Jumaat, 11 Mac 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Dataran Tioman pelengkap keindahan

Posted:

Dataran Tioman pelengkap keindahan

Dataran Tioman pelengkap keindahan

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


Melakukan aktiviti snorkling melihat pelbagai jenis ikan memang mengasyikkan di Pulau Tioman. - utusan/Mahathir Ali


TIOMAN 11 Mac - Keindahan Pulau Tioman sebagai sebuah pusat pelancongan yang terkenal rasanya tidak perlu dicanang-canang lagi kerana umum mengetahui keindahan panorama semulajadi di pulau berkenaan.

Malah, pulau yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang itu pernah mencatat sejarahnya tersendiri apabila disenaraikan dalam majalah Times pada tahun 1970-an antara 10 pulau tercantik di dunia.

Pulau yang sememangnya terkenal di kalangan peminat sukan menyelam itu memiliki keluasan 39 kilometer (km) panjang dan 12 km lebar.

Kedudukannya berhampiran dengan beberapa buah pulau kecil seperti Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Dayang, Pulau Pinang dan Pulau Tulai.

Di pulau berkenaan terdapat beberapa kampung seperti Tekek, Paya, Juara, Air Batang, Salang, Mukut, Genting dan Nipah. Hanya Kampung Juara yang menghadap Laut China Selatan manakala perkampungan lain menghadap Semenanjung Malaysia.

Faktor itu menjadikan Kampung Juara antara lokasi yang tepat untuk dikunjungi sekiranya anda ke Pulau Tioman.

Ini kerana, keindahan laut di kampung berkenaan cukup berbeza jika dibandingkan dengan kampung lain iaitu cantik dan cukup mempesonakan.

Bagaimanapun, bagi menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong ke sana, sebuah dataran dibina dan siap sepenuhnya pada Disember lalu dengan diberi nama Dataran Tioman.

Dataran Tioman yang terletak di Tekek berperanan sebagai mercu tanda pulau berkenaan dengan megah berdiri sebuah replika burung tiung.

Bersebelahan replika tersebut dilengkapi sebuah pentas khas dan bilik persalinan bagi memudahkan perjalanan sesuatu acara yang bakal dianjurkan di situ kelak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd, Johari Hussain, pembinaan mercu tanda Tioman dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Pelancongan bagi menaik taraf kawasan persekitarannya.

"Dataran Tioman mampu memuatkan pengunjung seramai 500 orang dalam satu-satu masa dibina bersebelahan Taman Laut.

"Selain itu, persiar kaki sejauh dua kilometer berhampiran taman berkenaan juga dinaik taraf bagi kemudahan pengunjung pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di dataran berkenaan di Tekek di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pemilihan burung tiung sebagai replika Dataran Tioman merupakan simbolik di sebalik legenda asal usul nama pulau berkenaan.

"Menurut legenda masyarakat dulu-dulu, tioman bermaksud tiung saya. Justeru, pemilihan burung tiung dilihat cukup sinonim dengan masyarakat," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perlu elak isu remeh-temeh

Posted:

Perlu elak isu remeh-temeh

Perlu elak isu remeh-temeh

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


MOHAMAD Shahrom (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM14,000 kepada Tan Kok Ong di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 11 Mac – Masyarakat pelbagai kaum di kawasan kampung baru di daerah ini perlu bersatu dan mengelakkan segala isu remeh-temeh yang dibangkitkan pihak tertentu untuk merosakkan perpaduan.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, penduduk di daerah ini tidak perlu tunduk dengan dakyah pihak berkenaan yang boleh meretakkan perpaduan serta membantutkan pembangunan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara didiami masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, Malaysia menjadi contoh di peringkat antarabangsa dalam mengamalkan gaya hidup harmoni dan bertoleransi.

''Oleh itu, nilai perpaduan mesti bermula di rumah, pendidikan di sekolah dan dijalin menerusi program kemasyarakatan di peringkat jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung.

''Perpaduan boleh dimantapkan dengan syarat setiap rakyat terutama pemimpin politik, JKKK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Semua pihak saling bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan keamanan serta perpaduan yang dizahirkan hari ini kekal selamanya," ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan dengan anggota JKKK dan penduduk Kampung Baru Padang Tengku, dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Mohamad Shahrom menyampaikan dana sebanyak RM14,000 kepada Ketua Kampung Baru Padang Tengku, Tan Kok Ong untuk perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program sepanjang tahun.

Turut menerima sumbangan hamper makanan daripada Mohamad Shahrom ialah seramai 20 warga emas, ibu tunggal dan penduduk miskin Kampung Baru Padang Tengku.

Terdahulu, Mohamad Shahrom mengadakan lawatan ke Kampung Baru Jerkoh, Benta dekat sini dan menyampaikan peruntukan bernilai RM7,500 kepada JKKK berkenaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Menurut Mohamad Shahrom, kejayaan negara dalam sektor ekonomi dan pendidikan jauh berbeza dengan negara membangun lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

Justeru, katanya, kesepakatan dan perpaduan antara kaum merupakan acuan utama membolehkan kerajaan bergerak di landasan betul untuk melaksanakan pembangunan demi keselesaan rakyat.

Jelas beliau, ada negara yang penduduknya hanya terdiri daripada satu kaum tetapi gagal mengekalkan keamanan kerana perpaduan rakyatnya yang rapuh.

''Sebab itulah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan konsep 1Malaysia kerana beliau mengharapkan rakyat saling bekerjasama," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Shahrom meminta semua JKKK kampung baru di daerah ini mengadakan lebih banyak program yang boleh merapatkan perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum di sesebuah tempat.

Kerajaan negeri, ujarnya, menyediakan peruntukan yang besar untuk membiayai pengurusan dan pentadbiran JKKK, bantuan kebajikan serta melaksanakan projek kemudahan asas yang boleh memberikan keselesaan penduduk.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nelayan hilang selepas terjun ke sungai

Posted:

Nelayan hilang selepas terjun ke sungai

Nelayan hilang selepas terjun ke sungai


Zainur Zakaria menunjukkan lokasi mangsa hanyut dibawa arus sungai di Kampung Tanjung Punai, Kuantan, semalam.


KUANTAN 11 Mac - Gara-gara panik dengan kehadiran anggota polis, seorang nelayan dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai kerana cuba melarikan diri di Sungai Kuantan Kampung Tanjung Punai di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai penagih dadah berusia lingkungan 30-an hilang dibawa arus deras sungai berkenaan.

Berikutan itu, satu gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Kuantan untuk mengesan mangsa di sungai tersebut.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat daerah, Mohd. Zaki Mokhtarmin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.33 tengah hari sebelum tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Menurut beliau, operasi mencari dimulakan kira-kira pukul 1 petang sebelum berhenti selama setengah jam kerana hujan lebat dan air pasang.

"Cuaca hujan menyulitkan operasi menyelamat dan setakat ini seramai 10 anggota dan seorang pegawai selain sebuah bot dan satu jentera terlibat dalam usaha itu.

"Jika mangsa masih tidak ditemui, kita akan memperluaskan pencarian sehingga ke Pantai Sepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd. Zaki berkata, pihaknya juga akan menghentikan operasi itu jika masih belum ditemui lewat petang ini namun ia akan disambung pukul 8 pagi esok.

Sementara itu, seorang saksi, Zainur Zakaria, 50 memberitahu, dia ternampak mangsa terkapai-kapai kira-kira 15 minit sebelum tenggelam dan hilang daripada pandangan.

Menurutnya, dia terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa yang berasal dari Kuala Besut.

Seorang lagi penduduk, Tengku Mastura Tengku Bakri, 33, berkata, dia sempat berbual-bual dengan mangsa sebelum melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis di perkampungan setinggan itu.

Menurutnya, mangsa menyatakan ingin ke laut tetapi tidak menyangka berlaku insiden tersebut.

"Mangsa sudah saya kenali sejak remaja lagi dan dia tinggal di sini seorang diri. Mungkin mangsa mengalami kekejangan kaki kerana dia pandai berenang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan