Utusan Online - Muka Hadapan |
- 17.3j saman trafik disenarai hitam
- Tempoh bayar saman sudah lebih dari cukup
- Lagi insiden kerajaan Selangor belakangkan Sultan
17.3j saman trafik disenarai hitam Posted: 17.3j saman trafik disenarai hitamOleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 1 Mac - Sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pengguna kenderaan di seluruh negara akan disenaraihitamkan mulai hari ini. Tindakan itu diambil setelah tempoh yang diberikan untuk orang ramai membayar saman tersebut sejak Ogos tahun lalu, berakhir semalam. Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, jumlah itu adalah baki daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan oleh pihaknya atas pelbagai kesalahan sejak 2001 sehingga semalam. Menurutnya, daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan dalam tempoh 10 tahun itu, sebanyak 31.9 juta saman dibayar oleh pengguna kenderaan sehingga semalam. "Pengguna kenderaan yang belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini. "Pengguna yang enggan membayar saman tertunggak selepas tarikh semalam perlu bersedia menerima implikasi jika disenarai hitam. "Tempoh enam bulan sejak Ogos tahun lalu yang diberikan oleh kerajaan sebagai kelonggaran untuk pengguna yang mempunyai saman tertunggak menjelaskan saman mereka sudah memadai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. Semalam merupakan tarikh akhir yang diberikan oleh kerajaan kepada pesalah trafik untuk menjelaskan saman tertunggak mereka masing-masing sebelum dikenakan tindakan senarai hitam. Menurut Abdul Aziz, sepanjang tempoh pembayaran saman yang diumumkan kerajaan sejak Ogos lalu, sebanyak 5.5 juta saman dijelaskan oleh pengguna kenderaan. Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 1.5 juta saman diselesaikan pada minggu terakhir tempoh tersebut iaitu sepanjang minggu lalu mulai 21 Februari sehingga tengah malam tadi. Beliau memberitahu, pihaknya membuat anggaran sebanyak 187,417 saman dijelaskan sehari dalam seminggu sebelum tempoh itu tamat. "Jumlah ini menunjukkan peningkatan enam kali ganda daripada hari pembayaran biasa. "Semalam sahaja, sebanyak 375,248 saman berjaya dijelaskan sehingga pukul 12 tengah malam berikutan tarikh terakhir pembayaran sebelum tempoh menyenarai hitam dilaksanakan. "Situasi ini menunjukkan sikap segelintir masyarakat yang gemar menyelesaikan saman mereka pada saat-saat akhir," katanya. Ditanya mengenai pesalah trafik yang disenarai hitam, Abdul Aziz berkata, mereka akan menghadapi kesukaran antaranya untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan. Beliau juga berkata, berkuat kuasa hari ini, orang awam yang dikenakan saman baru akan disenarai hitam jika gagal membayar saman tersebut dalam tempoh dua bulan. "Ia akan berlaku secara automatik dalam sistem jadi bila disenarai hitam, seseorang itu tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka," katanya. Mengenai aduan orang ramai yang sukar membayar saman berikutan sistem tergendala semalam, beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada penggunaan yang terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh sistem. | ||
Tempoh bayar saman sudah lebih dari cukup Posted: Tempoh bayar saman sudah lebih dari cukupKUALA LUMPUR 1 Mac - Kaunter-kaunter pos yang sebelum ini sesak dengan kehadiran orang ramai yang mahu melunaskan saman kembali lengang setelah tempoh membayar saman yang diberi hingga semalam, berakhir. Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pejabat pos di sini mendapati pelanggan tidak perlu lagi beratur panjang dan bersesak-sesak di dalam pejabat pos untuk melakukan sebarang urusan. Seorang pelanggan, Mohd. Husin Abu Bakar, 39, berkata, tarikh yang diberi kepada pesalah lalu lintas untuk melunaskan saman selama ini sudah lebih daripada mencukupi dan tidak perlu dipanjangkan tempoh pembayaran tersebut. "Tidak perlu ditambah tempoh pembayaran itu. Sepatutnya mereka yang disaman sedar kesan yang akan diterima sekiranya mereka menangguhkan pembayaran saman. "Pada pandangan saya tempoh dua bulan yang diberi itu sudah mencukupi untuk melangsaikan saman," kata Mohd. Husin yang merupakan seorang peguam ketika ditemui di sini hari ini. Tambahnya, orang ramai tidak harus mempersalahkan kerajaan yang selama ini telah memberi banyak peluang kepada mereka untuk melunaskan saman. "Ia memudahkan semua pihak sekiranya pesalah lalu lintas segera melunaskan saman yang diterima. Buat-buat lupa bahawa mereka telah disaman itulah punca kepada masalah yang timbul ini," katanya. Suri rumah, Hafizah Jusoh, 50, pula berkata, sikap sesetengah orang yang suka berlengah untuk melakukan sesuatu perkara menjadi punca kepada masalah yang dihadapi itu. Katanya, jika selama ini masyarakat mempunyai kesedaran akan pentingnya melunaskan saman, sudah tentu tidak timbul masalah akibat kelewatan membayar saman tersebut. "Biasalah orang kita, jika belum sampai saat terakhir jangan harap nak buat kerja. Sama juga dalam membayar saman, bila kerajaan umum mahu senarai hitam mereka yang tidak membayar saman baru berebut-rebut nak melangsaikannya. "Ini merupakan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melengahkan lagi membayar saman yang diterima pada masa depan," katanya. Seorang pelajar, Hong Tuck Cho, 21, berkata, walaupun kerajaan mahu menyenaraihitamkan pesalah lalu lintas yang tidak membayar saman sebagai sesuatu yang baik, dia berharap tempoh tersebut dilanjutkan. "Tempoh tersebut harus dilanjutkan lagi kerana kita dapat lihat beberapa hari lepas orang ramai menyerbu pejabat pos dan balai polis untuk melunaskan saman. "Saya yakin sekiranya dilanjutkan tempoh sekurang-kurangnya hingga minggu depan dapat meringankan beban orang ramai yang tidak sempat membayar saman semalam," ujarnya. Dalam pada itu, Samad Busakan, 24, pekerja swasta berkata, tindakan pihak polis membuka kaunter pembayaran hingga tengah malam tidak berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai. "Kita bersyukur kaunter dibuka hingga tengah malam, tetapi diharap tempoh membayar saman dilanjutkan lagi supaya pesalah lalu lintas berpeluang melunaskan saman dengan segera," katanya. | ||
Lagi insiden kerajaan Selangor belakangkan Sultan Posted: Lagi insiden kerajaan Selangor belakangkan SultanOleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 1 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan perlembagaan Universiti Selangor (Unisel) yang menetapkan pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda. Dalam perlembagaan Unisel, titah baginda, dinyatakan dengan jelas bahawa canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda. "Justeru adalah tanggungjawab beta untuk menggunakan segala kebijaksanaan beta untuk memilih mereka yang beta percayai, sesuai dan berpotensi untuk mewakili beta menerajui Unisel ke arah kemajuan serta kecemerlangan. ''Oleh yang demikian, beta berkenan menitahkan kepada seluruh rakyat Selangor agar perkara ini tidak disalahertikan dan dipolitikkan," titah baginda. Baginda bertitah pada majlis penyerahan watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi. Pada 14 Februari lalu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Raja Arshad sebagai Canselor Unisel menggantikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menamatkan khidmatnya pada 5 Februari lalu. Tindakan Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad yang juga Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd. itu dilihat seolah-olah membelakangi bidang kuasa Sultan Selangor dalam soal itu. Ini kerana, meskipun pemilihan Raja Arshad telah mendapat perkenan Sultan Selangor, pelantikannya harus dibuat oleh baginda berdasarkan perlembagaan Unisel. Dalam pada itu, baginda mengingatkan Unisel supaya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian yang akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak kepada universiti itu. Titah baginda, penglibatan Unisel dalam politik kepartian hanya akan menimbulkan banyak masalah, malah merugikan universiti yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sejak 1999. ''Para ibu bapa juga akan merasa ragu-ragu untuk membenarkan anak mereka melanjutkan pelajaran di universiti ini. Beta tidak mahu perkara seumpama itu terjadi kepada Unisel kerana aset utama sesebuah universiti ialah pelajar-pelajarnya," titahnya. Pada masa sama, baginda meminta kepimpinan tertinggi Unisel menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa, selain mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi. Baginda juga mahu Unisel menumpukan kepada sukatan mata pelajaran terasnya untuk menghasilkan graduan berkualiti dalam bidang berkaitan perindustrian memandangkan Selangor merupakan negeri pertama yang mempunyai pembangunan industri pesat. ''Oleh itu, keperluan untuk melengkapkan industri-industri ini adalah penting. ''Maka, tugas Unisel untuk mengeluarkan graduan-graduan yang berkaliber adalah penting bagi memajukan lagi industri di Selangor, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi negeri ini," titah baginda. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan