Selasa, 8 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


16 jam di atas kereta api

Posted:

16 jam di atas kereta api

16 jam di atas kereta api

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



KEPADA mereka yang obses dengan kereta api, mendengar rodanya bergerak di atas landasan sudah cukup untuk menghilangkan duka lara perasaan. Namun, ada suara-suara sumbang yang memperlekehkan kenderaan klasik itu.

Kata mereka, kereta api simbol kebosanan. Tidak kurang yang melontarkan persepsi bahawa kereta api adalah pengangkutan kelas ketiga dan tidak berdaya saing.

Penulis tidak peduli dengan semua cemuhan itu. Penulis cuba mengubah trend daripada menaiki kapal terbang kepada menaiki kereta api untuk melancong.

Syukur, impian menjelajah ke bumi Hat Yai, Thailand berjaya direalisasikan dengan bantuan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

Sebenarnya, penulis terlalu ingin merasai perasaan klasik menaiki kereta api yang pernah ditarik dengan kuda pada zaman kolonial.

Bersama sembilan rakan seperjuangan, kami berasa resah kerana terpaksa menempuh perjalanan selama 16 jam dari KL Sentral-Padang Besar-Hat Yai.


KETIBAAN penumpang kereta api disambut oleh wajah warga Hat Yai yang menunggu keluarga atau sahabat handai mereka.


Ya, memang laluan itu sangat panjang. Ia melalui 14 stesen kereta api menerusi Ekspres Senandung Langkawi sebelum sampai ke lokasi tujuan. Stesen KL Sentral pada 17 Februari lalu, hiruk-pikuk dengan manusia. Bila ditanya, masing-masing mengatakan sedang menunggu kereta api untuk ke utara. Rupa-rupanya masih ramai lagi yang cenderung menaiki kereta api.

Warna-warni perjalanan

Tepat pukul 9.15 malam, Ekspres Senandung Langkawi bersedia mengambil para penumpang. Penulis memegang tiket kelas pertama yang menyediakan sebuah bilik lengkap dengan katil dua tingkat, TV, meja tulis dan tempat mencuci tangan.

Kegelapan malam meskipun gagal merakam apa jua pemandangan membuka ruang kepada penulis berjalan dari kepala hingga hujung kereta api. Nampaknya, lebih ramai yang tidur daripada berjaga.

Kepada yang membawa anak kecil adakalanya kesabaran mereka teruji dek kenakalan si manja yang berlari ke hulu ke hilir. Ada juga wajah yang kelihatan masam mencuka. Barangkali dipaksa menaiki kereta api atau kegagalan mendapat tiket bas.

Bagi kebanyakan pelancong mat saleh pula, buku tetap menjadi taruhan di kala kereta api masih belum berhenti di destinasi.

Bagi penulis, menaiki kereta api kerap melahirkan ilham untuk menulis. Pelbagai gelagat yang ditonton, maka lebih mencurah-curahlah artikulasi itu hadir.

Seperkara yang unik menaiki kereta api ialah menikmati hidangan di kantin tren. Ya, makanan tidaklah berapa enak namun nilai kepada suasana gerabak sangat mahal bagi penulis.

Singgah di stesen

Kereta api singgah seketika di Stesen Keretapi Ipoh atau diberi jolokan sebagai Taj Mahal Ipoh untuk mengambil penumpang. Stesen itu memang memukau pandangan. Sempat juga penulis turun menjengah.


DI Hat Yai mencari rezeki di tepi stesen adalah satu pemandangan biasa.


Dibina oleh seorang arkitek bernama A.B Hubback pada 1914 dan siap pada 1917, ciri-ciri binaannya saling tidak tumpah dengan Stesen Keretapi KL yang berbentuk kubah dan berwarna putih.

Malam semakin larut. Sedar tidak sedar, perjalanan telah melewati Stesen Keretapi Taiping, Kuala Kangsar dan tiba di Bukit Mertajam. Laluan kereta api menjadi semakin perlahan apabila melalui Stesen Butterworth.

Kepada mereka yang berhasrat ke Bangkok, di sinilah perkhidmatan kereta api merentas sempadan antara Butterworth dan Bangkok beroperasi.

Bangkit nostalgia

Melewati pukul 7 pagi, penulis bangkit dan menjengah ke luar bagi menikmati panorama sawah padi yang menghijau. Sapaan bayu begitu menyenangkan.

Pada ketika embun pagi masih menyaluti bumi itu, kereta api akan melepasi hentian Kuala Kangsar-Taiping-Sungai Petani-Alor Star dan Arau.

Pemandangan tersebut cukup menyejukkan sanubari. Kanak-kanak sekolah memeluk erat pinggang bapa ketika menunggang motosikal sesekali melintas pandangan.

Burung-burung terbang di awangan namun kicauannya ditelan oleh bunyi bingit kereta api yang tidak menjengkelkan. Selang beberapa ketika, kelihatan pesawah-pesawah bersama lembu membajak bendang dengan penuh ketekunan.

Tiba di Stesen Arau yang dikhabarkan akan dirobohkan membangkitkan nostalgia penulis. Di sinilah, buat pertama kalinya penulis jatuh cinta dengan nasi kerabunya. Gerainya betul-betul terletak bersebelahan pejabat operasi stesen.

Berada di Thailand, waktunya satu jam lewat ke belakang. Sekitar pukul 10 pagi, penulis sampai ke Stesen Keretapi Padang Besar terletak di kawasan sempadan Perlis–Thailand. Kesemua penumpang turun untuk melepasi pemeriksaan pihak imigresen Thailand sebelum menaiki kereta api ke Hat Yai.


BINAAN Stesen Keretapi Ipoh yang diberi jolokan Taj Mahal Ipoh ini tidak banyak bezanya dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.


Sejam kemudian, kaki melangkah ke Stesen Keretapi Hat Yai yang merupakan satu-satunya stesen antarabangsa yang menghubungkan Thai Railway dan KTMB, milik Malaysia.

Stesen ini yang bersifat neoklasik dan konvensional menerima 28 buah kereta api penumpang setiap hari. Ia juga merupakan hab bagi kereta api tempatan di Selatan Thailand.

"Saya pasti awak terkejut dengan suasana di stesen ini, kalau awak nak tahu, gambarannya sama dengan wajah stesen ini sejak berpuluh tahun lamanya," beritahu salah seorang polis stesen yang barangkali mampu membaca riak wajah dan isi hati penulis yang sedikit kaget.

Proses memanggil menumpang di stesen kereta api itu masih menggunakan loceng besar adalah indikator jelas kepada kata-kata lelaki berpakaian seragam berkenaan.

Konfigurasi ruang stesen itu memang mempunyai perbezaan yang sangat ketara dengan Malaysia. Barangkali sesuatu yang agak sukar diterima apabila terdapat pasar mini di landasan kereta api.

Membudaya kereta api

Peniaga bebas berniaga di tepi gerabak. Ada yang menjual semata-mata air mineral, makanan ringan termasuk buah-buahan segar.

Thailand juga merupakan antara negara utama yang membudayakan pengangkutan kereta api. Mereka sangat sayang kepada pengangkutan itu. Sebuah muzium mini menempatkan khazanah kereta api lama yang mempunyai tempat duduknya diperbuat daripada papan dipamerkan di sebuah landasan khas di stesen itu.

Pengurusan rel di Hat Yai boleh diberi tabik hormat. Polis stesen yang sentiasa berjaga 24 jam dan bersedia menjawab pertanyaan anda. Begitu juga dengan tukang sapu sampah yang sentiasa memastikan tiada sampah yang dibuang merata-rata di persekitaran landasan.

Untuk pulang semula ke tanah air, penulis masih memilih kereta api walau mempunyai opsyen menaiki kapal terbang. Ya, pergerakannya perlahan dan boleh menyesakkan batin tapi kepada yang benar-benar meminatinya, ia satu pengalaman yang cukup memuaskan.

Walaupun tidak menaiki kereta api Glacier Express dari St. Moritz ke Zermatt di Switzerland, penulis berasa cukup gembira.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Little Paris Selatan Thai

Posted:

Little Paris Selatan Thai

Little Paris Selatan Thai


BEBOLA makanan laut dan sotong bakar antara makanan yang harus dicuba.


HAT YAI selalu disalah erti sebagai ibu kota wilayah Songkla, Thailand. Hakikatnya, ia merupakan sebuah bandar raya dan kawasan metropolis yang terbesar di wilayah Selatan Thailand.

Nama Hat Yai diambil sempena sebatang pokok. Populasinya menjangkau seramai 157,316 orang dan 80 peratus penduduknya adalah beragama Islam.

Backpackers lazimnya suka singgah di wilayah ini kerana banyak hotel bajet yang menawarkan harga semurah RM50 semalam.

Satu perkara baru yang dipelajari semasa berkunjung di Hat Yai ialah rakyat negara gajah putih itu sangat menyayangi raja mereka. Buktinya, di setiap 100 meter perjalanan, terpampang papan iklan gambar Raja Bhumibol Adulyadej.

Berbual dengan salah seorang penduduk tetap yang dikenali sebagai Amid, 35, yang juga pemandu tuk tuk, sudah mengagak penulis adalah orang Malaysia.

"Pelancong di Hat Yai ramai orang Malaysia, sekali-sekala saja nampak orang putih.

"Orang kata Hat Yai syurga membeli pakaian buatan Thailand dan yang diimport dari China dari pagi hingga ke malam, ia memang benar," katanya yang boleh bertutur bahasa Melayu dan memberitahu lokasi-lokasi wajib dikunjungi.

Antara lokasi tersebut adalah Expo Department Store, Lee Garden Plaza, Central Department Store, Kompleks Pink Lady, Robinson Department Store termasuklah kedai-kedai jalanan di Jalan Niphat Uthit 2, Jalan Niphat Uthit 3 dan Jalan Sanehanuson.


MINYAK diisi secara manual adalah satu pemandangan biasa.


Jadi tidak salah kalau ada yang memberi jolokan bahawa Hat Yai adalah Little Paris of the Southern of Thailand.

Bab makanan halal di Hat Yai tiada masalah. Anda boleh memilih Restoran Hamid, Restoran Salmah, Restoran Tamrab atau kedai-kedai tepi jalan yang dibuka lewat petang.

Gaya klasik

Som tam, pulut mangga, tom yam, buah-buahan segar, kacang gajus, udang bakar dan keropok ikan antara menu yang perlu dicuba. Gelagat warga emas memikul kandar menjual kacang Chiengmai sudah pasti membezakan ziarah anda dengan destinasi-destinasi lain di dunia.

Secara jujurnya, Hat Yai bukanlah satu kawasan pelancongan yang sempurna. Bak kata Amid, orang Thailand suka kepada gaya klasik dan kurang gemar kepada pembangunan. Stesen kereta apinya adalah salah satu daripadanya. Begitu juga dengan bangunan-bangunan lamanya yang kelihatan usang.

Tuk tuk atau beca berenjin antara kenderaan unik yang masih kekal digunakan dan menjadi pilihan pelancong kerana tambangnya serendah RM2.

Pemandangan lewat petang di Hat Yai telah mengubah persepsi terhadap bumi Hat Yai. Sama seperti Kuala Lumpur, pengemis berlegar di sana sini. Daripada yang tua hinggalah kepada budak-budak memohon simpati tanpa segan silu. Polis yang berkawal mungkin sudah tidak kuasa untuk menegur.

Gadis sunti di Hat Yai memang pandai bergaya ala-ala selebriti Hong Kong. Membuat rambut sambungan menjadi trend di Hat Yai. Harganya cuma RM120. Gadis berhijab dapat diperhatikan di setiap penjuru.


FABRIK sutera Thai yang boleh dijadikan buah tangan jika berkunjung ke Hat Yai.


Suasana Hat Yai pada waktu malam memang hangat. Penulis enggan bercerita tentang hal-hal hiburan dan urutan tradisionalnya. Ada banyak perkara lain yang lebih menarik.

Gajah muncul di tengah bandar? Memang satu kejutan kepada penulis ketika sedang leka menikmati stimbot di kaki lima berdekatan dengan Kompleks Lee Gardens.

Gajah itu dijadikan sebagai sumber rezeki bagi dua lelaki Thailand. Anda tidak boleh bergambar dengan gajah di tengah kota kalau tidak membeli seplastik tebu yang berharga RM2 daripada mereka.

Jelajah lima hari itu turut membawa penulis ke Songkla. Di Songkla terdapat Pantai Samila yang mempesonakan. Di pantai itu juga terletaknya tugu ikan duyung emas yang menjadi mercu tanda pantai berkenaan.

Menghabiskan masa yang berkualiti selama lima hari di Hat Yai merupakan satu pengalaman yang sangat berbaloi. Sehingga kini, penulis masih tidak dapat melupakan wajah seorang kanak-kanak perempuan yang sangat comel meminta sedekah sambil tersenyum bersama ibunya di tepi jalan. - MAZLINA ABDUL MAJID

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nyanyian perjuangan lelaki kudung

Posted:

Nyanyian perjuangan lelaki kudung

Nyanyian perjuangan lelaki kudung


BANT SINGH sedang merakamkan lagu dalam sebuah studio.


BAGI menegakkan keadilan masyarakat India yang miskin dan tertindas, Bant Singh seorang individu yang pernah menjadi mangsa ketidakadilan dan keganasan di negara itu, menjadi wakil bagi jutaan golongan kasta rendah.

Bant Singh, seorang penyanyi lagu-lagu rakyat, sebelum ini kehilangan kedua-dua belah tangan dan sebelah kaki disebabkan satu serangan yang berlaku lima tahun lalu.

Ia berlaku disebabkan satu insiden di mana dia dengan beraninya mencabar tuan tanah iaitu dari kasta atasan di kawasan barat laut bandar Punjab yang merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 17 tahun.

Ketika kejadian itu, dia dikelilingi sekumpulan orang yang bersenjatakan besi yang kemudian memukulnya dengan teruk dan dibiarkan begitu sahaja supaya dia mati.

Tetapi, Bant Singh bernasib baik kerana dia terselamat, bagaimanapun seksaan yang diterimanya itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengecam penindasan di pedalaman India.

"Kita sebagai proletariat inginkan hak yang sama dengan mereka yang kaya, hidup dengan rasa hormat dan keadilan.

"Justeru itu, melalui bait-bait lagu, ia umpama kata-kata yang saya ludah ke udara seperti titisan darah," katanya ketika ditemu bual di rumahnya iaitu sebuah bangunan sederhana yang berlantaikan simen.

Bant Singh tahu kemiskinan dan diskriminasi yang dirasai ratusan juta masyarakat India di luar bandar dan juga mereka yang daripada kasta rendah. Perbezaan kasta itu menyebabkan rasa rendah diri menebal dalam kalangan golongan kasta rendah untuk bergaul dengan mereka yang berasal dari kasta tinggi termasuk juga saudara-mara yang berada.

Malah, jenayah terhadap mereka yang miskin serta dari kasta rendah di kawasan luar bandar juga kerap berlaku tetapi ia tidak dipeduli dan diabaikan. Namun, sikap berani bersuara Bant Singh memberi padah apabila anak perempuannya dirogol oleh sekumpulan tujuh orang lelaki.

Sogokan wang, tanah

"Sebelum perbicaraan mengenai kes rogol anak saya itu, saya ada menerima sogokan wang dan pemilikan tanah untuk menutup kes itu oleh tuan tanah tersebut, tetapi saya tidak mahu, saya mahu menegakkan keadilan dan berani untuk bersemuka dengan mereka yang bersalah itu," katanya.


WALAUPUN kini hidup sebagai lelaki kudung, Bant Singh masih mampu tersenyum kerana dia berjuang untuk jutaan rakyat miskin India.


Mereka kemudian dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun namun, dibebaskan empat bulan lalu tetapi di bawah pemerhatian undang-undang.

"Saya tidak peduli apabila anggota badan saya dipotong, saya masih ada suara dan juga tangan serta kaki.

"Saya masih memiliki lidah, jadi saya tidak terasa kehilangan anggota badan yang lain untuk terus berjuang," kata anggota Parti Komunis daerah Mansa yang terletak lapan jam perjalanan dari ibu negeri India, New Delhi.

Dia yang kini berusia awal 40-an itu berkata, dia memulakan karier nyanyian dengan menyanyikan lagu-lagu rakyat dalam dialek Punjabi ketika berusia 10 tahun kerana ketika itu dia tidak mahu menjadi mangsa eksploitasi buruh kanak-kanak seperti mana nasib kanak-kanak miskin yang lain.

Dia kemudian menjadi pengembala dan menjadikan nyanyian sebagai pekerjaan sampingan sebelum kerjayanya berkembang pada 2006 apabila namanya menjadi popular hingga ke peringkat kebangsaan apabila muncul di akhbar dan majalah.

Kini Bant Singh bercadang untuk mencari pekerja-pekerja yang tertindas dan juga masyarakat India kelas menengah melalui perbincangan dengan ahli muzik dari genre yang berlainan.

Dia kemudian berkolaborasi dengan seorang penyanyi yang juga digelar raja Hip Hop Delhi, Taru Dalmia yang turut berkongsi pendapat mengenai pembangunan sosial dan ekonomi India.

"Kami memiliki pendapat yang sama, kami berbincang mengenai pelbagai topik seperti keganasan, polis dan hak asasi manusia," kata Dalmia ketika mengadakan lawatan ke rumah Bant Singh untuk berbincang mengenai kerjasama itu.

"Budaya muzik yang paling popular di India ialah Bollywood, ia menjadi muzik komersial dan juga elit. Tetapi kita juga harus ada lagu politik," kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Dalmia dan Bant Singh bekerjasama untuk satu projek yang dinamakan Word, Sound, Power manakala maklumat mengenai projek itu boleh dilihat dengan melayari http://www.wordsoundpower.org.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan