Utusan Online - Kota |
Posted: Macam jalan dalam kuariOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR 4 Mac - Orang ramai yang melalui Jalan Kuari di Kampung Cheras Baru di sini pasti merungut ekoran keadaan permukaan jalan tersebut yang sangat teruk. Kata mereka, situasi seperti itu tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah jalan yang menjadi laluan utama kepada ratusan ribu penduduk. "Jalan ini betul-betul macam jalan di dalam kawasan kuari," kata pengguna jalan berkenaan. Kata mereka, tidak perlu memandu melalui jalan itu untuk merasainya kerana pandangan mata kasar sudah cukup untuk memberikan gambaran sebenar kedaifan jalan tersebut. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan tersebut sangat teruk dan membahayakan penggunanya. Permukaannya yang berlubang, berlopak besar dan juga beralun akan membuat pemandu seolah-olah seperti sedang menaiki sampan di laut bergelora apabila melaluinya. Memburukkan lagi keadaan, jalan tersebut juga dipenuhi dengan pasir dan berdebu dan keadaan itu ternyata sangat menggusarkan penunggang motosikal. Seorang pengguna, Asrul Jasni Othman, 28, berkata, dia tidak ingat sejak bila permukaan jalan yang teruk ini mula berlaku tetapi mengakui ia sudah berlarutan untuk satu jangka masa yang agak panjang. Katanya, walaupun keadaan jalan itu teruk, dia yang menunggang motosikal, tiada pilihan selain terpaksa juga menempuhnya setiap hari untuk berulang alik dari tempat kerja ke rumah. "Saya hairan mengapa jalan yang sebegini teruk masih belum diturap semula untuk keselesaan dan keselamatan pengguna. "Saya pasti ramai yang merungut tentang keadaan jalan ini dan mahu tindakan membaikinya dengan segera diambil," katanya. Katanya, walaupun jarak sepanjang permukaan jalan yang rosak itu tidak jauh, namun risiko tetap ada terutama kepada motosikal dan kenderaan kecil. Katanya, dia pernah hampir terjatuh akibat roda motosikalnya terjatuh ke dalam lubang ketika melalui jalan tersebut pada waktu malam. Seorang lagi pengguna, Saiful Nizam Rashid, 24, berkata, apabila mengekori kereta ketika melalui jalan itu, debu dan pasir akan berterbangan dan ia sangat membahayakan penunggang motosikal. "Saya berharap jalan ini segera diturap semula kerana orang ramai tidak sepatutnya berhadapan dengan risiko ketika menggunakan jalan ini. "Jarak jalan yang rosak ini tidaklah sejauh mana dan rasanya tidak sukar untuk pihak bertanggungjawab menurapnya," katanya. Dia berkata, sebelum ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku, tindakan segera sewajarnya diambil. Khalid Abd. Rahman, 26, pula berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya memandang serius perkara itu dan segera memperbaikinya. Katanya, selagi jalan tersebut tidak diturap, bukan sahaja orang ramai berdepan dengan risiko kemalangan, kenderaan juga mungkin mengalami kerosakan. "Kereta saya sudah beberapa kali termasuk ke dalam lubang di sini dan mengalami kerosakan pada rim dan tayar sedangkan perkara itu boleh dielakkan jika pihak berkuasa lebih peka," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Warga miskin terharu dapat makanan Posted: Warga miskin terharu dapat makanan
KUALA LUMPUR 4 Mac - "Perasaan saya ketika ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bersyukur dan terharu, itu saja yang mampu saya katakan untuk bantuan makanan ini." Itulah kata-kata seorang daripada penduduk miskin tegar, Mukarramah Mahmud, 27, yang menerima bantuan makanan daripada Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi). Pertiwi melalui Projek Dapur Mesra yang dilancarkan Mac tahun lalu menyediakan makanan percuma untuk diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik itu di beberapa kawasan di sekitar ibu kota. "Suami saya tidak mampu mendapatkan pekerjaan kerana statusnya sebagai bekas banduan menyukarkan dia diterima bekerja, lantas saya terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara suami. "Dengan pendapatan sehari hanya sekitar RM10 hingga RM20, bantuan seperti ini sudah cukup besar bagi golongan miskin seperti saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Menurut wanita itu, ketika menerima cahaya mata yang pertama, dia terpaksa menyerahkan anaknya itu kepada rumah kebajikan kerana kesempitan wang. "Akibat tidak mampu membesarkan anak, saya terpaksa menyerahkan bayi pertama saya kepada rumah kebajikan sementara anak kedua dijaga oleh ibu saya di Sarawak. "Perasaan rindu yang saya tanggung tidak dapat ditahan lagi. Saya tidak tahu bila baru dapat bertemu kembali dengan anak-anak saya," katanya. Tambahnya, dia berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan bantuan kepada golongan sepertinya yang diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Seorang lagi warga miskin, M. Selva, 38, berkata, makanan yang diterimanya melalui bantuan itu kadang kala merupakan makanan pertama yang dijamahnya pada minggu tersebut. "Terima kasih kepada Pertiwi kerana memikirkan dan prihatin kepada kami yang miskin ini. "Saya hanya boleh mengucapkan terima kasih dan berharapkan bantuan sebegini berterusan di masa hadapan," katanya yang hanya mampu menyara diri dengan menjual tin-tin kosong. Sementara itu, Pengarah Projek Dapur Pertiwi, Munirah Abdul Hamid berkata, bilangan golongan miskin tegar yang tinggi menyebabkan Pertiwi memulakan program tersebut bagi meringankan beban mereka. "Kami beroperasi empat hari dalam seminggu, bermula malam Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad di empat lokasi iaitu Chow Kit, Kompleks Dayabumi, Puduraya dan Masjid India. "Kami akan berada di setiap lokasi kira-kira 30 minit untuk mengagihkan kirakira 200 bungkus makanan kepada penduduk miskin," katanya. Menurutnya, program itu akan diteruskan selama yang mungkin kerana sambutan yang diterima daripada pelbagai pihak amat menggalakkan. "Syarikat-syarikat yang mahu menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah menyertai kami sebagai sukarelawan untuk membantu melicinkan perjalanan program ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Pasar jadi pusat pelupusanOleh ABDUL RAZAK IDRIS KLANG 4 Mac – Peniaga di Pasar Besar Klang di sini kesal dengan kegagalan pihak berkuasa menguruskan pasar itu dengan sempurna sehingga keadaan prasarananya kini dilihat semakin daif. Akibat kedaifannya itu, pasar itu menjadi tumpuan aktiviti pembuangan sampah oleh pihak luar termasuk lori-lori sampah yang mahu mengambil jalan mudah melupuskan sampah mereka. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pihak terbabit mengambil kesempatan membuang sampah-sarap termasuk bahan buangan basah di pasar itu kerana pasar itu boleh dimasuki pada bila-bila masa. Ia berpunca dari pintu pagar pasar itu yang sudah rosak dan tercabut manakala lampu di premis itu tidak menyala. Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Klang, Khairuddin Latif, 48, berkata, para peniaga yang terpaksa menanggung kos tambahan bagi melupuskan sampah yang dibuang oleh pihak luar itu. "Orang luar berani membuang sampah kerana pada waktu malam, kawasan pasar ini gelap," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Katanya, keadaan pasar yang semakin teruk itu turut menyumbangkan kepada kemerosotan jumlah pelanggan. Setiausaha persatuan tersebut, Abdul Rahim Razak, 47, pula memberitahu, semua pintu pagar di pasar itu sudah rosak menyebabkan lori dengan mudah memasuki kawasan pasar itu untuk membuang sampah. "Bahan buangan basah seperti bulu dan perut ayam dibuang ke dalam tong sampah besar kami sedangkan di pasar ini tiada peniaga yang memproses atau menyembelih ayam," katanya. Abdul Rahim berkata, ada pemandu lori sampah dari luar juga didakwa mengugut pengawal keselamatan pasar jika cuba menghalang mereka membuang sampah di situ. Katanya, masalah pembuangan sampah secara haram yang mencecah enam tan sehari itu menyebabkan kos melupus sampah kepada Alam Flora turut meningkat. "Kontraktor akan mengenakan bayaran sebanyak RM50 bagi satu tan sampah dan akibat sampah haram itu, kita perlu menambah sehingga RM300 sehari," katanya. Seorang peniaga, Rahmat Jamil, 43, pula kecewa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Abd. Rani Osman dan Majlis Perbandaran Klang yang gagal menyelesaikan masalah di pasar itu. "Jangan tunggu musim pilihan raya sahaja baru turun padang," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan