benci dan hasut. Berdasarkan kepada fakta yang disediakan oleh pihak ketiga, Malaysian Rating Corporation Berhad, ekonomi Sarawak berada di tahapnya yang baik. Bajet dan belanjawan negeri berada dalam keadaan 'surplus'. Berdasarkan angka ekonomi tahun 2008, pendapatan Sarawak meningkat sebanyak 59.3 peratus (RM6.5 bilion) - sementara perbelanjaan di sekitar RM4.4 bilion. Dengan sendirinya, Sarawak mempunyai lebihan hampir RM2 bilion untuk diterjemahkan dalam bentuk pembangunan di seluruh 11 Bahagian di Sarawak. Yang pasti, tugas ini bukanlah suatu amanah yang mudah. Ia pasti mengambil masa untuk memastikan keseluruhan Bahagian, bandar, kampung kecil dan rumah panjang di Sarawak mendapat nikmat pembangunan yang sebenar. Sudah barang tentu, dalam kesukaran yang ada itu, wujud pihak yang boleh mengambil kesempatan daripada insiden-insiden kecil yang sebenarnya tidak melambangkan 'kemakmuran' Sarawak secara keseluruhannya. Kita lihat sahaja bagaimana pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal meratakan peluang perniagaan dan pekerjaan di kawasan yang sangat strategik. SCORE, mungkin sahaja boleh diangkat sebagai antara 'agenda koridor' yang berjaya selain daripada apa yang berlaku di Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor. Kekuatan SCORE adalah sumber tenaga yang memang sudah siap tersedia di sekeliling parameternya. Sumber inilah yang dirasakan sangat strategik - sekali gus menjadi pelengkap kepada banyak industri yang dibangunkan di sekelilingnya nanti. Melalui SCORE, Sarawak sudah pun menerima banyak pertanyaan dan pelaburan daripada pelbagai syarikat antarabangsa seperti Tokuyama, Asia Zincox Resources, Rio Tinto, Acacia Cellulose International dan banyak lagi. Ini semua menzahirkan peluang jangka panjang untuk warga Sarawak. Nyata, SCORE mendapat perhatian yang luar biasa daripada Ketua Menteri Sarawak. Tanyalah apa sahaja kepadanya - daripada nama syarikat, sehinggalah 'teknologi' yang bakal mereka bawa ke Sarawak. Semuanya dapat dijawab dengan baik oleh Pehin Sri Taib Mahmud; membayangkan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang amat hands-on. Benar, hari ini Ketua Menteri berhadapan dengan 'politik persepsi' yang sudah banyak menidakkan pencapaiannya selama ini. Warga internet, disajikan dengan berita yang lebih bersifat 'personal' dan tidak melihat Sarawak dalam perspektif 'umumnya' yang mungkin sahaja lebih baik daripada kalangan negeri yang dipimpin oleh pihak pembangkang sekali pun. Hakikat yang perlu diterima, kejayaan Sarawak hari ini adalah bersandarkan kepada kepimpinan dan kerajaan yang mempunyai visi jelas. Perkara yang wajar diterima adalah nilai profesionalisme kakitangan awam Sarawak yang dirasakan cukup tinggi dan wajar dihargai. Mereka inilah sebenarnya yang menjadi 'nadi kejayaan' kepada Sarawak selama ini. Realiti di Sarawak akan menzahirkan suatu perkara yang sama sekali berbeza daripada apa yang digambarkan di media baru. Sarawak bangkit dengan meyakinkan dengan 'model pembangunan' sendiri yang seringkali 'seiring' dengan apa yang berlaku di Semenanjung. Sarawak sudah mempunyai 'asas politik dan ekonomi' yang agak kukuh, bagi meneruskan kejayaan di masa-masa akan datang. Ya, mungkin ramai yang mahu melihat 'perubahan', namun ianya perlulah dilakukan dengan mandat dan restu rakyat Sarawak sendiri. Siapa kita ingin menentukan apa yang baik buat mereka; sekiranya mereka lebih gembira dengan apa yang mereka ada. Sikap Ketua Menteri yang terbuka dan tenang akan memungkinkan proses transformasi yang lebih mudah di Sarawak. Ini semua wajar berlaku bukan atas dasar 'politik kebencian' namun atas semangat menjaga dan memelihara 'kesinambungan' apa yang ada di Sarawak hari ini. Sayang, jika politik berasaskan persepsi mengelabui 'realiti Sarawak' yang lebih indah dan makmur. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Wakaf mampu pertahan geoekonomi orang Melayu Posted: Wakaf mampu pertahan geoekonomi orang MelayuOleh Zaini Hassan BEBERAPA minggu lalu Cuit menulis mengenai kedudukan geopolitik orang Melayu di negara ini. Ada yang menafikan apabila angka-angka yang diberikan mengenai jumlah daftar pengundi yang diusahakan oleh pembangkang melebihi daripada yang dilakukan oleh pihak UMNO dan BN. Ada yang marah, nafi, melenting kerana kononnya angka itu tidak tepat. Tapi saya berpegang kepada angka itu, kerana ia datangnya dari sumber yang sahih. Begitu juga apabila saya menulis lagi mengenai kedudukan geopolitik berhubung tanah-tanah berkependudukan Melayu yang dibangunkan dengan kondo-kondo yang mahal-mahal di Kuala Lumpur. Saya membangkitkan soal mengenai kedudukan beberapa kampung setinggan Melayu yang kini sedang mengalami proses transformasi, yang saya yakin tidak mampu didiami lagi oleh orang Melayu asal di situ. Dengar kata ada juga yang marah-marah dengan tulisan itu. Apa yang saya tulis itu tiada niat lain selain untuk merangsang minda kita, orang Melayu dan politik Melayu supaya berfikir sejenak, sebelum terbabas lebih jauh. Niat saya mungkin baik, tapi ia dianggap sebaliknya dan dilihat dalam konteks yang berbeza. Namun minggu ini, saya mahu menyentuh lagi mengenai isu pemilikan aset orang Melayu pula. Sama seperti geopolitik juga, tapi kali ini ialah mengenai soal geoekonomi atau geografi ekonomi pula. Apa itu geoekonomi? Secara kasar ia membawa maksud kajian mengenai aspek politik ekonomi dan sumber-sumbernya. Geoekonomi menurut Wikipedia yang memetik seorang ahli ekonomi Amerika, Edward Luttwak adalah salah satu cabang kepada geopolitik. Jadi kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat. Saya mahu menitikberatkan mengenai geoekonomi orang Melayu, yang jika tidak diambil berat juga akan membawa musibah untuk jangka masa panjang. Ia mungkin membabitkan pegangan strategik sesuatu aset, perniagaan atau harta yang dimiliki oleh sesuatu pihak. Dalam konteks ini, pegangan itu dimiliki oleh orang Melayu. Pagi Sabtu dua minggu lalu saya menghadiri satu persidangan dikenali sebagai Persidangan Kebangsaan Program Transformasi Melayu Muslim dan Wakaf Korporat yang diadakan di Putrajaya. Jarang-jarang saya mahu menghadiri persidangan seperti ini, terutamanya yang membabitkan orang Melayu. Ada kata-kata sinis yang pernah diucap mengatakan persidangan seumpama itu hanya membuang masa sahaja. Terlalu banyak kongres, persidangan, seminar, wacana mengenai ekonomi orang Melayu sejak puluhan tahun dulu yang jika dikumpulkan kertas kerjanya boleh dibuat pulau, kata seorang pengkritik. Namun pagi itu, situasinya berbeza. Ia dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang rata-rata saya lihat terdiri daripada Melayu ternama dan berkedudukan dalam dunia korporat dan perniagaan. Pendek kata tetamu yang hadir cukup berkualiti. Antara penceramah yang menarik perhatian semua ialah Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sekali pandang Ali mirip seperti Colonel Harland Sanders pengasas ayam goreng KFC di Amerika Syarikat. Itulah pertama kali saya melihatnya dari dekat. Rambutnya putih, misainya juga putih. Betul-betul ala Sanders, pencipta KFC itu. Ali ialah bekas Presiden dan CEO Johor Corporation (JCorp) yang diterajuinya selama 30 tahun. Beliau kini sudah bersara daripada syarikat korporat terkemuka milik kerajaan negeri Johor itu. Di bawah terajunya, JCorp berjaya memiliki syarikat KFC yang diusahakan di Malaysia daripada seorang pengusaha Cina pada waktu itu. Hasil gigihnya KFC Malaysia mengembangkan sayapnya ke seluruh pelosok negara, termasuklah ke Singapura, Brunei, India dan terbaru ke sebuah negara Indo-China. Namun pada pembentangannya di pagi itu, semua tetamu yang hadir senyap. Semua tertumpu kepada penerangannya mengenai satu pendekatan baru mengenai wakaf. Jika selama ini kita hanya mendengar mengenai wakaf tanah kubur, wakaf tanah surau, masjid, madrasah atau sekolah pondok, kini pendekatannya diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Wakaf yang yang dibawanya ialah wakaf korporat atau wakaf syarikat, saham, aset, wang selain harta. Beliau mempunyai alasan yang kukuh apabila memperkenalkan pendekatan itu iaitu: Bagi mengelakkan aset-aset milik orang Melayu Islam (di negara ini) jatuh ke tangan pihak lain. Ia berkaitan jihad bisnes membabitkan soal maruah dan strategik bangsa dan agama. Semua yang hadir, yang ada antaranya terdiri daripada usahawan besar negara tertarik dengan pendekatan itu. Dalam sesi soal jawab kemudian, rata-rata bersetuju supaya mana-mana aset yang dipegang oleh orang Melayu Islam di negara ini tidak dijual kepada orang lain. Jika perlu dijual sekali pun, juallah kepada lingkungan yang sama atau diwakafkan. Alasan mereka ialah membabitkan soal geoekonomi orang-orang Melayu yang mungkin akan hilang. Justeru, Majlis Perundingan NGO-NGO Melayu (MPM) yang menganjurkan persidangan itu telah melantik Yayasan Iqra' sebagai penyelaras bagi membentuk wakaf korporat itu. Iqra' akan distrukturkan bagi memenuhi tuntutan menyempurnakan sepenuhnya amanah mutawwali sebagai sebuah badan pengurusan wakaf. Melalui penerajunya Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Mara, beliau segera menggerakkan beberapa tokoh profesional, termasuk Ali Hashim sendiri untuk membantu merealisasikan 'jihad busines' itu. Ali semasa perkhidmatannya dalam JCorp berpengalaman menggerakkan wakaf korporat melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp). Kita berharap Yayasan Iqra' yang akan menggerakkan jihad ini dapat menyelamatkan syarikat-syarikat strategik milik Melayu dan Islam daripada jatuh ke tangan orang lain. Badan wakaf ini juga diharap menjadi pemangkin untuk membantu mengumpul pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera bernilai RM400 bilion menjelang dan selepas 2020, tercapai. Sebelum menamatkan tulisan ini, saya ingin berkongsi pendapat seorang pembaca dalam majalah Newsweek edisi terbaru (14 Mac 2011) mengulas cadangan seorang profesor ekonomi Niall Ferguson yang mengesyorkan Amerika Syarikat menswastakan aset-aset negara itu bagi menyelesaikan hutang negara itu. Ini kata surat pembaca itu: ''Dalam cadangan untuk menswastakan aset-aset negara itu, Ferguson telah meletakkan Grand Canyon dan Yellowstone sebagai hadnya. Mengapa dihadkan kepada aset bernilai itu? Cuba fikirkan berapa banyak Disney sanggup bayar jika Yellowstone dibenarkan untuk jualan! Apa yang kita boleh peroleh daripada Pentagon? Pangkalan-pangkalan tentera kita sudah tentu amat bernilai kepada China (jika boleh dijual kepada mereka)..." Bagi pembaca majalah itu, Grand Canyon, Yellowstone dan Pentagon ialah aset-aset strategik Amerika yang tidak boleh dijual beli sama sekali, atau dipindah tangan. Ia adalah geoekonomi politik Amerika. Akhir kata, jika dulu kita berhempas pulas dan bermegah memiliki Malayan Banking, Malayan Finance, Kwong Yik Bank, Dunlop, Guthrie dan banyak lagi daripada tangan orang lain, maka pertahankanlah ia. Ia adalah geoekonomi politik kita. (Nota: Cuit akan disiarkan seperti biasa Rabu depan) Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan