Jumaat, 11 Mac 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Premium insurans tak masuk akal

Posted:

Premium insurans tak masuk akal

Premium insurans tak masuk akal

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac - Penyokong kerajaan dan pembangkang hari ini 'bersatu' menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.

Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.

''Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.

''Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.

''Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini," katanya.

Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.

''Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.

Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.

''Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.

''Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini," katanya.

Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.

''Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.

Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Premium tambahan sehingga 150 peratus 'sakitkan' pengguna

Posted:

Premium tambahan sehingga 150 peratus 'sakitkan' pengguna

Premium tambahan sehingga 150 peratus 'sakitkan' pengguna

Oleh raja syahrir abu bakar
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac - Selain kadar premium insurans pihak ketiga yang perlu dibayar, pemilik kenderaan kini terpaksa menanggung beban berikutan kadar premium tambahan (loading) 'menyakitkan' yang dikenakan oleh syarikat penyedia insurans.

Manakan tidak, kadar premium tambahan itu boleh mencecah sehingga 150 peratus daripada caruman premium biasa pengguna dan lebih tidak adil, ia dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Sumber Utusan Malaysia memberitahu, akibat 'kebenaran' bank induk itu, syarikat insurans bebas meletakkan kadar premium yang berbeza tetapi dihadkan sehingga 150 peratus.

Sebagai contoh katanya, seorang pengguna yang membayar premium insurans pihak ketiga pada kadar RM72 setahun sebenarnya perlu membayar sehingga RM180 setahun akibat beban tambahan tersebut.

"Itu bagi kereta lama berusia 15 tahun yang berkapasiti rendah seperti di bawah 1,000 cc. Bagi 1,500 cc ke atas pula ia mencecah sehingga RM337.50 setahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang gesaan beberapa ahli Parlimen yang meminta supaya Kementerian Kewangan dan BNM mengkaji semula kadar premium insurans pihak ketiga ke atas pengguna yang disifatkan terlalu tinggi sejak dua tahun lalu.

Sumber itu menambah, pemilik kenderaan berusia 15 tahun ke atas pula berhadapan masalah lain apabila syarikat insurans tidak membenarkan mereka mengambil premium insurans pihak ketiga.

Katanya, pemilik berkenaan perlu merujuk kepada 'Malaysian Motor Insurance Pool' (MMIP) bagi mendapatkan perlindungan insurans.

"Selain kadar berbeza yang ditetapkan MMIP, kenderaan yang berusia lebih 15 tahun itu juga perlu diperiksa oleh Puspakom Sdn. Bhd. dan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM60, jadi semuanya duit," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Aliran keluar RM135.3 bilion

Posted:

Aliran keluar RM135.3 bilion

Aliran keluar RM135.3 bilion

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mencatatkan kesalahan dan ketinggalan (E&O) aliran keluar kewangan RM135.3 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

Perdana Menteri berkata, E&O akan ada di dalam imbangan pembayaran memandangkan jumlah urus niaga negara yang amat besar dengan dunia luar di samping ketiadaan data untuk barangan tertentu disebabkan oleh kesalahan perangkaan atau pindahan dana yang tidak direkodkan.

"Jumlah E&O ini mencakupi kurang dua peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dan dalam lingkungan lima peratus daripada jumlah perdagangan mengikut standard yang diterima.

"Selain percanggahan perangkaan yang benar-benar berlaku, E&O juga mungkin mencerminkan aliran kewangan tidak direkodkan yang dijalankan melalui saluran tidak formal, yang mungkin termasuk dana berpunca daripada aktiviti haram," katanya melalui jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagaimanapun, data urus niaga ekonomi dan kewangan Malaysia dengan dunia luar dirangkum dalam perangkaan imbangan pembayaran yang disusun mengikut metodologi seperti disarankan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kit Siang dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah yang diambil mengenai laporan Integriti Kewangan Sedunia (GFI) bahawa Malaysia mengalami aliran keluar kewangan haram dalam lingkungan RM888 bilion yang disebabkan oleh rasuah dan salah urus di antara tahun 2000 dan 2008.

Perdana Menteri menambah, menyedari jumlah aliran keluar dana tidak direkodkan semakin meningkat, Bank Negara Malaysia telah menjalankan siasatan mengenai pindahan dana secara haram oleh pengurup wang.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 50 lesen pengurup wang dibatalkan dengan lapan pengurup wang serta pengarahnya didakwa di mahkamah dan didapati bersalah.

"Kerjasama antarabangsa dan perkongsian maklumat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang asing bagi tujuan perkongsian hasil risikan dan bukti bagi transaksi merentas sempadan juga dipertingkatkan.

"Beberapa rakan sejawat asing telah bekerjasama dalam pengawasan dan tindakan bersama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan bagi menjejaki destinasi terakhir dana haram berkenaan.

"Pada masa sama, kerajaan juga telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tertinggi untuk terus menyiasat perkara itu," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, rangka tindakan dan kerja undang-undang baru untuk industri pengurupan serta pengiriman wang akan dilaksanakan tahun ini untuk memupuk pembangunan industri yang kukuh, menggalakkan standard tadbir urus dan amalan profesional baik demi melindungi integriti industri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka serta sistem kewangan liberal dengan sektor perniagaan dan isi rumahnya dapat menjalankan pelbagai urus niaga merentas sempadan.

"Jumlah perdagangan Malaysia pada 2010 adalah sebanyak RM1.17 trilion iaitu bersamaan 153 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sistem ini didukung oleh undang-undang, peraturan dan kawal selia yang komprehensif sekali gus memberi keyakinan bagi menjalankan perniagaan di Malaysia," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan