Jumaat, 18 Mac 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Taman rekreasi Seksyen 7 kotor

Posted:

Taman rekreasi Seksyen 7 kotor

Taman rekreasi Seksyen 7 kotor

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
kota@utusan.com.my


BUNGKUSAN makanan adalah sampah yang paling banyak dilihat di tasik Taman Rekreasi Seksyen 7 Shah Alam yang menunjukkan pengunjung adalah punca tasik itu dipenuhi sampah


SHAH ALAM 17 Mac - Bau busuk dan pemandangan yang tidak menyenangkan menghantui pengunjung sebuah taman rekreasi di Seksyen 7 di sini.

Ini berikutan tasik yang terdapat di taman rekreasi itu kini dicemari dengan sampah-sarap yang menyakitkan mata.

Seorang pengunjung, Muhammad Muaz Dahari, 28, berkata, dia kecewa kerana taman rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk setempat itu kini tidak terjaga.

Malah, katanya, pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab melakukan kerja-kerja pembersihan dengan segera.

"Sebelum ini, kawasan rekreasi ini berada dalam keadaan bersih dan menenangkan tetapi sejak kebelakangan ini terutama selepas hujan, keadaan bertambah teruk.

"Sepatutnya PBT perlu memberi tumpuan terhadap tahap kebersihan di kawasan ini kerana ia menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk beriadah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Yellamalai Palasamy, 58, pula menyalahkan sikap pengunjung yang bersikap sambil lewa dan tidak menjaga kebersihan kemudahan awam bersama.

"Tahap kebersihan di taman rekreasi ini yang tidak memuaskan jelas membuktikan kurangnya kesedaran sivik di kalangan rakyat negara ini.

"Walaupun majoriti rakyat negara telah diberi pendidikan yang baik, namun kesedaran sivik mereka masih berada pada tahap yang rendah," tegas pesara kerajaan itu.

Penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universi Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Taqiyuddin Yusof, 23, pula berkata, sepatutnya tidak timbul soal tahap kebersihan tidak memuaskan memandangkan status negara ini sebagai negara yang pesat membangun.

Remaja yang berasal dari Kuantan, Pahang itu turut menuding jari kepada kontraktor yang dilantik PBT kerana didapati gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Saya kecewa kerana setiap kali melihat keadaan taman rekreasi ini yang dipenuhi sampah serta mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan.

"Cara kontraktor yang bertanggungjawab terhadap tahap kebersihan di taman rekreasi ini juga boleh dipertikaikan kerana mereka jelas terbukti gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik," jelasnya.

Seorang lagi pengunjung, Asmawi Ahmad, 35, berkata, walaupun taman rekreasi itu berada dalam keadaan jijik dan kotor, tetapi ia tetap dikunjungi oleh orang ramai kerana lokasinya yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan mereka.

"Saya harap pihak bertanggungjawab dapat bertindak supaya taman rekreasi ini dapat kembali bersih dan menenangkan seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di taman rekreasi itu mendapati, selepas waktu hujan, sampah yang memenuhi tasik berkenaan melimpah keluar ke kawasan tebing.

Keadaan menjadi bertambah teruk apabila pihak berkuasa tempatan gagal membersihkan sampah itu dengan segera hingga ia mengeluarkan bau busuk.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peluang naik belon udara

Posted:

Peluang naik belon udara

Peluang naik belon udara


PELBAGAI reka bentuk belon udara memenuhi ruang udara Putrajaya sempena Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang bermula semalam sehingga Ahad ini.


PUTRAJAYA 17 Mac - Orang ramai berpeluang menyaksikan pemandangan menarik penuh warna-warni di ruang udara di sini sempena Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang berlangsung di tapak Monumen Alaf Baru, Presint 2 bermula hari ini sehingga 20 Mac depan.

Program anjuran Malaysian Sport Aviation Federation (MSAF) dan AKA Balloon Sdn. Bhd., dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu padat dengan pelbagai aktiviti bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati dan menyertainya.

Pengerusi Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, Khairudin Abdul Rani berkata, pesta itu mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Kami menyasarkan kehadiran pengunjung kira-kira 300,000 orang iaitu menyamai rekod pengunjung pada tahun lalu," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian fiesta tersebut di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hadir merasmikan fiesta tersebut dan seterusnya merasai pengalaman menaiki belon udara panas.

Menurut Khairudin, penganjuran kali ini berjaya menarik minat empat negara baru untuk menghantar belon udara panas mereka iaitu Vietnam, Hong Kong, India dan juga Thailand.

Selain itu, katanya, sebanyak 27 belon udara panas daripada 14 buah negara yang dihiasi dengan pelbagai corak dan bentuk akan mewarnai ruang udara di sini.

Peluang menaiki belon udara panas terbahagi kepada dua sesi iaitu pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 6 petang hingga 9 malam sepanjang tempoh empat hari pesta itu berlangsung.

"Pengunjung yang hadir boleh menaiki belon udara panas yang diikat secara turun dan naik dengan kadar bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

"Saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang datang ke sini bersama keluarga untuk menikmati keseronokan menyaksikan belon udara panas dan merasai sendiri pengalaman menaikinya," katanya.

Tambahnya, antara program lain yang diadakan adalah pertunjukan paramotor, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan menghasilkan kapal terbang kertas dan bazar jualan.

Khairudin berkata, acara kemuncak pesta tersebut ialah aktiviti Night Glow pada hari Sabtu bermula 8.30 malam.

"Menerusi aktiviti itu, belon udara panas akan berlepas mengikut arahan berkod, seterusnya juruterbang akan mencipta pelbagai kesan mengagumkan melalui tiga arahan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Disaran kembali ke estet

Posted:

Disaran kembali ke estet

Disaran kembali ke estet

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Mac – Masyarakat India di ibu kota yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM300 sebulan disaran kembali tinggal dan bekerja di estet.

Ini kerana, dengan pendapatan sebanyak itu, mereka akan terus berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan (gambar) berkata, kumpulan itu perlu melihat semula estet sebagai alternatif.

Menurutnya, estet-estet khususnya syarikat milik kerajaan seperti Sime Darby menjanjikan pendapatan yang lebih baik dan kemudahan yang lebih banyak untuk mereka.

"Di sana (estet), mereka akan diberi kerja dengan pendapatan RM700 sebulan, di samping boleh menikmati pelbagai kemudahan lain seperti rumah percuma, pengangkutan bas percuma untuk anak-anak ke sekolah dan kos sara hidup yang rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di pejabatnya di sini hari ini.

Saravanan berkata, sebelum ini, ramai di kalangan kaum tersebut yang salah faham apabila disaran berpindah ke estet.

"Bukan semua digalakkan berpindah tetapi kepada mereka yang tidak mampu untuk meneruskan kehidupan di bandar raya ini," jelasnya.

Katanya, apabila tinggal di sana, mereka boleh keluar daripada garis kemiskinan, seterusnya membina kehidupan yang selesa.

"Perkara ini harus dipandang serius dan langkah berpindah semula ke estet mungkin jalan yang terbaik buat mereka," katanya.

Saravanan berkata, bagaimana mereka boleh meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur jika sewa rumah pun tidak mampu dibayar.

"Setiap minggu penduduk akan berjumpa dengan saya untuk mengadukan masalah dan rata-rata mengadu yang mereka tidak mampu membayar sewa rumah.

"Ada di antara mereka ini mempunyai tunggakan sehingga RM6,000 atau bersamaan tiga atau empat tahun tidak membayar sewa rumah," katanya.

Ujarnya, dengan tunggakan tersebut, mereka akan ditamatkan penyewaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), walhal sewa bulanan hanya RM124 sahaja.

Beliau berkata, kebanyakan mereka juga adalah ibu tunggal yang hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita juga dapati, 60 peratus penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kalangan masyarakat India mempunyai tunggakan sewa antara RM4,000 hingga RM6,000," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan