Khamis, 17 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Belajar mengurus bencana

Posted:

Belajar mengurus bencana

Belajar mengurus bencana

Oleh AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR


KEMUSNAHAN akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun memberi pengajaran kepada manusia terhadap kehebatan kuasa alam. – Gambar hiasan


Gempa bumi berukuran 8.9 skala Richter yang diikuti tsunami setinggi 10 meter di Jepun, seminggu lalu berjaya mengalihkan persepsi masyarakat antarabangsa yang sejak awal tahun ini tertumpu kepada bencana protes yang berlaku di Asia Barat. Berita mengenai Asia Barat sudah menjadi berita kecil, kerana ketakutan masyarakat antarabangsa menjadi semakin mendalam setelah berlakunya beberapa letupan loji nuklear di Fukushima akibat tsunami.

Banyak juga laporan spekulasi mengenai kadar radiasi yang dianggap bakal mengancam manusia seluruh dunia apabila angin yang bertiup boleh membawa sisa-sisa radioaktif dan rakyat Malaysia dikatakan tidak terkecuali bakal menerima kesan negatif.

Rakyat Malaysia ada juga yang panik apabila menerima pesanan ringkas (SMS) meminta agar tidak keluar rumah, mengelakkan terkena hujan dan menutup semua tingkap kerana angin yang membawa radiasi radioaktif akan sampai juga. Buat masa ini, tahap keselamatan udara Malaysia belum terjejas, kerana kesan pembebasan gas hidrogen dari letupan reaktor nuklear itu belum sampai, malah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan tahap kebocoran itu masih pada tahap yang selamat.

Pengajaran yang kita peroleh daripada bencana tersebut adalah bagaimana kita boleh menguruskan kepanikan masyarakat tentang musibah yang berlaku. Kita mungkin dapat memahami jika perkara ini berlaku di Malaysia, suasana panik dan takut akan menyebabkan ramai pihak menyalahkan kerajaan, sebagaimana berlaku peringkat awal menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap dengan protes rakyat Mesir ke atas pentadbiran Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Bagi pihak kerajaan, segala upaya telah dilaksanakan termasuk mengenal pasti rakyat Malaysia di Jepun yang terbabit. Upaya pertama ialah mendapatkan pengesahan mengenai keselamatan mereka sama ada menghubungi sendiri mereka yang terbabit ataupun merayu agar rakyat Malaysia menghubungi Kedutaan Malaysia ataupun menyalurkan maklumat melalui agensi berkaitan.

Teknologi maklumat banyak membantu, termasuk pengesanan ke atas lebih 400 rakyat Malaysia yang masih trauma dengan gempa bumi dan tsunami di Miyagi. Apa yang menyedihkan ialah sekilat itu jugalah ada pihak terus memberikan sorotan mengenai kebocoran loji nuklear Chernobyl, Ukraine pada 1986, walaupun kesan buruk kepada rakyat Malaysia tidak berlaku.

Bagi menguruskan bencana, kita mungkin boleh menyingkap sejarah bagaimana Nabi Yusuf a.s. memberi tafsiran terhadap dua mimpi Raja Firaun dalam sejarah Mesir kuno. Ini difirman oleh Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 43 yang bermaksud: "Dan (pada suatu hari), raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai menafsirkan mimpi."

Nabi Yusuf a.s. telah memberikan gambaran bahawa tujuh ekor lembu dan tujuh biji gandum yang baik melambangkan kemakmuran selama tujuh tahun, manakala tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh biji gandum yang busuk ialah tujuh tahun berada dalam kesukaran. Bagi menjamin kesejahteraan kehidupan, Nabi Yusuf a.s. mencadangkan agar seorang yang bijaksana dan berperibadi mulia dipilih bagi mentadbir Mesir agar dapat membuat simpanan ketika tujuh tahun dalam kemakmuran bagi kegunaan tujuh tahun yang sukar. Atas nasihat tersebut, akhirnya Nabi Yusuf a.s. telah dipilih oleh Raja Firaun mentadbir Mesir. Kemakmuran dan kesedihan merupakan putaran yang perlu dihadapi oleh semua manusia.

Kemakmuran menyebabkan manusia lupa mengenai persiapan untuk menghadapi saat-saat yang sukar. Oleh sebab kedudukan Malaysia yang tidak terletak dalam 'Lingkaran api', maka tidak ramai rakyat negara ini mengambil iktibar daripada peristiwa dan bencana yang berlaku di seluruh dunia. Mungkin rakyat negara ini sudah lupa mengenai bah air merah yang berlaku di Kelantan suatu ketika dahulu, banjir besar pada 1971, tragedi Pos Dipang (1996), runtuhnya Highland Tower (1993), taufan Greg (1996), tanah runtuh di Gombak (2004), banjir besar di Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat (2007), tsunami di Kuala Kedah dan Batu Feringghi (2004), malah kemalangan maut melibatkan bas ekspres dan sebagainya.

Secara umumnya, bencana boleh dikategorikan kepada dua, iaitu bencana alam dan bencana atas kelalaian manusia. Meskipun bencana alam dilihat sebagai mala petaka semula jadi, namun ia mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti manusia yang menganggu kelestarian alam dan sistem ekologi.

Tragedi Pos Dipang pada 1996 membuktikan bagaimana pembalakan di hulu sungai menyebabkan perkampungan Orang Asli di Simpang Pulai, Perak musnah sama sekali.

Tsunami pada 2004 membuktikan bahawa ketiadaan pokok bakau dan pokok api-api sebagai penahan pantai telah memusnahkan perkampungan nelayan di Kuala Kedah dan Batu Feringghi. Atas alasan mengeksploitasi keindahan semula jadi sebagai kawasan pelancongan, pantai Miami dan persekitaran Tanjong Bungah teruk dilandai badai ganas.

Tragedi-tragedi ini walaupun berlaku secara semula jadi, ia ada kaitan rapat dengan tingkah laku manusia di bumi sebagaimana diingatkan oleh Allah SWT dalam surah ar-Ruum, ayat 41.

Umat manusia sentiasa diingatkan supaya tidak mengundang bahaya, iaitu 'mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan' (al-Baqarah, 195), seperti mengganggu dan memusnahkan ekologi, tamak dan mengkhianati sesama manusia. Setiap tindakan yang bakal diambil perlu memberikan perhitungan mendalam mengenai keseimbangan ekologi kehidupan, termasuk kesejahteraan orang lain.

Ini bermakna, kaitan antara manusia dan alam sekitar begitu akrab sekali, seakrab hubungan sesama manusia. Benar segala apa yang ada di atas bumi dan di dalam bumi adalah untuk kegunaan manusia, tetapi penggunaannya hendaklah tidak melampau.

Ingatan agar tidak melampaui batas itu adalah sebagai early warning system (EWS) yang seharusnya dikembangkan dalam memupuk kesedaran mengurus bencana. Kalau di Jepun, mereka menggunakan teknologi moden seperti menyalurkan secepat mungkin berita amaran tsunami dan gempa bumi melalui radio, meletakkan alat pengesan mala petaka, membuat pemantauan mengenai sebarang bentuk perubahan cuaca dan angin, membina rumah dan bangunan tahan gegaran telah banyak menyelamatkan nyawa manusia.

Namun tsunami kali ini nampaknya telah menyebabkan peralatan canggih telah tewas, langkah-langkah keselamatan reaktor nuklear tidak dapat dipertahankan, maka di sinilah kita harus akur bahawa keupayaan manusia tetap terbatas, masih belum mampu menghadapi dugaan alam dan kuasa Allah SWT.

Tetapi, ini bukan bermakna Allah SWT mengharapkan manusia menjadi golongan yang tidak berfikir dan tidak perlu membuat persediaan. Allah SWT mengingatkan manusia 'bersedialah dan berjaga-jagalah' (an-Nisa, 71).

Allah SWT mengingatkan agar manusia menjaga tingkah laku, tidak bersifat tamak dan lebih berhemah apabila berinteraksi dengan alam sekitar. Allah SWT mengingatkan manusia agar menghormati kelestarian alam, kerana alam itulah yang membekalkan kepada manusia udara untuk bernafas, menyuburkan tanaman dan memberikan zat kepada kehidupan. Jika manusia mengganggu alam sekitar secara tidak berhemah, menebang pokok sesuka hati dan membuang sisa buangan (kimia, sampah dan benda-benda buruk), putaran ekosistem akan kembali menyebabkan nafas manusia sesak.

Inilah putaran yang seharusnya difahami oleh manusia, kerana itulah Allah SWT sering memberikan ingatan, bersederhanalah dalam memenuhi keperluan, jangan melampaui batas.

Bagi membolehkan alam sekitar sentiasa terjaga, manusia perlu memperkuatkan azam dan tindakan tidak mencerobohnya. Jika ingin dibangunkan kawasan penempatan, manusia perlu memahami hukum alam termasuk sistem aliran air bawah tanah, jenis-jenis tanah, kedudukan arah angin dan sebagainya bagi mengelakkan sebarang mala petaka.

Manusia diminta untuk menguruskan kehidupan secara sederhana. Kesederhanaan itulah akan memberikan manusia kesejahteraan. Seperti juga amaran memandu laju, cenderung kepada kemalangan, maka mempunyai nilai kehidupan yang tamak dan bongkak juga akan berakhir dengan kemusnahan dan malapetaka.

Tragedi tsunami dan gempa bumi di Jepun memberikan banyak pengajaran, sekurang-kurangnya banyak negara Asia yang sedang bangkit mengukuhkan kedudukan ekonomi memikirkan semula keperluan kepada pembangunan reaktor nuklear.

Meskipun Allah SWT turut mengingatkan bahawa "Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Dia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Dia hendak memberikan rahmat kepada kamu?Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: Bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka." (al-Ahzaab, 17). Ia tidak bermakna manusia tidak perlu berikhtiar, yang lebih penting ialah bagaimana menguruskan trauma mangsa yang dilanda bencana.

Manusia seharusnya semakin matang menguruskan kehidupannya sendiri, tetapi kadang kala manusia lupa apabila dilingkari kemakmuran sentiasa melupakan pusingan duka yang juga sebahagian daripada sejarah kehidupan. Inilah yang perlu ditanam dalam jiwa setiap insan, hidup ini bukan sahaja hanya untuk menguruskan kejayaan, perlu ada pengetahuan bagaimana menguruskan kekecewaan, kesedihan dan trauma akibat tertimpa malapetaka, bencana dan kemusnahan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah

Malaysia (Yadim)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pas semakin gelabah?

Posted:

Pas semakin gelabah?

Pas semakin gelabah?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


KEKALAHAN Pas kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau dan Merlimau, baru-baru ini adalah mesej daripada rakyat. - utusan/Mahathir Ali


SELEPAS tewas empat kali berturut-turut di dalam pilihan raya kecil yang diadakan, Pas kini boleh dikatakan berada dalam keadaan cacing kepanasan. Kepimpinan parti itu semakin memahami bahawa populariti yang mereka kecapi terutamanya ketika Pilihan Raya Umum 2008 semakin merudum.

Gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan kemudiannya kecundang di Tenang, Merlimau dan Kerdau sudah cukup memberi tamparan kepada kepimpinan Pas. Walaupun ia sudah jelas membuktikan bahawa pengundi terutamanya orang Melayu semakin ramai tidak menyebelahi parti itu namun Pas masih lagi tidak mahu mengaku kelemahan mereka.

Sebaliknya, kepimpinan Pas termasuklah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mencari ruang bagi mengelakkan mereka dipersalahkan. Terbaru, Abdul Hadi ketika berbahas di Dewan Rakyat, Isnin lalu mempersoalkan kenapakah Barisan Nasional (BN) memerintah terlalu lama sehingga didakwanya mewujudkan pelbagai masalah di dalam negara termasuk perpecahan.

Kalau beliau bertanya kenapa BN boleh perintah terlalu lama bagaimana pula kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Redang sejak 1986, tidakkah kedudukan begitu lama itu juga atas kehendak rakyat seperti mereka memilih BN kekal memerintah negara ini?

Oleh itu, apa yang dihujahkan oleh Abdul Hadi hanyalah pandangan seseorang yang boleh dianggap tertekan dengan situasi yang melanda partinya sekarang. Apa yang lebih penting untuk dibicarakan ialah mengenai nasib Pas selepas ini terutamanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ketika berbual-bual dengan beberapa penyokong tegar Pas, mereka mengakui populariti Pas merudum sejak parti itu mengadakan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Mereka berhujah pada mulanya segalanya nampak elok memandangkan ketiga-tiga parti itu mempunyai matlamat yang sama dalam Pilihan Raya Umum 2008 iaitu menumbangkan BN.

''Tetapi apabila kuasa sudah dimiliki, maka parti-parti PKR dan DAP mulalah tunjuk belang, Pas seolah-olah dipinggirkan dan diperalatkan ketika pilihan raya sahaja,'' kata seorang penyokong Pas dari Kedah kepada penulis.

Sebenarnya, sama ada hendak diakui atau tidak tindakan bekerjasama dengan PKR dan DAP telah memungkinkan Pas dilihat tidak konsisten dalam perjuangannya.

Ia kerana parti itu dilihat sanggup menggadaikan prinsip perjuangannya demi meraih kuasa bersama-sama dengan PKR dan DAP. Apa yang ditentang oleh parti-parti itu terhadap sesetengah dasar Pas, sekarang seolah-olah dipatuhi oleh Pas.

''Segalanya kerana hendak menjadi hati kawan dan tindakan ini tidak menguntungkan Pas, sebaliknya orang semakin keliru apa sebenarnya yang hendak Pas perjuangkan. ''Sebagai pemimpin Pas di peringkat akar umbi, susah juga kami hendak menjawab apabila soalan ini ditanya oleh rakyat,'' kata seorang pemimpin Pas di peringkat cawangan.

Selain kerjasama dengan PKR dan DAP yang dikatakan mengelirukan rakyat terutamanya orang Melayu, turut menjadi persoalan ialah pendirian Pas mengenai perjuangan berkaitan kaum Melayu. Persoalan ini wujud kerana ketika mula-mula bekerjasama dengan PKR dan DAP, Pas dilihat begitu takut untuk bercakap soal perjuangan Melayu.

Malahan segala usaha bagi memungkinkan mereka berunding dengan UMNO berhubung perpaduan Melayu dan kepentingan umat Islam menemui jalan buntu. Keadaan itu wujud kerana Pas menguar-uarkan, mereka berjuang untuk semua kaum sehingga bersedia menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang dikhaskan untuk bukan Melayu.

Tetapi secara tiba-tiba dalam tempoh sebulan lalu, Pas mula bercakap soal pentingnya menjaga kepentingan Melayu dan tanpa segan silu menegaskan hak-hak istimewa Melayu perlu dimartabatkan. Dan dalam usaha memberikan gambaran terhadap pendirian Pas itu, Abdul Hadi ketika berucap di Dewan Rakyat juga mendakwa hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan pada masa ini dinodai 'fanatik kepartian' UMNO.

Presiden Pas itu mendakwa, hak itu hanya berlegar dan dirasai kelompok parti pemerintah sahaja dan rakyat selainnya tidak merasai keistimewaan yang dijanjikan Perlembagaan itu.

"Apa yang merisaukan kita, hak istimewa ini tidak dijaga dengan baik menyebabkan fanatik kepartian berlaku. Yang dipentingkan adalah bumiputera yang menyokong UMNO, yang sokong parti pemerintah di Sabah dan Sarawak, kemudian ditambah lagi kroni-kroni pemimpin tertentu.

Itulah dakwaan Abdul Hadi, tetapi apa yang tidak mahu dilihat oleh Pas ialah sejauh manakah perjuangan Melayu yang dibawa oleh UMNO melalui BN telah memungkinkan orang Melayu sekarang sudah mampu 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain.'' Malahan berikutan ketegasan UMNO mempertahankan hak-hak orang Melayulah, ia memungkinkan semua orang Melayu termasuk di kalangan penyokong Pas sendiri merasai nikmatnya.

Tetapi demi politik, kepimpinan Pas cuba menafikannya dan lidah rasmi mereka menguar-uarkan kenyataan pemimpin-pemimpin parti itu agar orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO sebaliknya menyokong Pas sebagai parti induk Melayu. Apa yang anehnya, sebelum ini Pas cuba mengelak soalan untuk orang Melayu. Apa yang sering mereka tegaskan ialah perjuangan untuk semua kaum sehingga ada pemimpin mereka yang sanggup menyatakan tidak bangga menjadi Melayu.

Oleh itu, apabila Pas sejak kebelakangan ini mula bercakap soal perjuangan Melayu, maka ia sudah tentu menimbulkan persoalan apakah ia benar-benar ikhlas atau sekadar meraih kembali undi yang semakin hilang di dalam genggaman. Pas amat memahami PKR dan DAP tidak akan memberikan mereka bertanding di kawasan selamat, sebaliknya mahu tidak mahu Pas perlu bertahan di kawasan yang pernah ditandingi dan ini tentulah melibatkan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Tetapi disebabkan sikap tidak konsisten mereka dalam perjuangan orang Melayu, maka bahaya yang menanti ialah mereka akan kehilangan sokongan kelompok berkenaan. Ia sudah berlaku di Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Jumlah undi yang diperoleh calon Pas sudah jelas membuktikan bahawa parti berkenaan mampu mengekalkan sokongan di kalangan penyokong tegar mereka sahaja tetapi pengundi Melayu atas pagar sudah kembali menyokong UMNO dan BN.

Lihat sahaja di Galas, jika pada tahun 2008 mereka mendapat 4,339 undi tetapi dalam pilihan raya kecil itu Pas hanya mendapat 4,134 undi. Begitu juga di Tenang, undi Pas merosot daripada 3,875 undi pada tahun 2008 kepada 2,992. Trend yang sama berlaku di Merlimau apabila Pas meraih 2,319 undi berbanding 2,877 undi pada tahun 2008, manakala di Kerdau pula, jika pada tahun 2008 mereka memperoleh 2,520 undi tetapi dalam pilihan raya kecil lalu turun kepada 2,336.

Fakta-fakta inilah sebenarnya merimaskan kepimpinan Pas sehingga mereka cemas dalam mengatur strategi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Tetapi Pas tidak akan mendapat apa-apa jika mereka tidak mahu bermuhasabah sebaliknya semakin gelabah menyalahkan UMNO dan BN terhadap kemerosotan sokongan yang dialami.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Ulasan